TEMERLOH – Dua ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh Abu Hanipah Majid dan Dr Siti Hawa Kasim antara calon yang digembar – gemburkan banyak pihak untuk diletakkan di Dun Kuala Semantan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Kerusi Dun Kuala Semantan yang kini disandang Syed Hamid Syed Mohamed dari Pas sejak sepenggal lalu itu turut menjadi perhatian Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Temerloh Rofaie Md Hamdan.

Nama ketiga-tiga calon itu semakin menjadi perhatian ahli-ahli Umno di bahagian ini berikutan prestasi kerja masing-masing yang bukan sahaja cemerlang dalam parti tetapi dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Abu Hanipah adalah Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh juga ahli lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) dikagumi ramai kerana banyak membantu usahawan-usahawan tani di daerah ini.

Sementara Dri Siti Hawa pula adalah ahli politik dari golongan akademik yang turut aktif dalam Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), manakala Rofaie calon dari Pemuda Umno yang berwawasan anak kepada bekas Adun Kuala Semantan, Datuk Md Hamdan Sudin.

Ketiga-tiga mereka adalah anak tempatan yang jika dicalonkan nanti perlu bekerja kuat untuk menghadapi calon dari Pakatan Rakyat (PR) berkemungkinan besar dari Pas.

Ini kerana Dun Kuala Semantan diketahui umum adalah kubu kuat Pas dengan kali terakhir BN menang di kawasan itu pada PRU ke-11 apabila calonnya Datuk Md Hamdan Sudin menang ke atas Dr Ab. Wahab Ismail dengan majoriti 1,459 undi. Pas PRU12 menerusi Syed Hamid Syed Mohamed dengan mengalahkan Khairuddin Manan dari BN.

Penyandang kerusi Dun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed beberapa bulan lalu mengumumkan kurang minat untuk menjadi wakil rakyat lagi, tetapi dia bersedia jika parti mencalonkannya hanya untuk kerusi Kuala Semantan.

Jika Syed Hamid kurang minat, siapa lagi calon Pas yang layak di kerusi itu, tetapi dalam Pas, siapa calon tidaklah menjadi persoalan kerana bagi penyokong Pas parti adalah keutamaan, soal siapa calonnya itu yang kedua.

Antara yang layak di Kuala Semantan, ialah Hassanudin Salim, beliau pernah bertanding dalamkemudian menang semula kerusi itu pada PRU12 di Dun Kerdau dan sekali lagi dicalonkan di kerusi yang sama dalam pilihan raya kecil kerusi itu tahun lalu.

Hassanudin juga pernah kalah kepada Datuk Mohd Sharkar Shamsudin di Lanchang pada PRU ke-11 lalu. Tetapi pengalaman dan sumbangannya kepada Pas Pahang dan Temerloh tidak boleh dipertikaikan lagi.

Seorang lagi calon yang digembar-gemburkan ialah Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat mempunyai kekuatan yang tidak boleh disangkal lagi, ditambah dengan kekuatan sokongan pengundi di Kuala Semantan, peluang BN untuk menang di kerusi itu sangat tipis.