Monday, October 31, 2011

Sekatan Terhadap Hudud Bukti Islam Tidak Bebas Di Amalkan Dalam Negara Kita


Oleh: Tok Janggut

Banyak pemimpin dalam negara kita memperkatakan tentang Perlembagaan Negara yang membenarkan semua agama mengamalkan amalan agama masing-masing tanpa sebarang halangan dengan syarat tidak mengganggu atau menghina agama lain. Agama Islam diletakan sebagai agama rasmi negara tanpa diketahui apakah keistimewaan dan kelebihanya yang dikatakan sebagai agama rasmi itu.

Agama-agama lain pula bebas mengamalkan apa yang diperintahkan oleh agama mereka. Ada yang memukul gendang ketika ada kematian dikalangan mereka samada di rumah si mati dan ada yang bermain muzik di tempat ibadah mereka dengan kuat tanpa dibantah oleh penganut Islam kerana itu adalah cara agama mereka. Umat Islam tidak boleh menghalang kerana Nabi telah memberi amaran supaya kita sebagai umat Islam tidak mengganggu orang bukan Islam untuk mengamalkan apa yang diajar oleh agama mereka.

Tetapi adakah bagi penganut agama Islam bebas pula untuk mengamalkan sepenuhnya ajaran agama mereka? Melaksanakan arahan dan perintah tuhan mereka yakni Allah? Melaksanakan amanah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW? Jawapanya tidak dan tidak sekali-kali. Terlalu banyak bukti dan fakta untuk menguatkan hujah ini.

Syariat Allah yang didalamnya termasuk melaksanakan hukum hudud, qisas dan sebagainya masih lagi dihalang, dibantah malahan diburuk-burukan samada oleh kalangan penganut bukan Islam malahan dikalangan umat Islam sendiri.

Ustaz-ustaz, tok guru, alim ulama pula disekat dari menyampaikan ilmu-ilmu di rumah-rumah Allah dengan berbagai sekatan seperti perlukan tauliah sedangkan mereka-mereka itu dikenali umum akan ilmu dan akhlaknya. Ini mengakibatkan sebahagian besar umat Islam terus jahil terhadap agama mereka sendiri. Sekiranya alasan yang berikan untuk menghalang kuliah ilmu atas sebab ajaran yang dibawa bercanggah dengan Quran dan Hadis Nabi, itu bolehlah diterima tetapi alasan yang diberi ialah tidak ada tauliah. Halangan ini dibuat oleh umat islam sendiri, oleh jabatan yang kononya menjaga hal ehwal agama Islam.

Mengapa pihak yang mengajar ajaran yang jelas sesat dan syIrik tidak pula dihalang atau diambil tindakan tegas? Ayah Pin di Terengganu, sudah bertahun-tahun mengajar di markasnya di Besut, tidak pula diambil tindakan kecuali setelah kesesatanya telah merebak keluar dan diketahui umum, barulah pejabat agama bertindak. Apakah selama ini Ayah Pin itu mempunyai tauliah dari Pejabat Agama. Tindakan pun hanya sekadar meroboh markasnya sahaja sedangkan Ayah Pin bebas kesana kemari dan mungkin akan buat markasbarunya di tempat lain pula. Begitunya dengan ajaran Cikgu Kahar, Kasim Ahmad yang menentang hadis Nabi, semuanya hidup selesa tanpa gangguan. Jika ada pendakwaan pun, itu hanyalah sebagai lakunan sahaja untuk mengaburi mata rakyat. Yang pastinya, mereka semua adalah penyokong tegar UMNO dulu, kini dan selamanya dan sebab itulah tiada tindakan diambil terhadap mereka.

Halangan melaksanakan syariat Allah seperti hudud, menyampai ilmu di rumah-rumah Allah membuktikan bahawa tidak ada kebebasan sebenarnya buat umat Islam dalam negara kita ini untuk melaksanadan mengamalkan ajaran agama kita sedangkan penganut agama lain bebas tanpa ada sekatan pun bagi mereka untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Hudud bukan sahaja di fitnah sebagai undang-undang yang zalim, tidak adil, tidak sesuai, kolot, ketinggalan zaman dan sebagainya oleh orang bukan Islam tetapi lebih hebat lagi fitnah itu keluar dari mulut orang yang mengaku beragama Islam. Mereka dengan sombong dan angkuh membuat fitnah terhadap Allah dan Rasul. Ada yang mempertikaikan hukuman hudud itu dengan mendakwa mengapa hanya dikenakan ke atas umat Islam sahaja sedangkan jika berlaku zina antara lelaki bukan Islam dengan wanita Islam, hanya wanita itu sahaja dihukum hudud sedangkan lelaki bukan Islam hanya mungkin didenda atau dipenjara sahaja.

Ingatlah, hudud adalah syariat Allah untuk orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan penganut agama lain. Hanya orang yang sudah rosak aqidah nya sahaja yang akan menentang dan akan memberikan beribu alasan supaya hudud tidak berjaya dilaksanakan. Mengapakah ketika dibulan Ramadhan ada umat Islam ditangkap kerana makan atau minum disiang hari bersama rakan mereka yang bukan beragama Islam di restoran milik bukan Islam dan didakwa di pejabat agama?

Persoalanya, mengapa orang bukan Islam yang sama-sama minum atau makan itu tidak ditangkap dan didakwa sama dipejabat agama? Jawapanya mudah, ini adalah kerana puasa itu tidak diwajibkan kepda penganut bukan Islam, puasa hanya wajib ke atas umat Islam. Begitu juga orang bukan Islam yang tidak solat lima waktu, tidak bayar zakat dan sebagainya, mengapa tidak ditangkap dan didakwa oleh pejabat agama? Kerana solat, zakat dan sebaginya hanya untuk orang Islam dan wajib bagi orang Islam sahaja tetapi tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam. Samalah seperti hukum HUDUD dan QISAS. Hukuman ini hanya wajib ke atas umat Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak ada kena mengena denganya. Jika kita libatkan mereka juga bermakna kita telah memaksa mereka supaya mematuhi ajaran Islam dan ini bercanggah dengan ajaran Nabi. Mengapa jahil sangat?

Bagi umat Islam yang menghalang perlaksanaan hudud dan qisas ini apatah lagi cuba menghasut umat Islam dan bukan Islam supaya menentang syariat Allah dari dilaksanakan ini dengan gambaran yang buruk ialah merupakan golongan penyesat yang cuba untuk menyesatkan umat Islam yang lain supaya terus menentang perintah Allah dan Rasul. Mereka setaraf dengan Ayah Pin, Cikgu Kahar dan golongan anti hadis itu. Tetapi yang peliknya, tidak pula pejabat agama menangkap dan mendakwa mereka atas tuduhan menghina syariat Allah! Malahan mereka ini disanjung dan bebas bercakap menghina syariat Allah ini kesana dan kemari. Pejabat agama dan pihak tertentu sibuk mengutuk agama lain kononya ingin memurtadkan umat islam sehinggakan diadakan perhimpunan kononya untuk menjaga kesucian Islam tetapi bila ada pemimpin besar mereka menghina dan mempersendakan syariat Allah, mereka diam dan bisu pula! Apakah ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin besar mereka yang menghina syariat dan meracuni pemikiran umat Islam supaya menentang dan menghalang syariat Allah dari dilaksanakan itu tidak termasuk dalam jalan mudah untuk murtad?

Oleh itu, bukalah hati dan celikan mata wahai umat Islam semua. Sebenarnya kita masih lagi belum dan tidak bebas untuk melaksanakan ajaran dan tuntutan agama kita dalam negara kita ini. Kebebasan kita sentiasa dihalang dan disekat untuk kita mendalami ilmu Allah ini. Kebebasan yang diberikan sekarang hanyalah sekadar menuruti apa yang dibenarkan dan ditinggalkan oleh penjajah dahulu bukanya kebebasan dalam erti kata yang sebenar seperti yang diajarkan oleh Nabi kita. Maka sedarilah bahawa kita sebagai umat Islam yang tinggal dalam negara kita sendiri sebenarnya tidak bebas bukan sahaja dalam bab kebebasan mengamalkan ajaran agama bahkan dalam aspek lain juga kita turut dikongkong.


Kita hanya akan terlepas dari kongkongan ini dan menikmati semua kebebasan yang berasaskan Quran dan Sunnah hanya akan kita perolehi sepenuhnya sekiranya kita berjaya menumbangkan kerajaan yang sedang berkuasa sekarang ini dalam PRU13 nanti. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment