Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat logo Parti Sosialis Malaysia (PSM) mungkin tidak sesuai untuk digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya ke Sungai Siput bulan lalu dan saya lihat ada sentimen di bawah itu yang sangat runsing untuk menerima lambang baru itu yang dianggap 'macam-macam'.

"Tahu-tahulah dalam propaganda sekarang ini, (dianggap) komunislah, (Che) Guevara-lah, Mao Zedong-lah.

"Jadi saya minta perkara ini dibincang semula dengan PSM supaya dapat dicari penyelesaian yang baik," katanya dalam satu majlis dialog di Shah Alam malam tadi.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan editor akhbarMalaysia Nanban, V Kesavan tentang kemasukan PSM sebagai parti komponen Pakatan Rakyat.
Menurutnya lagi, parti itu juga perlu mengiktiraf dasar ekonomi Pakatan Rakyat jika mahu diterima menyertai gabungan itu.