Wednesday, May 25, 2011

Beban tugas pensyarah berat, gaji rendah

 



SAYA amat bersetuju dengan pandangan Pensyarah Kerdil yang disiarkan di ruangan ini semalam (Isnin 23 Mei) berkaitan isu gaji pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih rendah daripada gaji guru sekolah.

Isteri saya juga seorang pensyarah IPTA. Hanya orang yang berada di samping seorang pensyarah IPTA sahaja memahami beban tugas mereka yang berat. Wajib bekerja dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang berbanding guru hingga 2 petang. Kadang-kadang terpaksa mengadakan kelas malam.

Pensyarah juga perlu membawa pelajar ketika lawatan sambil belajar dan melakukan lawatan ke tempat latihan praktikal di luar daerah.

Mengenai cuti pula, guru bersama murid akan bercuti semester, pensyarah tiada cuti semester, tetap perlu bekerja setiap masa walau ketika pelajar bercuti.

Ini belum lagi ditambah dengan beban melakukan penyelidikan yang diwajibkan oleh pihak universiti sepanjang masa. Ada yang memegang jawatan pengurusan, pentadbiran atau kokurikulum, bertambah lagi beban mereka.

Paling menyedihkan, setiap kali tiba Hari Guru, yang dirai dan disanjung hanyalah guru. Kenapa tidak pensyarah, sedangkan pensyarah juga penting dalam mendidik anak-anak yang berjaya di sekolah untuk terus berjaya di peringkat tinggi?

Untuk pengetahuan semua, gaji pensyarah sekarang lebih rendah daripada gaji guru sekolah. Percayalah. Tetapi tiada siapa yang mengambil tahu hal ini. Diharap Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius perkara ini. Janganlah mengejar kedudukan universiti di ranking dunia tetapi mengabaikan kebajikan pensyarah yang menjadi tunjang kepada kejayaan sesebuah IPTA dan pelajarnya.

Rintihan pensyarah bagaikan tiada yang peduli. Semoga selepas ini ramai lagi pensyarah meluahkan pendapat yang terpendam selama ini agar dapat diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Janganlah dianaktirikan pensyarah berbanding guru. Kami juga warga pendidik.

No comments:

Post a Comment