Datuk Dr Awang Adek Hussin
Datuk Dr Awang Adek Hussin
KOTA BHARU - Manifesto pakatan pembangkang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara yang kini berkembang pesat, kerana pelaksanaan manifesto itu melibatkan implikasi ekonomi yang besar, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.
"Semua janji-janji itu melibatkan perbelanjaan yang begitu besar. Keduanya pengurangan hasil kepada kerajaan kerana sumber-sumber cukai dimansuhkan umpamanya harga kereta dan ini memberi  kesan yang begitu besar terhadap kewangan negara.   
"Soal kewangan ini adalah soal yang paling penting. Seperti contoh ada negara di Eropah yang bankrap dan hampir bankrap kerana kegagalan menguruskan soal kewangan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Evaluation of Learning for Performance Improvement International Postgraduate Colloquium' di sini, hari ini.
Semalam pakatan pembangkang melancarkan manifesto 10 perkara menjelang PRU 13, antaranya pendidikan percuma bermula dari prasekolah hingga menara gading, kad keanggotaan DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS yang boleh diguna di semua
plaza tol untuk mendapat tol percuma selain penurunan cukai eksais kereta secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun.
Awang Adek berkata ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti berjaya membangunkan negara walaupun ketika berlaku kegawatan ekonomi pada satu ketika dahulu.
"Kerajaan BN mempunyai pengalaman menangani apa jua keadaan dan ketika negara lain  terpaksa menghadapi tekanan dan tunduk terhadap IMF tetapi kita berjaya menanganinya dengan sangat  baik. Kerana pengalaman itu kita telah berjaya melonjak ekonomi negara di tahap 5.6 peratus. Ini satu  kejayaan," katanya.
"Saya mempunyai sedikit pengalaman dan bimbang dengan janji-janji politik yang boleh  merosakkan tradisi kita dalam pengurusan yang baik ini. Saya bimbang rakyat termakan dengan janji-janji yang akhirnya akan merosakkan mereka," katanya lagi. - Bernama