Friday, March 1, 2013

Tragedi Lahad Datu bukti kerajaan gagal kawal keselamatan negara- AMK


Tragedi Lahad Datu bukti kerajaan gagal kawal keselamatan negara- AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia merasa begitu pilu apabila mendapat khabar dua anggota perajurit kita, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin dari Unit 69  telah tewas dalam satu pertempuran di Lahad Datu dalam satu insiden atau lebih layak dipanggil drama apabila sekumpulan lelaki bersenjata kononnya daripada Kesultanan Sulu menuntut hak mereka dan mengepung sebuah kampung bernama Kampung Taduo.amks
AMK Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang terancang semata-mata untuk memastikan sesetengah pihak terus memegang tampuk kekuasaan di negara yang tercinta ini. Tragedi Lahad Datu tidak lebih kurang plotnya berbanding insisden Sauk dan Memali yang pernah terjadi, menjelang beberapa siri pilihanraya yang kelihatan tidak memihak kepada pemerintah.
AMK Malaysia juga mengecam sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan rakyat, dan dalam kes ini jelas sentimen ketakutan itu cuba dicetuskan kepada masyarakat Sabah, diambang mereka kelihatan begitu bersedia bagi menamatkan badi pemerintahan Barisan Nasional yang jelas tidak mampu sama sekali membawa arus perubahan ke negeri di bawah bayu itu.
AMK Malaysia mempersoalkan yang pertama sekali bagaimana sekumpulan lelaki ini dapat mendarat di Lahad Datu, di sebalik kononnya gah buah kapal selam Scorpene menjaga perairan kita di Laut China Selatan? Adakah mereka ini begitu hebat hingga gagal dikesan oleh kapal selam canggih ini? Atau adakah unit peronda marin kita juga gagal melaksanakan tugas dengan baik?
Atau sebenarnya semua unit keselamatan pertahanan negara ini diarahkan memberi ‘laluan’ kepada kumpulan lelaki bersenjata ini?
AMK Malaysia juga mempersoalkan kenapa sepanjang lebih tiga minggu tragedi ini berlangsung, tidak ada sebarang maklumat tepat yang diperolehi oleh rakyat Malaysia atau sebarang kenyataan rasmi yang meyakinkan daripada kerajaan sehingga pelbagai spekulasi dilakukan di media sosial.
(Gambar PhilStar.com)
(Gambar PhilStar.com)
Adakah keadaan ini dibiarkan berlaku bagi membina tekanan minda terhadap masyarakat Sabah khasnya , dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk mengalihkan isu sebenar di sebalik kepulangan PI Bala untuk isu pembunuhan Altantuya Shariibuu dan juga pembentangan Manifesto Rakyat oleh Pakatan Rakyat yang jelas menggoyahkan Barisan Nasional.
AMK Malaysia juga mengecam tindakan kerajaan yang terlalu berlembut dengan kumpulan bersenjata ini, sehingga mereka boleh dibiarkan bertahan berminggu-minggu di dalam kedaulatan wilayah kita sendiri. Keadaan ini jelas berbeza apabila Kementerian Dalam Negeri dalam sikapnya menangani isu tempatan seperti siri demonstratsi Bersih dan sebagainya.
AMK Malaysia percaya jiwa yang terkorban ini, samada dua perajurit kita dan juga dari pihak Sulu ini boleh dielakkan jika langkah-langkah bijak dilakukan segera serta penuh berani. Rundingan yang dicanang-canang akhirnya tetap mengorbankan nyawa manusia sebagai bukti Barisan Nasional sebagai kerajaan gagal untuk menangani masalah dengan baik.
AMK Malaysia mengucapkan takziah kepada dua perwira yang terkorban dalam tragedi Lahad Datu ini, dan meminta seluruh anggota Angkatan Muda Keadilan yang beragama Islam memberi sedekah Al-Fatihah kepada wira negara ini. Dua perwira ini haruslah disemadikan dengan penuh istiadat perwira dan penghormatan negara. Keluarga mereka juga haruslah terus dibela dan diberi bantuan yang secukupnya sebagai menghargai pengorbanan dua perwira ini.

Azmizam Zamanhuri
Naib Ketua AMK Malaysia

No comments:

Post a Comment