Malaysiakini
PKR tetap ingin meneruskan demonstrasi Kempen "Bebaskan Anwar 901" walaupun permit tidak dipohon untuk menganjurkan kempen itu.
"Memang kita tidak berhasrat untuk memohon permit kerana kita tahu permit untuk penganjuran ini tidak akan dikeluarkan (oleh polis) seperti mana yang berlaku," kata Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie.

Perhimpunan yang dirancang Isnin ini bertujuan menuntut keadilan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual memberi penghakiman berhubung kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu pada hari tersebut.
Ditanya mengenai 336 laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh negara sehingga semalam bagi mendesak agar kempen itu dihentikan, Shuhaimi berkata PKR tidak akan tunduk atas desakan itu.
Katanya, selain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beberapa lokasi di sekitar ibu negara juga akan dijadikan tempat untuk mengadakan kempen itu namun lokasinya masih belum diputuskan.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang didakwa berbaur hasutan mengajak rakyat hadir di demonstrasi kempen "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang di Kuala Lumpur Isnin ini.
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibunegara, menggesa polis menyiasat kenyataan Azmin dalam satu laman portal tempatan yang didakwa menghasut rakyat berhimpun dan menyertai kempen "Bebaskan Anwar 901" di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Azmin dilaporkan berkata pakatan pembangkang bersetuju untuk menggerak dan mengumpulkan penyokong mereka berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari berkenaan. Polis telah mengeluarkan arahan keras tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan.
Syed Hassan berkata tindakan Azmin itu boleh mengancam keselamatan negara serta menimbulkan kekacauan Isnin ini.
Ditanya sama ada Perkasa akan mengadakan demonstrasi balas, Syed Hassan berkata Perkasa akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menanganinya tanpa masuk campur dan berdemonstrasi pada hari tersebut.
"Kita tidak akan mengadakan perhimpunan balas tetapi kita akan mengadakan solat sunat hajat sebelum solat Asar 8 Jan di Masjid Wilayah Jalan Duta dan dijangkakan 500 orang turut serta," katanya.
Perkasa sebelum ini telah membuat kira-kira 30 laporan polis di seluruh negara berhubung demonstrasi "Bebaskan Anwar 901".
Tambahnya, lagipun mahkamah belum lagi memutuskan Anwar bersalah.
“Kalau mahkamah putuskan dia bersalah, memang tak munasabah semuanya tu.
“Yalah, di dunia ni kita boleh cipta macam-macam perkara, tetapi akhirat nanti terimalah pembalasannya,” ujarnya lagi.
Beliau juga mendakwa, punca utama Umno dan BN bermusuh dengan bekas timbalan perdana menteri itu kerana Anwar kini melawan mereka.
___________________________________________________________________________________
Tegas terhadap peserta 901
Utusan....
AMARAN keras, peringatan dan 'nasihat' pasukan keselamatan kepada golongan yang gila mengadakan perhimpunan haram di jalanan nyata sekali umpama mencurah air ke daun keladi.
Bukan sahaja tiada kesan akibat ketaksuban golongan itu yang umpama dirasuk sehingga mengikut sahaja segala arahan 'penulis skrip', rakyat jelata juga semakin marah dengan sikap berlembut pihak berkuasa tanpa sebarang tindakan nyata dari sudut perundangan.
Negara ini mempunyai pasukan keselamatan dengan kelengkapan terkini, pasukan pendakwaraya terbaik, undang-undang yang jelas dan Perlembagaan yang utuh. Maka, di manakah silapnya perlakuan 'songsang' di jalanan ini masih berterusan dan tiada yang dikenakan tindakan sehinggakan mula merebak di kalangan mahasiswa semula?
Dari perhimpunan pertubuhan haram perkauman, parti politik menyorok di sebalik tuntutan pilihan raya, golongan mengamalkan seks songsang, warga Majlis Peguam sehinggakan pelajar universiti, tiada yang diambil tindakan nyata dan rakyat semakin hari semakin hilang kepercayaan kepada pihak-pihak diamanahkan jawatan yang mampu dan sepatutnya bertindak.
Bagi pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz, perkembangan mutakhir ini secara umumnya kerana keadaan masyarakat yang memberi lebih ruang untuk 'kebebasan'.
Menurut beliau, tindakan kerajaan kini juga umpama mahu melonggarkan lagi undang-undang melalui pindaan Seksyen 27 Akta Polis serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang darurat serta pengenalan Akta Perhimpunan Aman 2011.
"Undang-undang membolehkan kita mengambil tindakan tetapi kerajaan sendiri seperti menyokong tindakan kumpulan tersebut apabila tidak mengambil tindakan tegas. Bukannya pendakwa raya tidak mahu mengambil tindakan tetapi mereka yang tidak menyokong demonstrasi jalanan hampir tiada cara lagi untuk bertindak dari sudut perundangan," katanya.
Tambahnya, Akta Ketenteraman Awam yang pernah dibangkitkan sebelum ini mungkin dapat digunakan tetapi malangnya ia tidak menjelaskan sejauh mana kuasa polis untuk bertindak dengan tegas dan berkesan.
Akta Ketenteraman Awam juga jelasnya, hanya meliputi kawasan yang ditetapkan Menteri Dalam Negeri sebagai kawasan berbahaya kepada ketenteraman awam dan lebih sesuai untuk menentang aktiviti komunis atau gengster di kawasan hitam.
Beliau mendakwa, polis kini tidak boleh membuat apa-apa kerana tiada lagi platform sesuai untuk melindungi tugas mereka dalam sistem perundangan negara yang semakin liberal.
"Sistem yang semakin liberal umpama kita terlalu memberi muka kepada pihak terbabit tetapi di negara luar juga ada peringkat-peringkat perubahan pendekatan perundangan serupa. Dahulu dunia banyak menggunakan cara konfrontasi, kini lebih kepada perbincangan dan toleransi sejajar dengan menjaga hak 'kebebasan'," jelasnya.
Shamrahayu berpendapat transformasi kepada sistem perundangan lebih liberal amat memerlukan pemahaman masyarakat umum dan kematangan orang awam yang akan turut serta secara aktif kelak.
"Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman merupakan contoh proses negara memahami kehendak rakyat dan mengimbangi perkembangan semasa.
Namun, bila Majlis Peguam sendiri bertindak ke jalan raya menunjukkan seolah-olah rakyat yang mahu cara terlalu liberal, mahu bebas sepenuhnya dan polis hanya boleh 'tunggu dan lihat'," ujarnya.
Tegas beliau, langkah 'cuba dahulu' dalam menetapkan sistem perundangan baru juga tidak sesuai dan berbahaya kerana perlu melihat kepada tahap pemahaman dan kematangan rakyat terlebih dahulu.
Selain itu, beliau juga tidak menyokong campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menentukan sesuatu perhimpunan boleh diadakan atau tidak.
"Biarlah pasukan keselamatan menentukannya berdasarkan budi
bicara polis terhadap ancaman ketenteraman awam tanpa campur tangan parti politik.
"Perhimpunan haram yang dijangka akan diadakan pada 9 Januari ini, jika hanya demi kepentingan individu adalah tidak adil kepada rakyat tetapi jika KDN campur tangan, rakyat akan melihatnya sebagai polis bertindak di bawah arahan parti politik pula," tegasnya.
Bagaimanapun, Shamrahayu memahami walau setegas mana sekalipun polis bertindak dan menggunakan apa jua sudut perundangan, mungkin akan memakan diri hasil implikasi pembangkang cuba mengheret tindakan pasukan keselamatan ke sudut negatif.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan pula menolak pandangan pihak polis telah hilang kuasa untuk bertindak akibat pemasuhan dan pindaan perundangan sedia ada.
"Polis bukannya hilang kuasa tetapi menunggu kelulusan undang-undang baru di Parlimen yang lebih selesa kepada semua pihak dan dapat menentang dakyah 'penjenayah-penjenayah yang sedang bermaharajalela' kerana kelemahan undang-undang sedia ada.
"Polis telah menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan cemerlang dan banyak kes dapat diselesaikan dengan pantas tetapi tindakan susulan perlu digalas dan dikendali pihak pendakwaan pula.
"Sesiapa pun tidak diberi keistimewaan tetapi memang tidak pernah berlaku ada orang berani berkumpul menentang undang-undang.
Perhimpunan haram umpama yang cuba diadakan pada 9 Januari ini tidak seimbang dengan sebuah negara demokratik tetapi malangnya masih ada rakyat tidak dapat berfikir secara mendalam," ujarnya.
Mohd. Jamil mempersoalkan tujuan demonstrasi tersebut dan meminta pihak yang mahu menyertainya berfikir sama ada tindakan mereka mampu mengubah keputusan di mahkamah.
"Keputusan mahkamah mengikut undang-undang sedia ada dan kita pun belum tahu apakah yang bakal diputuskan hakim. Dengan kedegilan untuk tetap menganjurkan perhimpunan haram itu menggambarkan pihak berkenaan merasakan dirinya rasa bersalah sebelum keputusan diumumkan lagi," katanya.
Walau apa pun cara dipilih pihak terbabit, beliau mewakili anggota Respa merayu pihak polis bertindak dengan penuh ketegasan kali ini.
Tegasnya, polis tidak terikat dalam mengambil tindakan dan tidak perlu memberi muka kepada sesiapa pun dalam melaksanakan peruntukan undang-undang kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi.
"Menjadi tugas polis menjaga keharmonian dan ketenteraman awam, tapi kalau tidak bertegas, tidak tahulah. Selain itu, pihak pendakwaan juga perlu selaraskan tindakan dengan ketegasan serupa ke mahkamah," ujarnya.
Jika perbuatan melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam terus dibiarkan tanpa hukuman, rakyat yang berkecuali akan berasa semakin kecewa terhadap mereka yang memegang amanah dan hak untuk bertindak.
Sememangnya sudah dijangka pihak terbabit sudah mempunyai skrip dan pelan sokongan jika pihak berkuasa cuba mematahkan taktik mereka. Namun, janganlah dibiarkan kumpulan minoriti pengacau terus membuat onar dan berlagak lebih dominan daripada majoriti yang memberi amanah dan kuasa kepada pemerintah dan pihak berkuasa.
_______________________________________________________________
Anwar bersedia untuk situasi terburuk
Utusan... 5/1/2012
AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 4 Januari 2012 melalui ruangan dalam negerinya memaparkan wawancara khas bersama Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui sudah bersedia untuk situasi terburuk.
Anwar berkata, beliau bersedia jika didapati bersalah di mahkamah dan pakatan pembangkang juga telah membuat persediaan, termasuk jika beliau dipenjarakan dengan pengumuman siapa penggantinya memimpin pakatan pembangkang.
“Kita telah bincangkan beberapa kemungkinan yang akan berlaku. Jika saya dipenjarakan, pemimpin pakatan pembangkang yang lain akan umumkan siapa pemimpin mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, pakatan pembangkang bukan dipimpin oleh satu parti, ia dipimpin secara bergabung dan polisi pakatan juga bukan ditentukan oleh satu parti tetapi perlu mendapat persetujuan dari PKR, DAP dan Pas.
“Ada sesetengah orang kata Anwar memimpin pakatan pembangkang, sebenarnya tidak. Kita adalah satu pasukan yang bekerjasama, apa-apa keputusan yang kita buat perlu mendapat persetujuan dari Lim Kit Siang dari DAP dan Hadi Awang dari Pas,” jelasnya.
Beliau berkata, PKR tidak akan bermasalah kerana beliau dipenjarakan kerana Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah dan Naib Presiden, Azmin Ali akan terus memimpin dan memperjuangkan parti.
“Tidak kira apa yang akan berlaku, tugas-tugas sepatutnya diteruskan. Perjalanan demokrasi dan perubahan undang-undang perlu diteruskan dan dimajukan. Saya percaya perubahan itu akan berlaku,” ujarnya.
Beliau juga terharu dengan sokongan dan semangat ahli keluarga, terutama sekali sokongan secara senyap isterinya, Wan Azizah.
______________________________________________________________
Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR, 5 Jan: Perhimpunan aman 901 pasti aman dan teratur jika orang-orang jahat tidak melakukan kekacauan dan provokasi, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Malah, beliau mengingatkan, jika berlaku sebarang kekacauan dan kekecohan dalam perhimpunan untuk membantah rekayasa politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, pihak yang bertanggungjawab ialah pihak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri serta parti yang turut dipimpinnya, Umno.
"Seperti semua perhimpunan yang kita adakan sebelum ini, keadaan kucar-kacir dan huru-hara hanya terjadi apabila orang-orang tertentu yang berhati jahat melakukan kekacauan dan provokasi.
"Jika tidak diganggu oleh orang-orang jahat, buktikan walau satu pun perhimpunan atau ceramah Pakatan Rakyat (PR) yang mengakibat keadaan kucar-kacir dan huru-hara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika diminta mengulas kenyataan Hishammuddin yang mahu perhimpunan tersebut berjalan dengan teratur dan aman.
Menurut beliau, dengan lagak kononnya untuk menjaga keamanan, alat perkakas parti tertentu juga sering melakukan kekacauan dan kekerasan ke atas perhimpunan atau ceramah PR.
"Malah kebelakangan ini, gerombolan dari parti itu sendiri yang melakukan provokasi dan kekacauan sehingga mengakibatkan kejadian berdarah," kata Mahfuz.
Beliau yakin, penganjur perhimpunan itu telah melakukan persediaan yang secukupnya untuk memberitahu rakyat yang berhimpun dalam perhimpunan itu bahawa sebarang provokasi dan kekacauan hanya dilakukan oleh gerombolan parti berkenaan.
"Saya juga ingin berpesan kepada semua yang menyemarakkan perhimpunan aman 901 bahawa apa sahaja kekacauan dan provokasi, perkara itu tidak mungkin dilakukan oleh rakan-rakan mereka yang juga mahu behimpun dengan aman.
"Jika anda melihat sebarang kekacauan dan provokasi, ia pasti dilakukan gerombolan parti yang gilakan kekacauan itu atau agen-agen serta alat perkakas mereka," kata Mahfuz.
Beliau meminta semua pihak mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku dalam Revolusi Islam Iran dahulu.
Menurut beliau, pada waktu waktu itu sebuah panggung wayang dibakar oleh polis rahsia Shah Iran dan mereka yang menonton wayang dalam panggung itu mati.
"Selepas itu, kerana yakin orang lain juga bodoh seperti mereka, jentera propaganda Shah Iran menuduh rakyat yang berjuang dalam revolusi tersebut yang membakar panggung itu," katanya.
Dalam protes rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak di Mesir baru-baru ini pula, kata Mahfuz lagi, pihak polis yang berkerja di bawah regim Mubarak telah memecah dan mencuri di sana-sini terutama di kedai-kedai dan kemudiannya menuduh rakyat yang menentang kekejaman diktator itu yang melakukan perkara tersebut.
"Di Malaysia juga bekali-kali kita melihat orang-orang yang mengajak rakyat yang berdemonstrasi melakukan tindakan yang lebih agresif tetapi apabila berlaku kekecohan, merekalah yang menangkap dengan ganas rakyat yang berdemonstrasi itu.
"Sudah berkali-kali kita melihat perkara seperti itu berlaku," katanya.
Beliau mengulangi pesanan kepada seluruh rakyat bahawa Umnolah yang mesti dipersalah dan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kekecohan dan kekacauan dalam perhimpunan 901 itu.
________________________________________________________________
KUALA LUMPUR, 5 Jan: Bekas Ketua Pengarang kumpulan NSTP, Datuk Kadir Jasin memberikan tujuh kalau menjelang 9 Januari ini dan yang menarik semuanya menyukarkan kedudukan Umno.
"Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah DUN Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang; dan
(Gambar logo 'About me' (mengenai saya) Kadir Jasin dalam blognya)
"Kalau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999," tulis Kadir dalam blognya, The Scribe A Kadir Jasin: Banyak Kalau Dalam Keputusan 9.
Kadir yang terkenal dengan sikap 'loyal'nya kepada Umno khasnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menulis, Pakatan Rakyat telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan liwat yang akan diputuskan 9 Jan ini.
Yang memberikan jaminan itu tidak lain dan tidak bukan Anwar sendiri. Malaysian Insider memetik beliau sebagai berkata:
“Kepimpinan Pakatan Rakyat bukan sahaja saya dan (Datuk Seri Dr Wan) Azizah Wan Ismail) tetapi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang telah membincangkan perkara ini... Jika saya dipenjarakan, terlibat dalam kemalangan atau ditembak, kami bersedia, membincangkan pelbagai kemungkinan, satu, dua atau tiga senario.” tulis Kadir.
Hari ini, 5 Jan, The Star pula melaporkan yang PR telah mengenal pasti calon bakal Perdana Menteri dan pengganti Anwar. Yang membuat kenyataan itu pun Anwar juga, tulisnya lagi.
Sebenarnya banyak “kalau” yang boleh diperkatakan antara sekarang hingga 9 Jan dan selepas itu.
Berikut adalah kalau-kalau yang terlintas di fikiran Kadir.
1. Kalau Parti Keadilan Rakyat dan sekutu politiknya berjaya dengan rancangan mereka, 100,000 orang akan berdemonstrasi di Kuala Lumpur pada 9 Jan ini;
2. Kalau Anwar dibebaskan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman memihak kepada mereka. Boleh jadi juga mereka akan memuji Kehakiman Malaysia kerana bebas dan berani;
3. Kalau Anwar disabitkan kesalahan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman tidak memihak kepada mereka dan, mungkin juga, menuduh Kehakiman Malaysia dikongkong pemerintah;
4. Kalau Anwar memang, Perdana Menteri MohdNajib Abdul Razak dan Barisan Nasional akan hadapi masalah besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. Anwar akan menjadi hero dan kredibiliti Mohd Najib merudum;
5. Kalau Anwar kalah, dia akan sekali lagi dianggap mangsa penganiayaan politik dan “mati syahid” oleh penyokong tegarnya dan oleh generasi muda yang kurang faham mengenai sodomi satu dan salah guna kuasa 1999/2000;
6. Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah DUN Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang; dan
7. Kalau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999.
Itu adalah antara “kalau” yang terlintas di fikiran saya. Para pembahas dipersilakan untuk menyumbang “kalau-kalau” lain kalau ada. Wallahualam. |
|
_____________________________________________________________________
Demo 901: Hasan tak hadir, nasihati pelajar elaknya
Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Hasan Ali tidak menyokong perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’ pada 9 Januari ini dan tidak akan menghadiri demonstrasi itu.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh PKR dan akan dihadiri oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat sebagai menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika keputusan perbicaraan liwat II yang membabitkan ketua pembangkang itu diumumkan.

Sehubungan itu, Hasan yang juga bekas pesuruhjaya Selangor menasihatkan mahasiswa dan pelajar khususnya yang sedang menghadapi peperiksaan dalam tempoh ini supaya tidak menghadiri perhimpunan itu.
"Walaupun terdapat arahan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman bagi ahli-ahli (PAS) suapaya hadir, saya merasakan bahawa ini adalah tidak sesuai.
"Saya telah semak sebelum ke sidang media ini, tidak terdapat arahan oleh mana-mana pesuruhjaya PAS negeri lain yang mengeluarkan arahan seumpama itu. Tiada juga arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin atasan supaya hadir. Oleh itu, saya tidak akan hadir," katanya.
Hasan, bekas ahli akademik dan bekas ketua Biro Tatanegara, berkata sebagai pelajar mereka perlu menumpukan perhatian pada pelajaran dan tidak terpengaruh apa-apa yang mungkin berlaku kepada Anwar.
"Tumpukan perhatian pada pelajaran dan masa depan anda. Saya difahamkan kebanyakan universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Industri Selangor, Universiti Teknologi Mara, Universiti Pertanian Malaysia sedang mengadakan peperiksaan dalam tempoh ini.
“Tumpukan pada peperiksaan dan lakukan yang terbaik.

"Saya kasihan terhadap Anwar tetapi beliau tidak seharusnya menjadikan masalah peribadinya sebagai isu negara dan mengheret orang lain bersama. Pelajar sekolah menengah juga harus kekal di sekolah-sekolah dan tidak menjejaskan pelajaran mereka," katanya.
Hasan berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan yang dicadangkan untuk menyokong Anwar selepas keputusan perbicaraan liwat diumumkan.
__________________________________________________________________
Demonstrasi 9 Januari cubaan ugut mahkamah - Dr. M
05/01/2012 5:29pm
Utusan 05-01-2012
KUALA LUMPUR 5 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya perlu menghormati undang-undang dan tidak perlu mengugut mahkamah dengan cadangan mengadakan demonstrasi di ibu negara pada 9 Jan ini.
Beliau berkata demonstrasi yang dicadangkan oleh Parti Keadilan Rakyat itu adalah satu cara mengugut proses mahkamah dan meletakkan mereka yang terbabit dalam proses perundangan dalam keadaan tertekan.
"Kita tidak harus mempengaruhi mahkamah dengan cara ugutan, umpamanya apabila mahkamah buat keputusan yang untung bagi mereka, mereka tidak ada demonstrasi,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama kepada lebih 150 bekas pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata jika ahli politik pembangkang percaya kepada demokrasi, mereka perlu menunjukkan rasa hormat kepada undang-undang dalam negara dan tidak cuma pandai bercakap tentang pelbagai peraturan yang kerajaan perlu patuhi.
"Negara ini sebenarnya mempunyai peraturan dan undang-undang tetapi pembangkang menganggapnya sebagai satu konspirasi dan mereka tidak perlu ikut.
"Mereka kata perhimpunan yang dianjurkan ini mempunyai kaitan dengan hak bersuara yang diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi sebenarnya amat jelas bahawa tujuan mereka adalah untuk mengugut mahkamah,” kata Dr Mahathir.
Dalam ucap utamanya yang berjudul “Malaysia kini dan peranan yang boleh dimainkan oleh pegawai-pegawai tentera yang bersara hari ini”, beliau berkata Malaysia sangat bertuah berbanding negara-negara yang merdeka pada zaman penjajahan British dahulu.
Untuk menilai kejayaan Malaysia, katanya, rakyat negara ini harus melihat negara ini dari luar di mana selepas lebih 50 tahun, kestabilan berjaya diwujudkan. - BERNAMA
________________________________________________________________
“Himpun Keadilan Untuk Saiful” diadakan Isnin ini
05/01/2012 3:57pm
Utusan 05-01-2012
KUALA LUMPUR 5 Jan. — Satu perhimpunan dikenali “Himpun Keadilan Untuk Saiful” dicadang diadakan di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini Isnin ini.
Perhimpunan anjuran Pertubuhan Permufakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dikatakan bagi membela Mohd. Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa diliwat oleh ketua pembangkang itu.
Setiausaha Agung Permas, Zulkifly Shariff, berkata, Permas menyasarkan 5,000 ahli akan menyertai perhimpunan itu.
"Mereka telah sedia maklum bahawa demonstrasi jalanan bukan budaya masyarakat kita dan sekiranya mereka tetap untuk meneruskan perhimpunan tersebut, mereka perlu berdepan dengan Permas dan PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulkifly berkata, Permas akan mendapatkan permit polis bagi mengadakan perhimpunan itu yang akan melibatkan 15 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Permas, antaranya Putra Malaysia,
Pertubuhan Panel Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim), Persatuan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) dan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang. — BERNAMA
________________________________________________________________
PKR yakin kumpul 10,000 penyokong
Wartawan Sinar Harian
Sinar Harian 05-01-2012
KUALA KURAU - PKR Negeri yakin dapat mengumpulkan 10,000 penyokong bagi untuk ke Mahkamah Persekutuan Jalan Duta bagi menjayakan Kempen Bebas Anwar 901 pada 9 Januari nanti, sekali gus memberi sokongan padu kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Strategi PKR Negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, beliau akan memastikan PKR di setiap cabang menghantar sekurang-kurangnya 500 ahli dan penyokong pada tarikh berkenaan sungguhpun ia merupakan hari bekerja.
“PKR di setiap cabang termasuk AMK dan Wanita Keadilan telah bekerja keras menjalankan kempen menggunakan pelbagai medium termasuk laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menggesa orang ramai ke perhimpunan aman itu.
“Kita percaya majoriti rakyat bersama kita dan tidak gentar dengan pelbagai amaran serta tekanan daripada pihak keselamatan kerana hak berhimpun secara aman telah termaktub dalam perlembagaan negara,” katanya.
Menyifatkan keadaan huru hara hanya akan berlaku bila pihak keselamatan bertindak secara keterlaluan, Abdul Yunus berkata, pelbagai usaha akan dijalankan pihak tertentu bagi menggagalkan Kempen Bebas Anwar 901 pada tarikh tersebut.
“Kami tak kisah dengan semua usaha itu, termasuk ratusan laporan polis kerana ia telah memberi publisiti kepada kempen ini, dan kami harap polis terutamanya dapat bersikap adil dan menghormati hak orang awam untuk berhimpun,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata, sama ada Anwar bersama PKR atau tidak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti, PKR dan Pakatan Rakyat pasti akan menang kerana persediaan tahap maksima telah dibuat untuk menumbangkan Umno serta BN.
“Ini adalah usaha terakhir UMNO untuk menyumbat Anwar ke penjara dengan tujuan membunuh karier politik beliau dan kebanyakan rakyat Malaysia sudah jijik dengan taktik kotor BN yang bertentangan dengan ajaran agama, budaya dan nilai ketimuran,” katanya.
_____________________________________________________________________
SHAH ALAM, 5 Jan - Pemuda PAS akan memberi sepenuh sokongan bagi menjayakan himpunan 100,000 rakyat bagi melahirkan bantahan terhadap sistem kehakiman negara yang terlalu banyak dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi (foto) berkata pemuda PAS akan sentiasa teguh berada dalam kesepakatan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan sebarang isu yang melibatkan nasib rakyat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berharap semua yang hadir tidak melakukan sebarang huru-hara atau mengujudkan suasana tegang.
"Berdasarkan pengalaman kita samaada ketika Demontrasi Bersih 1 dan Bersih 2 dan beberapa himpunan aman lain banyak provokasi dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu mengujudkan suasana tegang supaya pihak polis boleh mengambil tindakan menangkap peserta.
"Pemuda PAS berharap seluruh hadirin yang datang nanti akan terus mengekalkan sikap matang dan terbuka dan tidak terpengaruh dengan provokasi yang dicetuskan oleh pihak tertentu."
kata beliau Menerusi blognya, beliau sendiri akan menghadiri himpunan tersebut yang membawa mesej kepada kerajaan UMNO dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah.
"Menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya (Anwar). Ini adalah satu kezaliman dan penginayaan. Tidak baik membiarkan pemerintahan begini mengurus negara dan rakyatnya.
Kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penginayaan yang dilakukan." tulisnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang mengatur dengan barisan pemuda PR untuk mendapatkan pelbagai gambaran berhubung himpunan tersebut.
"Saya pasti sebagaimana himpunan aman bersih dahulu ramai akan mengambil gambar dan video supaya menjadi bukti apa-apa tindakan provokasi dan salah guna kuasa pihak polis.
"Kita juga tidak boleh mengharapkan maklumat dari pihak polis sebagaimana berlaku dalam insiden Bersih 2.0 lalu."
______________________________________________________________________
Polis telah membenarkan Pakatan Rakyat meneruskan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar' di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin ini.
Ianya selaras dengan tranformasi Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak...
Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak bermesyuarat selama sejam dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Walaupun timbalan presiden PKR Azmin Ali yang mengetuai rombongan parti itu, namun beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sebaliknya, perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dalam laman twitternya yang berbunyi:
"Persetujuan dicapai dgn @PDRMsia utk perhimpunan solidariti utk @anwaribrahim 901 di kawasn letak kereta Kompleks Mahkamah KL. Jom turun".
Azmin pada sidang akhbarnya sekadar berkata keputusan perbincangan dengan polis hari ini "positif".
Azmin juga menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjaga keamanan dan mampu mengatasi sebarang provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Diharap penganjur yang menyokong Anwar atau yang menyokong Saiful bersikap bertanggungjawab pada 9 Jan... Jangan rosakkan harta awam!
____________________________________________________________________
Terkini: Sebentar tadi telah berlangsung sesi taklimat khas kepada para duta dan diplomat negara asing mengenai hala tuju dan masa depan Pakatan Rakyat selepas keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini.
Taklimat yang dihadiri hampir kesemua duta dan perwakilan asing termasuk dari Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, United Kingdom, Itali dan singapura.
Taklimat disampaikan oleh Bendahari PKR yang juga ahli parlimen Selayang, William Leong Jee Ken.
Antara lain yang hadir, Azmin Ali, Nurul Izzah, Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin.
PKR di lihat terdesak mengunakan Diplomat asing bagi mendapatkan simpati negara luar terhadap kes liwat Anwar.
__________________________________________________________________
Ummi Hafilda Ali, saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 berjanji akan mendedahkan rahsia dahsyat kepimpinan atasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau trio 'bateri 3A' sekiranya mereka tidak bertaubat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Ummi memberi amaran itu kerana beliau tidak sanggup melihat trio berkenaan iaitu Anwar, isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan abangnya sendiri, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terus mengelirukan rakyat dengan dakyah demi kepentingan politik mereka.
"Hari ini mereka panggil polis anjing tetapi semasa Anwar berkuasa pada 1997, dia guna 50 orang polis untuk menangkap saya, jadi orang muda terutama mahasiswa perlu tahu siapa yang buat salah laku dan salah guna kuasa.
"Wan Azizah mempunyai pengaruh untuk menasihatkan suami kembali ke pangkal jalan, jangan sampai saya serta 'geng' iaitu (Datuk) Nallakaruppan, (Datuk) Zulkifli Noordin dan Rahimi Osman dedahkan perkara sampai nanti mereka (3A) tidak boleh angkat kepala. Kami merayu mereka kembali ke pangkal jalan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di sini hari ini bagi meminta ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti pembangkang itu menghentikan perjuangan politik mereka yang didakwanya mempunyai kepentingan peribadi dan bertujuan menukar sistem negara ini kepada sebuah republik.
Dalam perkembangan berkaitan, kata Ummi, beliau tidak akan berhenti mendedahkan kepincangan serta kelemahan ketiga-tiga mereka termasuk Azmin sungguhpun mereka adalah adik-beradik sehingga kesemuanya bersara daripada politik dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia.
"Tetapi saya masih mempunyai sifat perikemanusiaan dan kalau boleh enggan mendedahkan keburukan abang kandung saya sendiri.
"Mereka perlu bertaubat dan meminta maaf seperti bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton yang memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negara itu atas skandal seksnya," katanya.
Sementara itu, Ummi Hafilda yakin Azmin serta PKR tidak akan mampu mengumpulkan sehingga 100,000 penyokong fanatik Anwar untuk memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang itu dalam Kempen Bebaskan Anwar 901 di ibu negara Isnin ini.
"Azmin boleh berangan seperti Mat Jenin. Dia juga pernah berangan akan menjadi Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum lalu tetapi tiada apa yang berlaku," katanya.-utusan
_____________________________________________________________________
Beberapa buah kenderaan telah diconteng dengan tertera pelbagai tulisan 'Bebas Anwar' dan '901' menggunakan semburan cat. Tempat kejadian di percayai berlaku di Kuala Nerang.
Turut menajadi mangsa kereta orang awam dan bas HBR Group of Companies dicat dan conteng oleh penyokong Anwar Ibrahim.
Belum bermulanya perhimpunan tersebut penyokong Anwar sudah buat taik... bayangkan apa akan jadi masa perhimpunan tu nanti? Aku percaya banyak kerosakan harta awam akan berlaku sama seperti reformasi Jalanan 1998 dulu.
Terdahulu, Azmin Ali dan beberapa wakil Pemimpin PKR telah menemui pihak PDRM dan Perhimpunan tersebut telah diputuskan bersama untuk dijalankan di perkarangan Tempat Letak Kereta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pihak PDRM juga telah bersetuju dan berjanji akan memberi kerjasama dengan baik bagi memastikan perjalanan perhimpunan yang dianjurkan tidak menghadapi sebarang provokasi.
_________________________________________________________________
harakah daily 06-01-2012
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 6 Jan: "Saya akan hadir, dan untuk ahli PAS pula, terserah masing-masing," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) ketika ditanya apakah beliau akan hadir dalam perhimpunan aman 9 Januari ini.
Perkara ini disampaikan Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily.
Manakala itu Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda dan PAS Selangor membuat keputusan akan menyertai perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi meminta mana-mana pihak tidak salah faham dengan perhimpunan tersebut dengan menganggap ianya merupakan sokongan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Muslimat PAS akan memberi sokongan kepada perhimpunan pada 9 Januari bukan semata-mata atas isu Anwar.
"Isu Anwar adalah sebahagian yang menampakkan kepincangan sistem kehakiman negara, tetapi lebih daripada itu ianya adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap kezaliman Umno BN yang mencampur adukkan sistem pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Perundangan, Legislatif dan Kehakiman," katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Pimpinan PAS Selangor juga memutuskan untuk turun 9 Januari ini, kata Pesuruhjayanya, Dr Rani Othman.
"Kita akan bersama presiden di sana. Dalam perbincangan di peringkat negeri juga, kita sudah putuskan akan turun," katanya kepada Harakahdaily.
Pemuda PAS pula sedang memobilisasi ahlinya untuk turun pada perhimpunan tersebut.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda memberi komitmen untuk mencapai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur.
"Jika Datuk Seri Najib kena zalim pun kita akan turun," kata Nasrudin.
Bersama Presiden
Aiman turut berkata, muslimat tidak perlu takut untuk bersama-sama 9 Januari ini atas kapasiti parti kerana Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain sudah menyatakan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.
"Muslimat tidak perlu ragu-ragu kerana PAS sendiri termasuk Presiden kita akan turun bersama-sama. Jadi tidak ada masalah di peringkat parti," katanya.
Zalim kepada mahasiswa
Sementara itu, beliau menambah sudah tiba masanya rakyat berani menyatakan kebencian terhadap kerajaan Umno BN yang bertindak zalim ke atas mahasiswa sendiri.
Sambil mengucapkan tahniah kepada kebangkitan mahasiswa yang menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan, Aiman berkata mahasiswa sekarang sudah bijak berfikir dan bertindak tanpa mengabaikan pelajaran.
"Muslimat juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas kebangkitan gerakan mahasiswa yang bermula daripada Adam Adli dan tragedi berdarah di UPSI.
"Muslimat berpendapat mahasiswa pada abad ke-21 ini mesti lebih cekap dan cerdik iaitu meletakkan pelajaran nombor satu tetapi gerakan kebangkitan rakyat bukan di tempat kedua.
"Yang paling penting dalam kehidupan seorang manusia apabila dia dapat melawan kelemahan dalam dirinya dan juga melawan kezaliman di sekelilingnya," tegasnya. |
|
|
_______________________________________________________________
Muhammad Faizal |
PETALING JAYA, 6 Jan: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjelaskan apa yang berlaku hari ini menunjukkan kejayaan awal Pakatan (PR) Rakyat dan seluruh rakyat terhadap tuntutan selama ini.
Jelasnya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR petang ini, iai adalah satu usaha terbaik PR yang telah menuntut sistem yang adil dalam negara ini.
"PKR, DAP dan PAS khususnya Pakatan Rakyat hari ini menjelaskan apa yang berlaku hari ini adalah satu kejayaan awal untuk kita.
"Rakyat mahukan satu perubahan berlaku dalam sistem yang menjadi amalan Umno selama ini dan keputusan yang diberikan oleh pihak polis adalah gambaran positif Pakatan Rakyat" jelasnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu pertemuan beliau dengan beberapa pimpinan PKR hari ini di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur dengan Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh telah mendatangkan hasil yang baik.
"Kita telah mengemukakan beberapa usul yang mana ia diadakan secara aman di kawasan tempat letak kereta di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
"Dalam usaha memastikan segalanya teratur, pihak penganjur (PKR) telah menyediakan 500 orang marshal pada hari tersebut yang lengkap beruniform dan dilatih untuk mengawal perhimpunan demi menjamin kelicinan perjalanan perhimpunan," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Azmin juga menyatakan perhimpunan itu akan bermula seawal jam 7 pagi dan orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di tempat-tempat letak kereta di kawasan lapang berhampiran Bangunan Matrade.
"Oleh kerana ini perhimpunan aman yang dibantu oleh pihak polis, tidak akan ada sebarang sekatan jalan raya yang akan menghuru-harakan keadaan dan tujuan menyekat orang ramai dari hadir, malah polis bersetuju menjaga traffik bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas," tambahnya lagi.
Jelasnya lagi, PKR mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang istiqamah memperjuangkan hak mereka berhimpun secara aman bertepatan dengan Artikel 10 Perlembagaan selama ini.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang ditemui sebelum sidang media tersebut memberitahu seluruh ahli PAS boleh hadir pada hari tersebut dalam memberi sokongan menentang terhadap sistem keadilan yang pincang selama ini.
"Himpunan telah diberi kebenaran, maka ahli-ahli PAS boleh hadir kerana ia bukannya merupakan kesalahan, tidak perlu ada kenyataan dari PAS kerana ia telah dibenarkan.
"PAS sentiasa menyokong terhadap kempen tersebut prinsip kita selari dengan apa jua dasar yang telah dipersetujui bersama," katanya.
Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook menyatakan DAP menyokong himpun kempen 901 dan juga akan turut serta bersama pada hari tersebut. |
PKR hari ini mendesak rakan kongsinya, PAS supaya bertindak keras ke atas bekas pesuruhjaya Selangor parti itu Datuk Hasan Ali yang mengeluarkan pelbagai kenyataan yang dianggap mencerca dan menghina ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas tulisannya di Twiteer, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini membidas kenyataan Hasan yang juga ahli exco kerajaan negeri Selangor kerana menganggap tuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar sebagai perkara peribadi.
"Biar saya ulangi pendirian PKR dan Pakatan yang bersatu dalam menyokong Anwar dan bahawa dakwaan itu adalah satu rekayasa dan politik murahan yang digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional. Adakah Hasan merestui politik murahan yang digunakan oleh Umno dan BN.
"Oleh itu, ia tidak wajar baginya untuk mengatakan ini adalah perjuangan peribadi Anwar dan salah baginya untuk melibatkan orang ramai kerana kenyataannya itu bukan merupakan pendirian Pakatan.

"Saya berharap dan medesak PAS supaya bertindak terhadap kenyataan Hasan yang celupar ini yang tidak sepatut diluahkan untuk agenda peribadinya,” katanya.
Menurut Azmin, ketika Hasan mencerca ketua pembangkang itu, Anwar sedang mengunjungi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu yang telah menyatakan sokongan beliau.
"Nik Aziz kata beliau akan datang pada 9 Januari ini jika kesihatannya membenarkan. Siapa Hasan yang berkata sebaliknya (meminta ahli-ahli PAS tidak datang)?" soalnya.
"Saya harap PAS mengkaji mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Hasan. Jika dia tidak mahu hadir, dia tak perlu hadir tetapi demo HIMPUN dia hadir," kata Azmin.
Azmin mengulas kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang semalam mengeluarkan kenyataan bahawa adalah
tidak sesuai mengheret rakyat menyertai perhimpunan haram itu semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasan yang juga exco kerajaan negeri Selangor juga mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir pada Isnin ini.
Ditanya sama ada beliau akan mengesyorkan kerajaan Selangor yang diterajui PKR oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menggugurkan Hasan dari barisan exco negeri, Azmin berkata bahawa beliau akan membiarkan PAS mengambil tindakan pertama.
__________________________________________________________
Malaysiakini 06-01-2012
Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR, 6 Jan: Kalau semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dipenjarakan sekalipun, rakyat akan tetap bangkit menyelamatkan negara ini dari cengkaman kekuasaan Umno, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Beliau menegaskan perkara itu ketika pelbagai ramalan menyatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipenjarakan.
"Kebencian terhadap Umno yang semakin berapi-api dengan laungan bersama 'asal bukan Umno' tidak peduli lagi sama ada pemimpin atau tidak ada pemimpin.
"Zaman telah berubah dan 'asal bukan Umno' menjadi pembakar semangat bersama dan faktor kepimpinan hanya faktor nilai tambah dan bukan lagi penyebab utama kebangkitan rakyat hari ini," kata beliau.
Dengan kes masing-masing yang biasanya dikaitkan dengan apa yang didakwa sebagai perhimpunan haram, kata Mohamad, ramai pemimpin PR kini menghadapi perbicaraan di mahkamah.
"Saya sendiri menghadapi pelbagai perbicaraan berkaitan dakwaan kononnya menghadiri perhimpunan haram dan apa sahaja mungkin berlaku termasuk hukuman penjara.
"Tetapi sama ada saya bebas di luar untuk berjuang bersama rakyat atau dipenjarakan, semua itu tidak relevan lagi kepada sebahagian yang amat besar rakyat yang terlalu sakit hati dan bencikan Umno dan mahu menghancurkan segera cengkaman kekuasaan parti yang semakin sebati dengan panggilan parti perasuah itu," kata beliau.
Beliau juga memberi contoh peristiwa yang berlaku ketika Operasi Lallang pada tahun 1987 dahulu.
"Walaupun ramai pemimpin barisan hadapan ditangkap, tetapi semangat dan gerakan rakyat melawan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak mampu dipadamkan malah semakin geram dan membara," kata beliau.
Contoh diluar negara pula, kata Mohamad, ialah kebangkitan rakyat di Tunisia yang berjaya menggulingkan pemerintah kejam di negara itu baru-baru ini.
"Ramai pemimpin pembangkang yang terpaksa lari keluar negara dan rakyat tidak mempunyai 'central figure', tetapi seperti yang diakui sendiri oleh Rashid Ghannushi yang memimpin parti An-Nahdhah yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya negara itu baru-baru ini, kebangkitan tanpa pemimpin itulah yang berjaya menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali yang kejam itu," tegas beliau.
Beliau yakin, impian Umno untuk melihat lumpuhnya kebangkitan rakyat dengan keputusan perbicaraan Anwar itu akan hangus terbakar dengan berapi-apinya semangat 'asal bukan Umno' yang tidak lagi bergantung kepada mana-mana pemimpin.
Mengenai perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’ pada 9 Januari ini, beliau menegaskan: "Ahli dan penyokong PAS boleh mengiringi Presiden dan Timbalan Presiden untuk mengikuti keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini". |