Wednesday, September 28, 2011

Mengapa Pakatan Rakyat diserang habis-habisan

Semua tertumpu ke Pejabat Agung PAS malam ini | Print |
Zulkifli Sulong   
KUALA LUMPUR, 28 Sept: Semua mata tertumpu kepada Pejabat Agung PAS malam ini iaitu tempat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan mesyuaratnya.

Walaupun tidak ada panggilan untuk sidang akhbar, adalah dijangka wakil media akan memenuhi perkarangan bangunan PAS itu bagi mendapatkan keputusan mesyuarat yang bakal menentukan hala tuju politik Malaysia selepas ini.

Harakahdaily difahamkan, pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan cadangan PAS 'untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah untuk orang Islam dan di Kelantan sahaja.'

Isu ini berbangkit ekoran cabaran bekas Perdana Tun Dr Mahathir Mohamed agar kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud kerana beliau sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir, beliau telah dianggap oleh PAS sebagai penghalang pelaksanaan hudud ekoran surat amaran yang beliau hantar kepada Menteri Besar Kelantan yang melarang kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya.

Ekoran itu, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan meminta kebenaran daripada PM sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Belum sempat permohonan dibuat, Najib sudah berkata, kerajaan tidak akan membenarkan hudud dilaksanakan di negara ini.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga berkata, hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana berlawanan dengan perlembagaan dan DAP tidak bersetuju dengannya.

Yang menjadi bertambah parah lagi apabila media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, kesemua pimpinan DAP yang ada sekarang akan meletakkan jawatan jika hudud dilaksanakan melalui platform Pakatan.

Walaupun ia laporan yang tidak tepat (kerana apa yang dikatakan beliau adalah kesemua pemimpin DAP akan meletakkan jawatan jika pelaksanaan hudud ada dalam agenda bersama Pakatan iaitu dalam buku Jingga yang telah dikeluarkan), ia telah mengelirukan banyak pihak.

Hubungan PAS dan DAP sebelum ini telah pecah pada tahun 2003 apabila berbangkit isu Negara Islam selepas dokumen negara Islam dikeluarkan PAS.

Selepas satu mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel, DAP memutuskan keluar dari Barisan Alternatif (BA) dengan meninggalkan PAS dan Keadilan.

Ekoran dari perpecahan itu dan isu-isu yang berkaitan dengannya, PAS dan Keadilan ketika itu telah kalah teruk dalam pilihan raya umum 2004 termasuk kehilangan sebuah negeri iaitu Terengganu dan mengekalkan Kelantan dengan majoriti yang kecil (tiga kerusi yang kemudiannya menjadi satu kerusi selepas PAS kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir).
Suasana berbeza
Kini, dengan suasana yang berbeza, isu panas antara PAS dan DAP datang lagi dan pemimpin PAS dan DAP akan bertemu lagi. Isunya adalah pelaksanaan undang-undang jenayah syariah yang termasuk hukum hudud di dalamnya.

Tetapi kali ini, ada PKR di tengah-tengah dengan pengerusi kepada mesyuarat ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hampir semua pemimpin kanan ketiga-tiga parti akan hadir dalam mesyuarat yang bermula jam 9 malam ini kecuali Tuan Guru Nik Aziz yang tidak dapat hadir (mungkin keberatan untuk memberikan kebebasan perbincangan).

Bagi penganalisis politik, Profesor Bridget Welsh, hudud bukan isu utama rakyat negara ini sekarang kerana isu utamanya adalah isu ekonomi, isu bagaimana kerajaan BN telah menggunakan duit rakyat untuk mempertahankan kuasa mereka.

Namun, bagi sesetengah pihak dalam PAS, isu ini adalah kebaikan yang datang dalam masalah yang menimpa (blessing in disguise).

Bagi mereka, serangan Umno terhadap PAS kononnya 'PAS adalah kuda tunggangan DAP' akan dibuktikan dalam isu ini.

"Jika PAS berkata bersetuju untuk tidak melaksanakan hudud sebagaimana kehendak DAP, maka sahlah tuduhan Umno bahawa PAS adalah kuda tunggangan DAP.

"Namun, jika PAS, PKR dan DAP dapat mencapai kata sepakat untuk berkata, 'kita benarkan PAS laksanakan undang-undang ini untuk orang Islam sahaja dan di Kelantan sahaja bukan untuk lain-lain negeri', saya yakin halangan untuk Pakatan Rakyat menuju Putrajaya tidak ada lagi.

"Tetapi, jika isu ini gagal dicapai kata sepakat malam ini, dan DAP akan mengambil tindakan yang sama sebagaimana tahun 2003 lalu, Pakatan akan hancur dan saya yakin DAP juga akan kehilangan sokongan khasnya orang Melayu," kata pemimpin PAS itu.

Bagi beliau, Kelantan dimenangi oleh PAS sejak tahun 1990 tanpa sebarang kaitan dengan DAP dan negeri itu berjaya dipertahankan oleh PAS sehingga kini.

PAS pula bersama dengan Pakatan Rakyat membentuk bersama negeri Selangor, Kedah dan juga Pulau Pinang di samping Perak sebelum ini.

Beliau dengan penuh yakin berkata, pihak yang paling rugi jika perpecahan berlaku adalah DAP kerana sudah pasti Selangor akan jatuh dan silap-silap Pulau Pinang pun akan jatuh dalam pilihan raya akan datang tanpa sokongan Melayu.

"PAS boleh jadi akan berjaya mengekalkan Kelantan dan Kedah walaupun bersendirian atau bersama PKR atas sokongan Melayu dengan isu ini dan boleh jadi akan menang juga di beberapa negeri lain," kata beliau.

Namun, bagi Bridget Welsh (gambar kanan) , andaian ini tidak tepat kerana sebahagian Melayu juga tidak bersetuju dengan hudud dan lebih terpengaruh dengan isu ekonomi apatah lagi pengundi Cina dan India.

Namun beliau bersetuju bahawa, jika PAS benar-benar mahu melaksanakannya, ia perlu melalui proses demokrasi yang terbaik termasuk pungutan suara selepas menang agar tidak ada mana-mana pihak yang terasa dizalimi.

"Itupun akan masih ada golongan minoriti yang akan terasa dizalimi," kata beliau kepada Harakahdaily menjelang mesyuarat malam ini.

Namun, semua persoalan di atas akan dicerakinkan oleh para pimpinan utama Pakatan Rakyat malam ini.

Jika mereka berjaya melepasinya, bermakna jalan ke Putrajaya terbuka luas. Namun, jika ujian hasil mainan Tun Dr Mahathir ini gagal diatasi, esok tidak akan ada Pakatan Rakyat lagi.

Pun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustyafa Ali dikatakan sangat yakin, soal pecah antara PAS dan DAP tidak akan berbangkit dalam mesyuarat malam ini.

Ini kerana, binaan Pakatan yang ada sudah cukup kuat untuk menempuh segala badai yang melanda dan yakin pemimpin Pakatan sudah cukup dewasa untuk mengatasinya dengan baik.
| Print |
Zulkifli Sulong   

Tuesday, September 27, 2011

Serampang banyak mata PATI


SIBUK sungguh Kementerian Dalam Negeri (KDN) saat ini. Selepas fasa pertama proses pendaftaran pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk Program 6P menerusi sistem biometrik berakhir 31 Ogos lalu, kini ia akan memasuki proses pemutihan.

Difahamkan, menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak menang tangan. Setiap fail diterima daripada divisyen para pegawainya hari ini, beliau akan pastikan semua minitnya diperoleh esok. Itu adalah komitmen beliau untuk memastikan keberkesanan sistem penyampaian.

Tarikh bermulanya proses pemutihan, komponen kedua dalam Program 6P akan bergantung kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Oktober depan.

Dipercayai penentuan tarikh proses pemutihan yang bakal diumumkan kelak akan mengambil kira keadaan persekitaran dan keselamatan negara. Kejayaan awal Program 6P terserlah menerusi proses pendaftaran yang merupakan komponen pertamanya. Ia menunjukkan hasil positif apabila lebih 2.3 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) mendaftar secara sukarela. Daripada jumlah itu, seramai 1.3 juta adalah PATI manakala selebihnya pendatang yang sah.

"Persepsi masyarakat ramai tidak tepat bila menganggap Program 6P ini adalah fasa pemutihan semata-mata. Sebaliknya ia menjurus kepada pelaksanaan program penyelesaian menyeluruh terhadap pekerja asing dan PATI serta termasuklah pelajar," ujar Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam kepada Utusan Malaysia.

Impak kejayaan awal Program 6P tercerna menerusi pelaksanaan biometriknya. Sistem ini melibatkan pendaftaran kesemua 10 cap jari bagi mengelakkan pemalsuan identiti dan dokumen. Data tersimpan akan digunakan untuk tindakan penguatkuasaan selepas proses pemutihan berakhir.

Sistem ini adalah untuk keselamatan negara dan merupakan salah satu elemen dalam soal penjagaan keselamatan Malaysia. Dan ini sekali gus mendorong ke arah pencapaian agenda besar menangani jenayah rentas sempadan. Selain pendaftaran dan pemutihan, empat lagi komponen 6P ialah Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

Di bawah sistem biometrik contohnya apabila cap jari direkodkan, ia secara automatik mempunyai kod bar. Ia boleh diceraikan dengan sebahagian diletakkan di pasport manakala sebahagian lagi diletakkan dalam dompet. Katakan jika individu terbabit yang telah direkodkan biometriknya ditahan oleh pihak berkuasa atas sesuatu jenayah, maka pihak berkuasa (polis) boleh melakukan imbasan yang pantas dengan menggunakan peranti yang dibawa.

Daripada sejumlah 2,320,034 orang pekerja asing dan PATI yang mendaftar untuk Program 6P, seramai 1,016,908 adalah pekerja asing sah dan 1,303,126 PATI.

Jumlah itu tidak termasuk yang enggan mendaftarkan diri, tidak termasuk pembantu rumah serta tidak meliputi pelarian dan di Sabah dan Sarawak. Justeru, kalau tidak diambil tindakan dengan tidak melalui proses 6P, masalah ini akan menjadi bertambah serius pada masa akan datang.

Daripada proses pendaftaran itu jugalah, rakyat daripada beberapa negara didapati lebih ramai menjadi PATI berbanding pekerja yang sah. Ini terutamanya warga Indonesia iaitu jumlah PATInya adalah seramai 640,609 berbanding pekerja sah seramai 405,312, diikuti Bangladesh 267,803 PATI dan hanya 132,897 pekerja sah. Bagaimanapun jumlah pekerja sah dari Nepal lebih tinggi iaitu sebanyak 221,617 berbanding seramai 33,437 PATI.

Dan daripada 1.3 juta PATI yang telah melalui proses pendaftaran inilah yang meliputi 22 peratus tidak tergolong dalam mana-mana sektor pekerjaan. Inilah elemen penting fasa pemutihan yang akan dibincangkan 3 Oktober tersebut.

"Jawatankuasa Kabinet itu nanti akan memberi panduan sama ada hendak diserapkan atau tidak 1.3 juta orang ini ke dalam sektor tertentu. Contohnya, bekerja di bengkel kereta yang setakat ini PATI tidak dibenarkan tetapi keperluannya memang ada. Cuma, bagaimana keperluan atau isu ini hendak diselesaikan, ini akan dibincangkan pada 3 Oktober itu," kata sumber kepada akhbar ini.

Ketika ini, sektor yang direkodkan untuk penyerapan pekerja asing dan PATI adalah Perkhidmatan (tertinggi), Perkilangan (kedua tertinggi), Pembinaan, Perladangan, Pertanian dan tidak tergolong dalam mana-mana sektor sekitar 22 peratus.

Pada masa sama, program pemutihan ini juga berkait rapat dengan usaha kerajaan untuk mengekang pemerdagangan manusia. Ini termasuk apabila melibatkan penghantaran pekerja asing atau PATI ke Malaysia contohnya warga Bangladesh, yang memerlukan mereka membayar kepada ejen tertentu. Apabila ini berlaku, bukan sahaja PATI terbabit bebas keluar dan masuk ke negara ini malah kebarangkalian untuk mereka diperdagangkan sebagai hamba abdi adalah tinggi.

Dalam aspek ini, Hishammuddin sendiri memberi penekanan kepada jenayah pemerdagangan manusia yang menjadikan negara ini sebagai negara transit. Dalam soal ini jugalah, beliau berbincang dengan rakan sejawatnya di Beijing, China meliputi kemasukan pelancong, perkongsian maklumat dan risikan mengenai sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa serta perjalanan barang-barang buatan dalam konteks perdagangan yang boleh ditafsirkan sebagai bahan-bahan ancaman nuklear.

Dan difahamkan satu memorandum perjanjian persefahaman akan ditandatangani di Beijing berhubung perkara ini dalam tempoh terdekat.

Pemerdagangan manusia adalah jenayah serius. Dikatakan puluhan ribu orang boleh menerobos dari sempadan Thailand ke negara ini jika tidak dikekang ke akar umbi.

Kuasa mutlak untuk bertindak membanteras kegiatan ini barangkali bukan kepada tentera. Tetapi yang lebih fokus ialah kepada Jabatan Imigresen yang mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan proses undang-undang itu tercapai.

Reputasi Imigresen yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad perlu ditingkatkan. Atas sebab itulah Hishammuddin kini mengambil inisiatif mengadakan mesyuarat rutin dengan Ketua-Ketua Pengarah Imigresen negeri.

Ironisnya, misi Program 6P berserampang banyak mata.

Kemelut hudud, hipokrasi atau kuku besi?


BELUM pun dilaksanakan, Enakmen Kanun Undang-Undang Jenayah Syariah atau Hukum Hudud Kelantan (HHK) yang diluluskan pada 1993 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali lagi menjadi bahan bertelagah antara parti pembangkang atas masalah prinsip perjuangan yang dipersetujui untuk tidak memperjuangkan usaha menubuhkan negara Islam.

Setelah menang Pilihan Raya Umum 1990, Kelantan menunaikan janjinya dengan menggubal undang-undang itu tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana terlalu banyak kelemahan dan persekitaran yang tidak kondusif.
HHK yang dirangka atas matlamat politik banyak sekali kelemahannya, termasuk tidak memberikan ruang kaedah moden membuktikan sesuatu pertuduhan, mencari saksi yang benar-benar layak dan ketiadaan pengamal undang-undang yang mahir dalam memberi tafsirannya.

Faktor lain penangguhannya, adalah terhalang oleh Akta Mahkamah Syariah dan ditentang oleh sekutunya. DAP tetap tidak berganjak, malah mencabar "langkah mayatnya terlebih dahulu" kerana tetap menganggap Malaysia adalah sebuah negara sekular. Pada 1995, DAP keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah (APU) kerana tidak boleh menerima HHK.

Pada 2002, Terengganu juga meluluskan peraturan yang sama dengan nama Enakmen Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas), atau Hukum Hudud Terengganu (HHT) sebagai bukti benar-benar mahu melaksanakan hukum Islam.

Seperti juga HHK, HHT turut dikecam kerana meniru sebahagian Enakmen Jenayah Syariah Selangor, kelemahan menentukan saksi yang layak, keengganan menerima kaedah mendapatkan bukti secara moden dan saintifik, serta matlamatnya yang lebih bersifat politik.

Apabila Pas menerajui pentadbiran Kedah pada 2008, tidak kedengaran akan melaksanakan hukum hudud malah belum pun ada percubaan membawanya ke DUN untuk diluluskan.

Menteri Besar Kedah nampaknya belajar daripada kesilapan dua Menteri Besar, Kelantan pada 1995 dan Terengganu pada 2003 terpaksa melupakan hasrat itu kerana terlalu banyak kelemahan dan ketidakupayaan mengatasi satu lagi undang-undang yang lebih besar, kerana Akta Mahkamah Syariah menjangkau ke seluruh negeri-negeri di Malaysia.

Pada Jun lalu, ketiga parti pembangkang bersetuju untuk tidak membangkitkan cadangan menubuhkan negara Islam dan Pas memberikan komitmen baru dengan menyesuaikannya ke dalam konsep negara berkebajikan.

Perubahan itu memberikan kelegaan kepada DAP dan PKR kerana tidak lagi perlu mengingatkan Pas bahawa tujuan utama perjuangan mereka adalah memenangi PRU ke-13, yang sedang dispekulasi dengan pelbagai tarikh.

Pembangkang semakin kehilangan modal politik, maka pada 21 Ogos lalu salah seorang pemimpin tertingginya yang diberikan gelaran sebagai 'badut politik' menjolok kemarahan orang Melayu dengan menonjolkan anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 sebagai wira yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Isu itu sebenarnya adalah escapism Pas untuk menutup kelemahannya dalam menangani beberapa isu berkaitan Islam.

Ini termasuk pemeriksaan ke atas gereja, penjualan arak di kedai runcit, larangan menggunakan pembesar suara sebelum azan subuh, meningkatnya penghidap HIV/AIDS di Kelantan dan Kedah, lanjutan waktu operasi rumah-rumah hiburan kerana tuntutan pelancong, desakan berundur kerana terlalu lama memimpin Kelantan, kronisme pelantikan menantu, kemunculan pemimpin baru bersifat sekular (liberal dan pluralism atau dikenali sebagai Anwarinas), hakisan keyakinan kepada Ketua Pembangkang, politik dinasti,
pergeseran "kerajaan perpaduan", janji-janji pilihan raya dan ketidakupayaan menarik kemasukan pelabur.
Isu-isu itu cuba disembunyikan di bawah karpet dan benang merah HHK. Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat berusaha untuk mengalih persepsi umum daripada kecaman mewirakan komunis, manakala Timbalan Presiden Pas pula membantu memesongkan persepsi awam terhadap isu perbicaraan Ketua Pembangkang yang kian terdedah dengan bukti, Anwar pula berjaya memindahkan persepsi masyarakat dengan masalah dalam pentadbiran DAP di Pulau Pinang dan konsep pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz serta kegagalan menterjemahkan secara komprehensif "negara berkebajikan."

Perjuangan Buku Jingga pembangkang juga menimbulkan banyak kekaburan dan kegelisahan masyarakat kerana apa yang dijadikan asasnya, tidak kukuh. Tanpa memikirkan kecukupan sumber, kerangka tindakan, usaha mempromosikan Buku Jingga menerima celaan besar manakala konsep kebebasan yang cuba diterjemahkan tidak boleh diterima dengan baik.

Nik Aziz juga berusaha mengalihkan perhatian masyarakat dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dengan beraninya, iaitu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad di samping mengkaji peraturan dalam Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Dalam pertelagahan HHK, nampaknya DAP sudah jelas pendiriannya dan Nik Aziz masih belum menunjukkan sifat mengalah. Jika DAP tidak bersetuju, parti itu boleh keluar pakatan. Bagi DAP, komen itu tidak ubah seperti "orang tua yang sangat memerlukan perhatian" dan mungkir janji yang hanya terukir tiga bulan lalu.

PKR nampaknya mencari jalan selamat, kerana parti itu amat bergantung kepada sokongan orang Melayu, maka dengan memberikan sokongan kepada HHK, bererti serangan dari dalam Pas tidak akan berlaku. Jika ini dapat dipertahankan, maka penyokong tegar Pas akan memberikan sokongan kepada Anwar untuk terus mencari helah dan memperlambatkan perbicaraan kes "main belakang" yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

Tentunya, untuk melaksanakan HHK itu banyak pindaan diperlu dilaksanakan dengan meletakkan perspektif keilmuan moden dalam menentukan bahan bukti, kerana "video dan gambar asli yang dirakamkan bukanlah besi", walaupun "tidak berperasaan" ia lebih mudah diyakini oleh masyarakat kebanyakan.

Bahan bukti itu bukanlah satu manipulasi untuk kepentingan politik pihak tertentu, ia adalah dokumen yang autentik dan wajib dipertahankan. Meskipun ada teknologi yang boleh mengubahnya, kecekapan dan kemajuan dalam ilmu forensik banyak membantu menyelesaikan sesuatu kes.

Jika HHK terus menolak penggunaan kaedah moden, seperti pengesanan cap cari (biometrik), profil DNA, bahan rakaman (video, audio dan visual) dari kamera litar tertutup, maka tidak ada sebab orang lain tidak boleh mempersoalkan bahan-bahan yang dimuat turun oleh pembangkang menerusi media baru.

Masyarakat pada suatu masa, dalam keadaan tenang akan berfikir sejauh manakah kebenaran yang cuba ditonjolkan oleh seseorang, sedangkan ia adalah sebuah hiper realiti dan imaginasi semata-mata, tidak selamanya manusia boleh ditipu oleh teknik tindanan (superimposed), overlay, spinning, retorik dan potong-tampal. Masyarakat sekarang semakin bijak menilai.

Kalau media arus perdana dilihat sebagai meninggalkan kesan tidak sehaluan kognitif, maka media baru yang digunakan oleh pembangkang memberikan kesan limpahan kognitif. Limpahan kognitif akan menambahkan kekeliruan, bahkan menimbulkan pelbagai masalah dalam membuat keputusan.

Ia seakan-akan hampir sama dengan kebimbangan masyarakat 1970-an dan 1980-an terhadap kesan buruk televisyen ke atas kanak-kanak, kerana imej yang dipaparkan oleh media baru propembangkang terlalu sukar untuk dipisahkan antara yang hak dan yang batil.

Tentunya, jika HHK dilaksanakan juga, maka masyarakat akan boleh menilai apakah hukuman yang sepatutnya diterima oleh pemimpin pembangkang yang melakukan jenayah, termasuk penipuan politik, enggan menyerahkan kereta kerajaan, mengawal peruntukan projek untuk syarikat- yang ada kaitan dengan orang tertentu, bahkan menerima tajaan pihak tertentu untuk mengerjakan haji sekeluarga sedangkan pihak terbabit mempunyai hubungan niaga dengan pemimpin kerajaan, berbohong dan mengelecek harapan rakyat.
Inilah langkah pembetulan yang perlu dilakukan oleh pemimpin Pas sebelum boleh melaksanakan HHK, kerana mana-mana negara yang telah melaksanakannya masih menemui kegagalan. Pemimpin tidak melakukan apa yang diucapkan, bahkan hanya tahu menyalahkan orang lain sedangkan kesalahan sendiri ingin ditutupi.

Tidak ada orang Islam yang boleh menolak hukum hudud, tetapi apa yang ditolak ialah kelemahan-kelemahan yang ada dalam HHK atau HHT, kerana penggubalannya dilaksanakan dalam langkah berundur, tidak mengambil kira kaedah pembuktian dan suasana semasa yang lebih berkesan.

Ini semua boleh dikira sebagai perkara subahat yang menyebabkan pelaksanaan hukum hudud itu sendiri perlu ditangguh dan pernah ditangguh pada zaman pemerintahan Saidina Omar r.a di masa kemarau, Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud, "Kesilapanku kerana (memaaf) tidak mengambil tindakan lebih aku suka, daripada kesilapanku kerana mengambil tindakan". (Maksud hadis riwayat Tarmizi).

Di manakah boleh kita peroleh saksi yang menepati kriteria itu, sedangkan kerana ketiadaan saksi itulah maka mangsa rogol dan curi tidak akan mengadu dan yang untung ialah penjenayah, proses mengesan aktiviti mereka tidak boleh dibuat berdasarkan petunjuk seperti lakaran wajah, rakaman CCTV, cap jari mahupun DNA, kerana itu semua adalah 'bisu' , 'tidak berperasaan' dan 'besi'.

Musang berbulu ayam dalam badan-badan strategik kerajaan?


APABILA saya diberitahu mengenai maklumat ini saya tidak tahu di mana hendak bermula. Apakah benar maklumat yang saya terima ini?
Jika benar apakah wajar saya dedahkan? Jika saya dedahkan apakah implikasinya? Namun saya tetap berdoa agar maklumat ini salah.
Jika salah, mungkin saya boleh tidur lena dan bersyukur keadaan itu tidak berlaku, walaupun saya mungkin dipersalahkan kerana menulis sesuatu yang tidak berlaku.
Tapi sebagai penulis, itulah risiko yang harus dihadapi.
Apa yang saya tulis ini mungkin sedikit memeranjatkan, tapi biarlah pihak-pihak tertentu yang menyiasat mengenai kebenarannya.
Saya menerima satu maklumat mengenai badan (atau mungkin lebih daripada satu badan) yang cukup strategik dalam kerajaan yang telah dan sedang diresapi oleh orang (atau dalam bahasa mulut orang-orang) Anwar Ibrahim.
Maklumat yang saya terima menggambarkan bahawa ia adalah suatu situasi yang real dan nyata.
Jika benar, ia adalah sesuatu yang cukup bahaya. Ia adalah satu perancangan yang halus, licik dan terancang yang boleh menjejaskan kerajaan semasa.
Sama ada ia berlaku secara kebetulan atau satu plot terancang tidak pula saya tahu. Jika benar, ternyatalah sistem imunisasi kerajaan ini lemah sehingga gagal untuk menentang elemen-elemen itu.
Seperti yang saya kata tadi, jika saya salah, maka saya bersyukur kerana ia tidak berlaku. Tetapi jika ia berlaku, maka sesuatu yang drastik harus dilakukan supaya pengkhianat-pengkhianat ini dibersihkan secepat mungkin daripada sistem kerajaan.
Dalam konteks kerajaan Malaysia kini, adalah sesuatu yang lazim dan biasa jika ada penjawatnya yang bersimpati dengan pihak-pihak musuh atau yang bertentangan dengan dasar yang dijunjung oleh organisasi itu. Malah ada juga kakitangan kerajaan yang secara terang-terangan menentang kerajaan atau bersikap anti kerajaan.
Bagi saya, itu masih lagi boleh diterima, tapi macam mana pula jika orang-orang yang berada di dalam sesebuah organisasi itu menjadi operator dan penggerak kepada musuh itu? Jika benar berlaku, maka ia adalah sesuatu yang luar biasa dan amat mendukacitakan.
Dalam peperangan saraf di Malaysia sekarang, tidak mustahil operator itu wujud, lagipun Anwar Ibrahim bukan calang-calang orang untuk menempatkan mereka di situ. Orang-orangnya masih ada dalam sistem, terutamanya di peringkat atasan.
Mungkin juga masih berlaku infiltrasi atau penyusupan masuk orang-orang ini untuk menjadi musuh dalam selimut, musang berbulu ayam, bagai menggunting dalam lipatan?
Ternyata bahasa Melayu cukup agung untuk menggambarkan apa yang cuba disampaikan di sini. Sekali lagi saya mahu nyatakan benarkah wujud elemen-elemen itu? Saya berharap ia tidak berlaku.
Apa akan terjadi sekiranya benar? Apakah langkah yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa jika ia benar-benar berlaku?
Apakah kita sedar bahawa ada antara badan strategik itu kini tiba-tiba menjadi tidak bermaya setelah ‘kehadiran’ elemen-elemen itu?
Maklumat itu memberitahu: ‘‘Saya tidak hendak memberikan contoh yang lebih banyak, tetapi saudara perhatikanlah sendiri bagaimanakah ada agensi Kerajaan Persekutuan (dirahsiakan namanya) yang tugas pentingnya mempertahankan dasar-dasar kerajaan, memberi kefahaman kepada rakyat supaya akhirnya mereka memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, boleh pula menerapkan, menyerapkan malah menggunakan instrumen pembangkang yang berusaha mematikan Perdana Menteri.”
Kata maklumat itu lagi: ‘‘Inilah kemenangan Anwar Ibrahim yang dibawa oleh orang kuatnya di dalam organisasi itu, dan masih membawa masuk orang-orang Anwar secara perlahan. Permohonan membawa masuk pegawai baru masih di peringkat JPA dan SPA.”
Saya tidak mahu menulis panjang lebar mengenai hal ini. Biarlah pihak berkenaan akhirnya sedar mengenai fenomena ini. Biarlah mereka yang mengambil tindakan, itupun jika mereka mampu melakukannya.
Elemen-elemen yang ada itu, jika benar, harus dihapuskan. Mereka harus dibersihkan daripada sistem kerajaan semasa, dalam sistem strategik negara dan politik.
Menurut maklumat itu lagi: ‘‘Bagi kami yang kerdil ini, tidak sanggup melihat YAB Perdana Menteri menerima nasib seburuk Gaddafi. Sekuat Gaddafi pun akhirnya dijatuhkan dari dalam dengan bantuan musuh-musuh Islam di luar!''
Sebagai contohnya, kata maklumat itu lagi: ‘‘...anda fikirkanlah bagaimanakah kos perbelanjaan lawatan rasmi luar negara YAB PM boleh diperolehi dengan begitu detail, cepat dan pantas oleh pihak pembangkang?
Bagaimanakah juga penerbangan percutian peribadi YAB PM juga boleh diperolehi dengan begitu detail dan cepat oleh pihak pembangkang? Dan banyak lagi contoh-contoh lain. Apakah ia diperolehi dengan mudah jika tidak kerana ada orang dalam yang membocorkan segala maklumat sulit itu?''
Buat sementara ini, biar saya berhenti di sini dulu.

Sejauh mana keberanian Pas?


KELMARIN Utusan Malaysia menyiarkan gambar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tapak pameran sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Kota Bharu.
Gambar itu memaparkan Nik Abdul Aziz diberi penerangan mengenai buah-buahan yang dipamerkan antara yang kelihatan ialah nangka, limau bali, tembikai dan durian.

Jika buah-buahan itu mahu dilihat dari senario politik sekarang, begitulah juga perjalanan hubungan politik Pas dengan DAP terutamanya apabila tercetus isu hukum hudud.

Pas mula merasai 'getah buah nangka' akibat hubungan dengan DAP yang sebelum ini dianggap oleh mereka ibarat 'tembikai' yang manis dan 'limau bali' yang masam-masam manis,

Tetapi kini ia ibarat 'buah durian' penuh duri apabila DAP menentang keras rancangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Malahan DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan, pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletakkan jawatan beramai-ramai jika terdapat usaha meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Mungkin DAP begitu berani mengeluarkan peringatan kerana percaya bahawa Pas sekali lagi akan mengalah, apatah lagi DAP amat memahami sikap tidak konsisten Pas.

Ia memandangkan dalam tempoh beberapa hari ini sejak tercetus isu berkenaan, Pas seolah-olah ingin kembali semula mahu memperjuangkan hukum hudud.

Situasi ini menimbulkan persoalan ke mana sebenarnya hala tuju perjuangan Pas? Suatu ketika mereka bermati-matian mempertahankan perjuangan negara Islam tetapi kemudiannya bersedia menggugurkannya demi menjaga hubungan dengan DAP.

Lanjutan itu lahirlah kembali idea negara berkebajikan yang pernah dicetuskan pertama kali ketika Pas 'menghidangkan' manifesto pilihan raya umum 2008.

Malahan pada 10 September lalu, Pas mengadakan majlis khas di Taman Melewar, Gombak bagi memperjelaskan konsep negara berkebajikan dan langkah itu selari dengan resolusi yang dicapai dalam muktamar parti tersebut.

Tetapi secara tiba-tiba, ketika Pas diasak bertubi-tubi akibat isu tragedi Bukit Kepong yang dicetuskan oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, pelaksanaan hukum hudud dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz.
Berikutan kenyataan Menteri Besar Kelantan tersebut maka seperti diduga Pengerusi DAP, Karpal Singh membidas Mursyidul Am Pas itu.

Dalam soal ini, Nik Abdul Aziz atau mana-mana pemimpin Pas tidak harus marah kepada Karpal kerana Karpal sejak dulu lagi menentang penubuhan negara Islam dan hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas.

Justeru sudah pastilah orang Melayu tidak akan mempersoalkan pendirian Karpal sebaliknya bertanya ke manakah sebenarnya hala tuju perjuangan Pas.

Apakah mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud atau ia sekadar halwa telinga menjelang pilihan raya dan sekali gus menarik kembali sokongan sebahagian orang Melayu yang semakin luntur kepada Pas kerana isu tragedi Bukit Kepong?.

Kalau Pas benar-benar konsisten hendak memperjuangkan hukum hudud, maka pemimpin-pemimpin parti tidak sewajarnya berubah-ubah fikirkan, sekejap mahu negara Islam dan sekejap mahu negara berkebajikan.
Takkanlah dalam satu perjalanan politik Pas hendak membawa dua haluan yang berbeza iaitu di kaki kanan menuju negara Islam manakala kaki kiri menuju negara berkebajikan.

Jika situasi ini berlaku sudah pastilah Pas menjadi sebuah parti yang dilihat bercelaru dalam usaha untuk meraih kekuasaan.

Hukum hudud adalah hukum Allah dan semua orang Islam pasti menyokongnya jika ia mahu dilaksanakan secara serius dan diperjuangkan secara konsisten.

Tetapi masalah yang berlaku ialah Pas tidak bersikap demikian, Pas hanya melaung-laungkan pelaksanaan hukum hudud tersebut menjelang pilihan raya atau bagi mengalih isu.

Kalau Pas benar-benar ikhlas dan mempunyai keazaman yang tinggi dalam soal berkenaan sudah pasti mereka akan bermati-matian memperjuangkan ia dilaksanakan biarpun menempuh pelbagai halangan dan tentangan.

Namun anehnya, Pas mudah mengalah dan lebih memikirkan soal hubungan politik dengan rakan pembangkang yang lain.

Pas sepatutnya bersungguh-sungguh pada setiap masa mendesak supaya hasrat mereka melaksanakan hukum hudud tercapai, tetapi ia tidak berlaku.

Parti itu bimbang jika perkara diuar-uarkan ia akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu.

Sebab itulah sejak sekian lama, Pas tidak lagi bercakap soal tersebut kecuali baru-baru ini apabila Pas semakin rimas dengan isu tragedi Bukit Kepong.

Oleh itu sebelum Nik Abdul Aziz dan Pas menuding jari mendakwa pihak itu dan pihak ini menghalang hasrat mereka melaksanakan hukum hudud, Pas sendiri patut bertanya apakah mereka benar-benar ikhlas dalam mencapai matlamat berkenaan atau ia sekadar laungan untuk meraih undi sahaja.

Jika mereka ikhlas, kita mahu melihat apa yang bakal mereka lakukan berikutan penentangan keras DAP ke atas hasrat Pas itu.

Apa yang mahu kita lihat ialah pemimpin dan ahli-ahli Pas menunjukkan ketegasan seperti mana mereka pernah menentang usaha untuk mewujudkan kerjasama dengan UMNO.

Semua orang masih ingat bagaimana kerasnya penentangan yang ditunjukkan oleh Nik Abdul Aziz dalam soal tersebut sehingga desakan dibuat supaya satu muktamar khas diadakan bagi membuat keputusan.
Ia kesudahannya menyaksikan Pas menolak kerjasama dengan UMNO dan berikrar setia dengan pakatan pembangkang.

Sekarang kita mahu melihat apakah pemimpin dan ahli Pas mempunyai keberanian dan ketegasan bagi mempertahankan usaha Nik Abdul Aziz melaksanakan hukum hudud.

Bukankah dulu kerjasama dengan UMNO ditolak kerana ketegasan Nik Abdul Aziz dan sekarang Menteri Besar Kelantan juga yang berkeras mahu melaksanakan hukum hudud sehingga mengeluarkan kenyataan, DAP boleh keluar pakatan jika tidak bersetuju dengan hasrat Pas tersebut.

Sudah pasti ramai yang mahu melihat adakah benar Pas hanya berani bertentangan politik dengan UMNO tetapi hanya 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Percayalah Pas tidak seberani mana sebaliknya pada mesyuarat hari ini, rumusan yang akan dibuat, media dan Barisan Nasional (BN) akan dipersalahkan kerana didakwa cuba memecah-belahkan Pas.

Apatah lagi Pas pula sudah tentu tidak mahu 'disingkirkan' ketika mereka semakin dibuai dengan mimpi indah ke Putrajaya bersama PKR dan DAP.