Monday, October 3, 2011

Tak Layak Cakap Tentang Islam Jika Kehidupan Penuh Dengan Kebathilan



Posted on Saturday, October 01 @ 22:43:33 PDT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

ArtikelOleh: Tok Janggut
Kini semua orang hendak bercakap tentang Islam. Tentang hudud, tentang maqasid syariah dan berbagai lagi. Apakah mereka sedar atau tidak, dalam mereka berapi-api bercakap dan mendabik dada bahawa mereka adalah penyokong Islam, ingin menegakan Islam, laksanakan syariat Allah dan mengutuk Yahudi dan Zionis tetapi dalam masa yang sama mereka jugalah yang menolong meningkatkan ekonomi puak Yahudi dan Zionis.

Di kedai-kedai kopi malahan dalam masjid atau surau pun ada antara mereka ini begitu bersungguh-sungguh mempertahankan Islam, mengutuk orang yang menentang Islam tetapi mereka tidak sedar dihujung bibir mereka ketika itu keluarnya berkepul-kepul asap rokok keluaran dari syarikat milik orang Yahudi. Dunhill, Benson, Malboro dan berbagai jenama lagi yang harganya jika dikumpul setiap bulan boleh diberikan kepada umat Islam yang memerlukan sumber kewangan untuk menampung keluarga mereka yang dhaif dan melarat.

Ada pula yang memberi alasan yang mereka tidak beli rokok milik Yahudi tetapi keluaran dari Indonesia seperti gudang garam ataupun hanya menghisap rokok daun buatan orang kampung. Betullah tu, tetapi lupakah mereka asap rokok itu boleh membahayakan kesihatan penghisapnya dan orang yang berada disekelilingnya termasuk anak dan isteri? Bukankah itu termasuk dalam kategori membahayakan dan membinasakan diri sendiri dan ianya juga dilarang oleh Allah dan Rasul? Bagaimalah Allah nak bantu perjuangan kita seandainya kita cakap tak serupa bikin.

Selain dari itu, puak yang menyala-nyala dan berkobar-kobar bercakap tentang Islam ini juga boleh dilihat akhlaknya dan keadaan rumahtangganya juga. Waktu maghrib berlumba-lumba ke masjid atau surau mengepit kitab untuk dengar kuliah tetapi anak-anak di rumah tersandar depan peti TV menonton berbagai cerita khayalan dalam keadaan muazim sedang melaungkan azan. Mereka bercakap soal dosa pahala, soal haram dan halal tetapi isteri dan anak-anak perempuan jelas keluar rumah tanpa menutup aurat sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul.

Malahan jika dalam rumah pun jika ada sedara mara, ipar atau pak sedara yang bukan mahram juga wajib kita arahkan anak perempuan dan isteri menutup aurat, walaupun dalam rumah kita sendiri. Mereka sekadar rasa cukuplah isteri dan anak perempun pakai tutup kepala,sedangkan pakaianya ketat, nipis dan lenganya terdedah hingga ke siku. Apakah ini menutup aurat bukan salah satu dari tuntutan Islam? Bukankah Allah telah memberi jaminan bahawa mana-mana bapa atau suami yang membiarkan isteri dan anak perempuan tidak menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram akan dilemparkan ke neraka kelak? Itu belum masuk dosa membiarkan anak tidak solat, bergaul bebas lelaki perempuan yang bukan mahram umpama makhluk di rimba lagi.

Mengapa selalu dengar kuliah tetapi kehidupan keluarga sama seperti puak jahiliah juga? Kerana menuntut ilmu atau pergi dengar kuliah bukan dengan hati yang ikhlas tetapi hanya bertujuan hendak menunjuk kepada orang lain bahawa dia saja lah yang alim, yang rajin ke masjid berjemaah dan dengar kuliah. Apa yang didengar dan disampaikan oleh penceramah atau ustaz hanya umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, tidak ada perubahan langsung samada pada diri sendiri dan pada keluarga.

Tidak terkesan dalam hati kerana tanpa keikhlasan maka tiadalah hidayah dari Allah. Tak cukup dengan pergi dengar di masjid, beli pula CD hinggakan bertimbun dalam rumah. Buka CD dirumah dengar bersama keluarga, tetapi tetap seperti asal juga. Tidak ada keinsafan dan mengambil iktibar dari ceramah tersebut. Yang pasti anak perempuan setiap hari dijemput Mat Rempit keluar entah kemana. Si bapa dan si ibu ayam tetap tidak membantah. 



Yang pasti, sekiranya syariat Allah termasuk hudud berjaya dilaksanakan kelak, orang begini jugalah yang akan menentang hukuman tersebut sekiranya terkena batang hidung sendiri. Maka tak ubahlah dan tidak ada bezanya mereka ini dengan puak yang mereka kutuk dan cerca kerana menentang syariat Allah itu.

Jika ditanyakan , bagaimanakah bentuk negara Islam yang hendak kita perjuangkan dan yang hendak kita dirikan dan yang hendak kita sokong sedangkan dalam masa yang sama dalam rumah kita sendiri terdedah dengan dosa dan mengundang ke neraka Allah? Ini bukan tuduhan penulis tetapi fakta dan kenyataan yang berlaku di depan mata. Jika hendak sokong laksana syariat Allah, pastikan dalam rumahtangga kita dulu melaksanakan tuntutan Allah dan Rasul. Barulah berjaya.


Kita hanya berbangga melihat anak kita solat, pandai mengaji Quran sehingga ada yang Qhatam Quran dua atau tiga kali setahun, tetapi adakah kita sudah mengajar anak kita mengenal penciptanya? Ilmu tauhid terutamanya berkaitan dengan sifat Allah (sifat 20), adakah anak kita sudah faham dan menghayatinya? Dibimbang juga, si ayah atau si suami yang berdegar-degar cakap pasal Islam, pasal hudud itu sendiripun tak faham sifat 20, tidak mendalami ilmu Tauhid. Kalau setakat tahu sebut Ujud, Qidam, Baqa dan seterusnya itu, anak-anak sekolah Tadika pun tahu. Jika tak faham, nak solat macamana, naik haji buat apa, puasa untuk siapa dan nak laksanakan hudud atas dasar apa? Allah pun kita tak kenal lagi. Kerana tanpa memahami ilmu Tauhid, kehidupan kita terdedah kepada perbuatan dan perkataan yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.


Ini belum masuk bab ilmu akhlak atau ilmu tasauf yang berperanan membersihkan kekotoran dalam hati dari sifat mazmumah. Dendam, riak, takabur, ujub, busuk hati, sombong, dengki dan berbagai lagi sifat-sifat milik iblis ini sentiasa bersarang dalam hati kita. Jangan kita sangka orang berjubah, berserban, pak ustaz, tok mufti dan sebagainya bersih hati mereka dari sifat-sifat ini. Apatahlagi orang awam dan jahil seperti kita ini.



 Jangan terpedaya. Dan lagi tanpa membersihkanya dengan ilmu tasauf, apakah Allah akan menerima ibadah kita?

Oleh itu, marilah kita bersama memperbaiki diri kita dahulu, memperbaiki keluarga kita, anak dan isteri kita sebelum kita melangkah jauh dalam menunaikan perintah Allah dan Rasul. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment