KUALA KURAU - PKR Negeri yakin dapat mengumpulkan 10,000 penyokong bagi untuk ke Mahkamah Persekutuan Jalan Duta bagi menjayakan Kempen Bebas Anwar 901 pada 9 Januari nanti, sekali gus memberi soko­ngan padu kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Strategi PKR Negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, beliau akan memastikan PKR di setiap cabang menghantar sekurang-kurangnya 500 ahli dan penyokong pada tarikh berkenaan sungguhpun ia merupakan hari bekerja.
“PKR di setiap cabang termasuk AMK dan Wanita Keadilan telah bekerja keras menjalankan kempen menggunakan pelbagai medium termasuk laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menggesa orang ramai ke perhimpunan aman itu.
“Kita percaya majoriti rakyat bersama kita dan tidak gentar dengan pelbagai ama­ran­ serta tekanan daripada pihak keselamatan kerana hak berhimpun secara aman telah termaktub dalam perlembagaan negara,” katanya.
Menyifatkan keadaan huru hara hanya akan berlaku bila pihak keselamatan bertindak secara keterlaluan, Abdul Yunus berkata, pelbagai usaha akan dijalankan pihak tertentu bagi menggagalkan Kempen Bebas Anwar 901 pada tarikh tersebut.
“Kami tak kisah dengan semua usaha itu, termasuk ratusan laporan polis kerana ia telah memberi publisiti kepada kempen ini, dan kami harap polis te­rutamanya dapat bersikap adil dan menghormati hak orang awam untuk berhimpun,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata, sama ada Anwar bersama PKR atau tidak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti, PKR dan Pakatan Rakyat pasti akan menang kerana persediaan tahap maksima telah dibuat untuk menumbangkan Umno serta BN.
“Ini adalah usaha terakhir UMNO untuk menyumbat Anwar ke penjara dengan tujuan membunuh karier politik beliau dan kebanyakan rakyat Malaysia sudah jijik dengan taktik kotor BN yang bertenta­ngan­ dengan ajaran agama, budaya dan nilai ketimu­ran­,” katanya.


_____________________________________________________________________




Pemuda PAS Akan Memberi Sepenuh Sokongan Untuk Menjayakan Himpunan Bebas Anwar 901





SHAH ALAM, 5 Jan - Pemuda PAS akan memberi sepenuh sokongan bagi menjayakan himpunan 100,000 rakyat bagi melahirkan bantahan terhadap sistem kehakiman negara yang terlalu banyak dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi (foto) berkata pemuda PAS akan sentiasa teguh berada dalam kesepakatan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan sebarang isu yang melibatkan nasib rakyat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berharap semua yang hadir tidak melakukan sebarang huru-hara atau mengujudkan suasana tegang.
"Berdasarkan pengalaman kita samaada ketika Demontrasi Bersih 1 dan Bersih 2 dan beberapa himpunan aman lain banyak provokasi dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu mengujudkan suasana tegang supaya pihak polis boleh mengambil tindakan menangkap peserta.
"Pemuda PAS berharap seluruh hadirin yang datang nanti akan terus mengekalkan sikap matang dan terbuka dan tidak terpengaruh dengan provokasi yang dicetuskan oleh pihak tertentu."

kata beliau Menerusi blognya, beliau sendiri akan menghadiri himpunan tersebut yang membawa mesej kepada kerajaan UMNO dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah.
"Menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya (Anwar). Ini adalah satu kezaliman dan penginayaan. Tidak baik membiarkan pemerintahan begini mengurus negara dan rakyatnya.

Kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penginayaan yang dilakukan." tulisnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang mengatur dengan barisan pemuda PR untuk mendapatkan pelbagai gambaran berhubung himpunan tersebut.

"Saya pasti sebagaimana himpunan aman bersih dahulu ramai akan mengambil gambar dan video supaya menjadi bukti apa-apa tindakan provokasi dan salah guna kuasa pihak polis.
"Kita juga tidak boleh mengharapkan maklumat dari pihak polis sebagaimana berlaku dalam insiden Bersih 2.0 lalu."