Khairul Azlam Mohamad, | 01 Mac 2013 |

Syed Azman menyerahkan dokumen kepada Penolong Pegawai Siasatan SPRM Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu bakal disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berkaitan penyelewengan, rasuah serta salah laku dalam pengurusan hasil balak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS dan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini telah membuat satu laporan serta penyerahan dokumen kepada SPRM Terengganu yang diterima oleh Penolong Pegawai Siasatan, Mohd Fadzil Abd. Jabar.
Katanya, penyerahan dokumen tersebut penting kerana mempunyai unsur rasuah, penyelewengan, salah urus dan salah laku yang mungkin melibatkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Menurutnya, setiap syarikat pembalakan masing-masing diagihkan kawasan seluas 1,000 ekar kepada 12 buah syarikat konsesi.
“Kita dapati sebanyak 12 (syarikat) pembalak dikehendaki membayar setiap syarikat RM2.5 juta kepada sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur. Selain, membayar secara rasmi premium kepada kerajaan negeri Terengganu, mereka kena bayar ‘under table’ RM2.5 juta.
“Dua dokumen telah diserahkan kepada pihak SPRM Terengganu untuk tindakan selanjut. Insya Allah, kita mengharapkan sesuatu yang positif,” ujarnya pada satu sidang media di lobi pejabat SPRM Terengganu.
Menurutnya, hasil kutipan ‘under table’ RM2.5 juta yang dikenakan kepada 12 buah syarikat pembalakan tersebut mencecah RM30 juta.
Hadir sama ialah Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk’ Raja Kamarul Bahrin Shah, Presiden Gabungan Anak Terengganu (Gate), Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Ikatan Mantan Adun dan MP Parlimen (Imam) Terengganu, Che Ghani Ambak dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohd Fauzi Abu Samah.
No comments:
Post a Comment