Monday, August 22, 2011

Pembangkang 'hantu pilihan raya'



DULU semasa hendak menjelang hari raya, orang tua-tua selalu berpesan kepada kanak-kanak supaya jangan main di luar rumah pada larut malam, kononnya ketika itu hantu raya berkeliaran.
Malahan di sesetengah kampung, mereka percaya bahawa hantu raya sememangnya muncul menjelang hari raya dan akan mengganggu penduduk.

Justeru wujudlah kebimbangan, keresahan dan kesangsian terutamanya soal siapakah yang bakal menjadi tuan kepada hantu raya tersebut.

Jika senario ini dikaitkan dengan suasana politik sekarang adalah tidak salah jika kita menyatakan bahawa menjelang hari raya tahun ini, rakyat negara ini turut diancam oleh 'hantu'.

Bagaimanapun 'hantu' yang dimaksudkan bukannya hantu raya tetapi 'hantu pilihan raya' - iaitu suatu kelompok yang terdiri daripada parti pembangkang yang kini begitu ghairah bercakap soal pilihan raya.
Sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP mahupun Pas, kesemuanya bagaikan 'hantu pilihan raya' apabila terus mempertikai satu demi satu pelaksanaan amalan demokrasi berkenaan.

Pada 9 Julai lalu iaitu beberapa minggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan, ketiga-tiga parti berkenaan, cuba menunjukkan sikap 'hantu' mereka apabila menghuru-harakan Kuala Lumpur melalui demonstrasi jalanan.

Mereka menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan adil tetapi dalam masa yang sama menolak sebarang usaha untuk mengadakan rundingan bagi menyelesaikan apa yang mereka lihat sebagai masalah.
Apabila demonstrasi jalanan itu tidak mendapat sambutan rakyat, pembangkang tidak berputus asa, bagaikan dirasuk 'hantu', mereka mula mempertikai perkara-perkara lain yang kemudiannya dikaitkan dengan pilihan raya.

Ia termasuklah dakwaan bahawa Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program 6P menyeludup pendatang.

Walaupun program tersebut bertujuan mendapatkan data biometrik setiap PATI untuk rasional keselamatan, terutamanya dalam menangani masalah membabitkan kes pemalsuan identiti serta dokumen perjalanan antarabangsa, namun hujah itu tidak diterima.

Sebaliknya seorang ahli Parlimen pembangkang membuat dakwaan bahawa Program 6P sebagai muslihat kerajaan untuk menyeludup pengundi dan melabelkannya cubaan menjual kedaulatan negara.
Ahli Parlimen berkenaan membuat dakwaan tidak masuk akal apabila mendakwa Program 6P mensyaratkan PATI supaya membaca skrip bersumpah menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian proses pemutihan.

Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga mendakwa kerajaan BN memberi kad pengenalan biru kepada pemegang kad merah bagi membolehkan mereka menjadi pengundi.

Kita tidak harus lupa bahawa pembangkang juga sebelum ini bagaikan kerasukan hantu apabila mendakwa wujudnya pengundi-pengundi hantu.

Walaupun berbuih mulut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperjelaskan bagaimana istilah pengundi hantu itu boleh wujud namun sudah menjadi adat pembangkang mereka tidak mahu menerimanya.
Mereka tetap menuntut supaya senarai daftar pemilih dibersihkan dan inilah 'lagu dan irama' yang sering mereka dendangkan setiap kali pilihan raya hendak diadakan.

Tetapi apa yang melucukan, apabila keputusan sesuatu pilihan raya itu menyebelahi mereka, pembangkang bagai 'hantu' kekenyangan, diam seribu bahasa.

Sebenarnya, pembangkang sudah menjadi 'hantu pilihan raya' dan sudah menjadi sikap hantu, mereka takut kepada kebenaran apatah lagi yang bertujuan menghalau makhluk berkenaan.
Itulah yang dilakukan oleh pembangkang apabila mereka menolak mentah-mentah komitmen kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

Walaupun penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak termasuk pembangkang menyertainya bagi membolehkan mereka memberikan idea dan pendapat untuk memperbaiki sistem pilihan raya tetapi ia tidak mahu diterima.

Sebaliknya, pembangkang memberi seribu satu alasan terhadap penubuhan jawatankuasa itu termasuklah kononnya kerajaan tidak memanggil mereka untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan.

Adalah sesuatu yang malang apabila pembangkang terutamanya Pas memandang serong penubuhan jawatankuasa itu dengan menganggap ia 'penghias jendela'.

Inilah sikap pembangkang, mereka sentiasa memandang negatif terhadap apa juga yang hendak dilakukan oleh kerajaan.

Sepatutnya, mereka menyertai dulu jawatankuasa berkenaan, barulah mereka tahu apa kebaikannya, tetapi pembangkang tidak mahu bersikap demikian.

Lebih melucukan tanpa mahu mengukur baju di badan sendiri, ada ahli Parlimen pembangkang yang menunjukkan kecetekan berpolitik apabila meminta jawatankuasa itu dipengerusikan oleh pembangkang.
Soalnya, dalam Dewan Rakyat, siapa yang menjadi majoriti, pembangkang atau BN?
Itu belum lagi termasuk bagaimana, Pemuda Pas membangkitkan kemarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mendapat pandangan beberapa bekas anggota pasukan itu yang mendedahkan kononnya undi pos telah dimanipulasikan oleh kerajaan BN.

Demikianlah sikap pembangkang, seperti juga mitos hantu raya yang menimbulkan kebimbangan, keresahan dan kesangsian, begitulah juga peranan pembangkang yang menjadi 'hantu pilihan raya'.

Mereka sengaja menimbulkan pelbagai andaian, tohmahan dan fitnah semata-mata untuk mewujudkan perasaan sangsi di kalangan rakyat terhadap perjalanan pilihan raya umum akan datang.

Apabila usaha mereka berjaya, ia sekali gus akan menutupi kelemahan pembangkang yang hakikatnya cukup tidak layak untuk memimpin negara ini.

Sebab itulah pembangkang takut apabila ada komitmen dan kesungguhan kerajaan serta SPR untuk bersedia mengkaji serta memperbaiki apa yang pembangkang inginkan.

Oleh itu apa yang dilakukan oleh pembangkang bukanlah ikhlas untuk memakmurkan lagi amalan demokrasi melalui pilihan raya, sebaliknya hanya mahu menjadi 'hantu pilihan raya' yang bertujuan mewujudkan keraguan di kalangan rakyat dan memburuk-burukkan kerajaan.

Puak-puak anti-Lynas terus 'berdrama'



'DRAMA' oleh puak-puak penentang projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas Corporation di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang kelihatan semakin menjengkelkan.

Yang terbaharu ialah pada taklimat dalam bahasa Mandarin mengenai radiasi dan tanah jarang (rare earth) oleh tiga profesor dari Republik Rakyat China kepada ahli-ahli persatuan-persatuan Hainan, Hakka, dan Bola Keranjang Kuantan awal bulan ini.

Sudahlah kehadiran puak-puak ini pada sesi taklimat tiga hari itu (3, 4 dan 5 Ogos) adalah secara 'rempuh-pagar' (gate-crashing), namun setelah dibenarkan hadir pun mereka 'buat hal' dengan pelbagai kerenah termasuk mempersoalkan kelayakan akademik profesor-profesor berkenaan.

Hal ini sama sepertimana mereka mempersoalkan komposisi 10 pakar antarabangsa di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang datang menyiasat seterusnya memutuskan pada 30 Jun lepas bahawa projek Lynas ini adalah selamat dengan mengemukakan 11 cadangan bagi menjamin lagi keselamatannya.

Berasa amat terhina dengan persoalan tersebut serta tidak mahu meletakkan diri mereka pada tahap yang sebegitu rendah, sudah tentulah profesor-profesor berkenaan enggan menjawabnya.

Dan ini segera dimanipulasikan oleh puak-puak tersebut dengan menggambarkan betapa tidak layaknya profesor-profesor berkenaan untuk bercakap mengenai subjek radiasi dan tanah jarang ini.

Sedangkan professor-profesor ini ialah pakar dalam bidang masing-masing. Prof. Xia Yihua misalnya, ialah pakar dalam keselamatan radiasi yang memegang jawatan sebagai Saintis Kanan di Institut Tenaga Atom, Republik Rakyat China (CIAE).

Prof. Yihua juga ialah ahli Jawatankuasa Pakar, Keselamatan Nuklear dan Alam Sekitar di Agensi Perlindungan Alam Sekitar Kebangsaan Republik Rakyat China sejak 1994 hingga kini ; serta pernah menjadi ahli Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Radiologi (antara 1997 - 2005).

Prof. Zhao Yamin pula ialah pakar dalam keselamatan alam sekitar yang menjadi ahli dalam Suruhanjaya Pakar mengenai Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Alam Sekitar di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Republik Rakyat China.

Beliau pernah berkhidmat selama dua tahun (1987-1988) secara sandaran dengan Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Amerika Syarikat, terlibat dalam kajian berkaitan perlindungan alam sekitar radiasi dan piawaian-piawaian pengurusan.

Prof. Li Deqian pula ialah pakar dalam logam tanah jarang yang berkhidmat dengan Institut Changshun (Kimia Gunaan) di Akademi Sains Republik Rakyat China sejak 1959 hingga kini.

Terlibat kira-kira 50 tahun dalam kajian berhubung dengan pemisahan kimia (separation chemistry) serta kejuruteraan 'hydrometallurgical (memisahkan logam daripada bijih menggunakan air) yang bersih dalam pengendalian tanah jarang;

Kejayaan tersohor Prof. Li ialah proses pemisahan dengan teknik yang diperkenalkannya dalam memisahkan bahan thorium daripada tanah jarang telah diguna pakai oleh industri hydrometallurgical termasuk tanah jarang seluruh dunia!

Selain mempertikaikan kelayakan profesor-profesor ini, puak-puak penentang ini turut mempertikaikan pendirian kepemimpinan persatuan-persatuan Hainan, Hakka dan Bola Keranjang tersebut.

Kononnya kepada puak-puak penentang ini, dengan penganjuran serta kehadiran ahli-ahli persatuan berkenaan ke sesi taklimat itu maka mereka sudah menyebelahi projek Lynas bernilai pelaburan RM200 juta itu.

"Saya bukan menyebelahi mana-mana - menyokong atau menolak. Saya anjurkan taklimat ini supaya ahli-ahli persatuan dapat penjelasan tentang radiasi dan hal-hal tentang tanah jarang.

"Terpulang kepada ahli-ahli untuk membuat keputusan. Bagi saya sendiri, dengan menganjur dan mengikuti taklimat ini, semakin jelas bahawa projek Lynas ini tidaklah berbahaya jika diuruskan dengan berkesan," menurut seorang daripada penganjur taklimat itu.

Selain beliau, pengerusi bagi ketiga-tiga persatuan itu juga dipertikaikan 'kesetiaan' mereka hingga dicabar meletakkan jawatan hanya kerana mereka tidak lagi kelihatan sehaluan dengan puak-puak penentang ini.
Dan inilah tipikalnya puak-puak penentang ini. Mereka merasakan mereka sudah terlalu betul sehingga cuba memaksakan pendapat dan nilai-nilai mereka ke atas orang lain yang jika tidak dituruti, terus dicap sebagai musuh.

Sebelum ini pun, itulah yang mereka lakukan misalnya semasa mengutip tanda tangan daripada orang ramai supaya menyokong gerakan penentangan mereka.

Inilah 'drama' mereka yang jika diukur pada sesi taklimat kepada ahli-ahli ketiga-tiga persatuan berkenaan, semakin disedari 'drama' serta gelagat buruk mereka oleh sebahagian besar ahli-ahli persatuan berkenaan.
'Ironis'nya, pada setiap acara puak penentang Lynas ini anjurkan yang dihadiri oleh muka-muka yang sama sahaja dalam bilangan kira-kira 600 orang; tiada satu pun yang menerima gangguan seperti mana mereka mengganggu sesi taklimat kepada ahli-ahli persatuan-persatuan berkenaan.

'Drama' yang dimainkan puak ini sangat mudah dikesan. Asasnya pun ialah politik, seperti mana juga dengan perjuangan menentang projek Lynas ini oleh seorang Ahli Parlimen dari daerah ini.

Kepada puak-puak penentang ini, 'Hentikanlah drama Tuan-tuan dan Puan-puan'. Sebaliknya, hadapilah hakikat dan kebenaran mengenai projek Lynas ini secara lebih rasional serta berbudiman.

Tuesday, August 16, 2011

Sita gereja: Blogger Umno tipu

Sita gereja: Blogger Umno tipu
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menafikan tuduhan blogger Umno, Papa Gomo kononnya beliau dan beberapa Adun Selangor mengarahkan pembatalan sita Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU).
Menurut Khalid, Papa Gomo  dalam blognya menyiarkan surat palsu dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkaitan kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja tersebut baru-baru ini.

Ia kononnya mengandungi bukti campur tangan Khalid, Nik Nazmi, Ronnie Liu, Teresa Kok dan Elizabeth Wong dalam operasi sita tersebut.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan pemalsuan yang dilakukan Papa Gomo itu hanyalah untuk beri gambaran buruk kepada Pakatan Rakyat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau juga berkata, Papa Gomo jelas tidak melakukan persediaan sebelum melakukan penipuan apabila menyatakan lokasi GMDU terletak di Damansara Utama sedangkan lokasi sebenar rumah ibadat itu adalah di Seksyen 13, Petaling Jaya.

"Papa Gomo kata MBPJ menerima aduan daripada seorang penduduk Damansara Utama tapi yang sebenarnya gereja itu di Seksyen 13 Pataling Jaya. Nampak sangat tak study betul-betul," katanya.

Sehubungan itu, beliau bersama-sama MBPJ membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya petang ini meminta satu siasatan dijalankan terhadap Papa Gomo.

Zaman tipu lembu berkaca mata hijau sudah berlalu

Zaman tipu lembu berkaca mata hijau sudah berlalu
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Zaman untuk BN hendak menipu rakyat seperti pengembala lembu yang memakai cermin mata hijau supaya lembu memakan rumput kering sudah berlalu.

Justeru, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, kerajaan BN mesti mengikut peredaran zaman dengan membenarkan semua parti pembangkang dapat akses dalam media perdana seperti tuntutan Bersih 2.0.

“Biarkan rakyat yang menjadi hakim setelah mendapat maklumat sebenar.
“Hentikan laporan berita yang berat sebelah, sedangkan pembangkang tidak dibenarkan untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini ekoran kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan mengkaji semula tapisan terhadap media, setelah tindakan kerajaan ke atas The Economist mengenai  perhimpunan Bersih 2.0 telah memberi kesan buruk kepada imej negara.

Najib menyatakan perkara tersebut ketika majlis berbuka puasa bersama media di bangunan Bernama.
Menurut Idris, sekarang baru beliau sedar zaman hari ini segala maklumat tidak boleh disembunyikan lagi.
“BN berada di dalam situasi yang berbeza ketika ini. PRU 13 BN akan menghadapi cabaran media baru seperti blog, twitter, face book semua ini menghantui BN,” katanya lagi

Gereja minta tangguh jumpa PAS

Gereja minta tangguh jumpa PAS
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) menangguhkan pertemuan dengan PAS yang sepatutnya berlangsung petang ini.

Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS menerima surat daripada pihak GMDU semalam meminta pertemuan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Menurut Mustafa, GMDU dalam suratnya menyatakan ianya terpaksa ditangguhkan kerana isu ini sudah menjadi terlalu umum dan mendapat pelbagai tafsiran daripada pelbagai pihak.

"Saya dapat surat semalam, GMDU minta tangguh dulu, bukan batal.

"Sebab yang diberikan isu ini sudah menjadi terlalu umum dan ditafsirkan macam-macam," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Mustafa juga berkata, GMDU juga pada asalnya tidak mahu sebarang liputan media diadakan sewaktu pertemuan tersebut.

"Dalam surat pertama dahulu pun, GMDU memang tidak mahu sebarang liputan media. Jadi PAS cadangkan pertemuan diadakan di tempat lain.

"Tapi mungkin GMDU lihat terlalu banyak komen, jadi mereka minta tangguh dahulu. Lagipun media selalu tanya pasal pertemuan ini," katanya.

Ditanya harapan PAS terhadap pertemuan tersebut, Mustafa berkata ianya bagi mendengar penjelasan daripada semua pihak.

"Oleh kerana tidak bertemu lagi, jadi tidak ada kesimpulan lagilah," katanya.
Pertemuan yang sepatutnya berlangsung di GMDU 4 petang ini melibatkan sembilan pimpinan PAS termasuk beliau.

Mereka diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmod, Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abd Rani Osman.

Pertemuan dengan Jais yang sepatutnya berlangsung semalam juga dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.
PAS bagaimanapun berharap Jais mahu menemui mereka selepas selesai mengeluarkan hasil laporan siasatan

Mustafa Ali diberi tiga hari mohon maaf

Mohd. Zin Mohamed


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali diberi tempoh tiga hari bermula hari ini untuk memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataannya yang menyalahkan parti itu dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ini kerana kenyataan Mustafa itu jelas berniat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan UMNO sebagai salah sebuah parti pemerintah dalam komponen Barisan Nasional (BN).

"UMNO Selangor memberi masa tiga hari kepada Pas dan Mustafa Ali supaya memohon maaf melalui satu sidang akhbar seperti mana beliau melakukan tuduhan itu di Terengganu semalam.

"Jika gagal, Pas dan Mustafa Ali akan menghadapi tindakan undang-undang kerana tuduhan tidak berasas tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam, Mustafa mendakwa UMNO berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Mustafa turut mengatakan UMNO memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan JAIS yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja tersebut.

Mohd. Zin menambah, tuduhan tidak berasas Mustafa ke atas UMNO itu sangat dikesali kerana ia dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya dihormati dan dihayati oleh semua umat Islam.

"Rakyat sedang memerhati dengan penuh prihatin kegagalan demi kegagalan yang dibuat oleh kerajaan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas Selangor dalam menangani pelbagai masalah dan kepentingan rakyat terutama dalam isu agama, pasir dan keruntuhan sosial," tegasnya.

Pas belum ada pendirian rasmi



KUALA LUMPUR 16 Ogos – Pas yang sebelum ini beria-ia mahu menjadi orang tengah berhubung kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu masih gagal menyatakan sebarang pendirian rasmi berkenaan hal itu.

Kegagalan itu agak menghairankan kerana Exco Hal-Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dari Pas sebelum ini menyatakan beliau menyokong tindakan JAIS tersebut atas bukti terdapat cubaan menyebarkan agama bukan Islam ke atas penganut Islam di gereja tersebut.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, pendirian rasmi parti itu tidak dapat dibuat kerana pihaknya masih belum berpeluang menemui pihak pengurusan DUMC untuk mendapatkan kepastian berhubung tindakan JAIS berkenaan.

“Sepatutnya hari ini berlaku pertemuan pimpinan Pas dengan pihak DUMC pukul 4 petang ini tetapi semalam saya terima surat dari pihak gereja menyatakan supaya ditangguhkan dahulu pertemuan ini.
“Sebabnya, antara disebut kerana isu ini sudah jadi satu perhatian umum begitu hebat, ditafsirkan macam-macam dan baru ini dalam surat pertama yang dikirim pada kita minta tiada liputan media,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, JAIS melakukan pemeriksaan ke atas gereja berkenaan selepas menerima maklumat kehadiran orang Islam dalam sebuah majlis yang dianjurkan di situ.

Penganjur dikatakan turut mengedarkan kuiz mengenai agama Islam kepada hadirin dengan 12 soalan yang dikemukakan antaranya ‘apakah maksud perkataan Islam’, ‘apakah maksud perkataan muslim’, ‘apakah maksud perkataan Quran’, ‘apakah 5 rukun Islam’ dan ‘apakah 6 perkara iman muslim’.

Selain Hasan yang menyokong tindakan JAIS, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan at Tantawi turut mendesak pemimpin tertinggi parti itu supaya mengeluarkan pendirian rasmi mereka mengenai apa yang dilihat sebagai cubaan memurtadkan para penganut Islam.

Dalam sidang akhbar itu, Mustafa turut menyatakan Pas masih tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan hal itu kerana selain kegagalan bertemu DUMC, parti itu juga belum bertemu JAIS.

“Kita nak jumpa JAIS dan DUMC untuk kita dapat maklumat versi masing-masing supaya kita boleh buat pertimbangan dan kesimpulan. Jadi, oleh kerana tiada pertemuan maka tiada kesimpulan, dua-dua pihak tidak dapat jumpa,” katanya.

Walaupun Pas belum mengadakan pertemuan rasmi dengan JAIS berkenaan hal itu, Hasan sebagai salah seorang pemimpin parti itu mempunyai pengetahuan luas berhubung operasi JAIS tersebut berdasarkan kedudukannya sebagai ahli Exco Selangor.

Blogger siar petikan Laporan Ops Akidah di Gereja oleh JAIS

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sebahagian daripada laporan penuh dipercayai dipetik daripada laporan Ops Akidah di Gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didedahkan oleh beberapa laman blog hari ini.
Laporan itu pertama kali dimuat naik oleh blog The Unspinners di http://theunspinners.blogspot.com/ menerusi entri bertajuk "Tak yah tunda Khalid, ini dia... Laporan Ops Akidah di Gereja (Bhg 1)" sebelum dipaut oleh beberapa blog lain.
Menerusi pendedahan terbaru itu, blog tersebut memuatkan tiga bahagian daripada keseluruhan laporan Ops Akidah di Gereja iaitu bahagian Pendahuluan, Latar Belakang dan Pelaksanaan Operasi.
Sebahagian daripada laporan yang didedahkan itu adalah sama seperti yang pernah dipaparkan oleh blog tersebut sebelum ini iaitu mengenai operasi terperinci pemeriksaan sekumpulan pegawai JAIS dan polis di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.
Selain turut memuatkan risalah tentatif program dan kuiz Islam yang diberikan kepada peserta di gereja berkenaan, blog itu kali ini juga menyenaraikan kesemua nama 12 peserta beragama Islam serta gambar empat daripada mereka.
Menurut blog itu, pendedahan tersebut dibuat memandangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga kini hanya memberitahu laporan lengkap mengenai operasi itu sedang disiapkan oleh JAIS.
Sedangkan blog itu sebelum ini pernah mendakwa laporan berkenaan sudah pun siap pada 4 Ogos lalu namun kerajaan negeri sengaja menangguhkan pendedahannya kepada umum.
"Kami menjangkakan kerajaan negeri dan Pas akan "play down" perkara murtad dalam laporan JAIS disebabkan ia akan menjerat (Abdul) Khalid supaya melakukan tindakan undang-undang," katanya.
Beberapa lagi laporan Ops Akidah di Gereja itu dijangka didedahkan blog berkenaan dalam masa terdekat apabila entri blog tersebut bersambung di bahagian keempat iaitu 'Elemen yang menimbulkan syak'.