Wednesday, January 30, 2013

Pas parti berideologi Khawarij?


ARKIB : 28/01/2013

Pas parti berideologi Khawarij?

BARANG siapa yang mempelajari akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang tulen seperti yang terkandung dalam kitab Ushul As Sunnah oleh Imam Ahmad Bin Hanbal atau Syarhus Sunnah oleh Imam Barbahari atau As Syari‘ah oleh Imam Al Ajuri, dan banyak lagi, ternyata mereka akan mengetahui bahawa Pas adalah sebuah jamaah yang menyimpang.

Pas memiliki fatwa-fatwa yang sesat dan menyesatkan. Batil lagi membatilkan. Bejat dan membejatkan. Manhaj pemikiran Pas tidak lain adalah pemikiran Abdul Rahman bin Muljam, tokoh kaum Khawarij klasik.

Abdul Rahman bin Muljam Al-Muradi bukanlah orang gelandangan atau seorang yang fasik. Beliau ialah seorang soleh ahli ibadah, warak menunaikan kebaikan dan Qari yang hafaz al-Quran.

Ketika zaman pemerintahan Umar Al Khattab, beliau telah melantik Abdul Rahman bin Muljam menjadi guru al-Quran. Perhatikan bahawa Abdul Rahman bin Muljam dilantik oleh Umar untuk mengajar penduduk Mesir! Malah dia mendapat gelaran al-Muqri‘.

Abdul Rahman bin Muljam dan kaum Khawarij adalah orang yang menjaga pandangannya, menjaga lisannnya, memelihara tangan dan kakinya. Mereka menunaikan solat malam sedang manusia lain dibuai mimpi. Mereka berpuasa di tengah-tengah terik mentari sedang manusia lain meneguk susu dan madu.
Nampak Warak tetapi Khawarij

Sehinggakan Syeikul Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Dahulu, kelompok Khawarij adalah sebaik-baik anggota masyarakat dari sisi pelaksanaan solat, melakukan puasa dan membaca al-Quran". (Minhaj as-Sunnah jilid 4)

Tetapi kewarakkan mereka tidak menghalang daripada terjerumus dalam lembah pemikiran yang batil ,sesat dan jahat. Mereka menyelisihi Muhajirin dan Ansar serta Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malah mereka mengkafirkan para sahabat serta menghalalkan darah mereka. Khawarij menyangka perbuatan mereka adalah ibadah dan menepati maqasid syariah.

Ibn Taimiyah menggambarkan tentang hal ini: “Seseorang (Abdul Rahman bin Muljam) yang membunuh Ali r.a, dia pun menegakkan solat, melakukan puasa, membaca al-Quran. Dia membunuh Ali r.a dengan anggapan bahawa hal itu akan mendapat redha Allah dan Rasul-Nya". (Minhaj as-Sunnah jilid 7).

Ini bertepatan dengan apa yang Rasulullah SAW ingatkan kepada para sahabatnya - Muhajirin dan Anshar - bahawa kaum Khawarij ini merupakan sebuah kaum yang rajin beribadah kepada Allah Ta‘ala. Amal ibadat mereka lebih banyak berbanding amal ibadat para sahabat.

Sekiranya seorang sahabat membandingkan amalnya dengan seorang Khawarij maka pasti sahabat itu akan terasa kerdil dan malu lantaran amalnya kurang berbanding amalnya kaum Khawarij!

Pesan Rasulullah SAW: “Akan datang suatu kaum kepada kalian yang kalian akan merasa rendah bila kalian membandingkan solat dengan mereka, membandingkan puasa dengan mereka, membandingkan amalan ibadat dengan mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka lepas daripada agama ini seperti lepasnya anak panah dari binatang buruan". (HR. Bukhari dan Muslim)

Walaupun begitu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa mereka ini tidak memahami al-Quran walaupun mereka membacanya lebih banyak daripada sahabat baginda. Serta semakin lama mereka menganut faham tersebut maka semakin jauh mereka daripada Islam yang hakiki.

Natijahnya seorang Ahli Sunnah tidak akan mudah tertipu dengan “gambaran luaran" seseorang. Apakah dia digelar Tuan Guru atau Mursyid atau apa sahaja? Apakah dia berjubah dan berserban mahupun berkurta? Apakah dia tinggal di pondok atau kandang dan bukannya di istana? Gambaran luaran boleh menipu seperti mana Dajjal menipu umat manusia dengan membawakan syurga dan neraka serta menghidupkan orang mati.

Namun lebih penting daripada “gambaran luaran" adalah masalah keimanan. Walaupun mendapat gelar Mursidul am, berjubah siang malam, dikeramatkan dan diagungkan, namun apabila akidahnya adalah Khawarij, tetap menjadi masuk neraka sekiranya mati tanpa taubat.

Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa mereka adalah anjing-anjing penduduk neraka." (HR Al-Ajurri dalam As Syari‘ah)

Khawarij adalah anjing ahli neraka

Lebih ringan dituduh menjadi anjing penjilat pemerintah daripada menjadi anjing neraka. Kerana Ahli Sunnah telah beriman untuk bersama-sama dengan pemerintah muslim dalam hal yang makruf (kebaikan), berjihad bersama mereka dan menumpaskan kaum Khawarij di bawah perintah mereka.

Lihatlah bagaimana tokoh Khawarij klasik yang cukup tawaduk itu. Siapakah yang mampu berzikir saat tangan dan kakinya dipotong? Pasti yang mampu melakukan hal ini hanyalah seorang yang “tebal imannya". Tetapi Rasulullah menetapkan bahawa orang ini adalah manusia yang paling hina.

Marilah kita lihat bagaimana watak “tawaduk" Abdul Rahman bin Muljam. Imam Ibnul Jauzi berkata: “Ketika Ali r.a telah wafat, dikeluarkanlah Abdul Rahman bin Muljam dari penjara untuk dibunuh balas. Maka Abdullah bin Ja‘far memotong kedua tangannya dan kakinya, tapi dia tidak berteriak dan tidak berbicara, kemudian matanya dipaku dengan paku panas, dia juga tetap tidak berteriak bahkan dia membaca surat Al ‘Alaq hingga habis dalam keadaan darah mengalir dari kedua-dua matanya.

Ketika lidahnya hendak dipotong barulah beliau berteriak, maka ditanya kepadanya: “Mengapa engkau berteriak?" Beliau berkata : “Aku tidak suka kalau aku mati di dunia dalam keadaan tidak berzikir kepada Allah". Dan beliau adalah orang yang dahinya berwarna kehitaman kerana selalu bersujud. Semoga Allah melaknatnya". (Lihat kitab Talbis Iblis).

Semoga Allah membinasakan manusia yang mengikut jalan pemikirannya. Semoga Allah memberikan hidayah kepada pencari kebenaran agar tersingkap kejahatan Khawarij dibalik ‘kesolehan’ mereka.
Namun begitu, masyarakat hari ini kurang pengetahuan dalam isu akidah. Malah saya percaya banyak daripada kita termasuklah ahli Pas yang tidak pernah belajar kitab akidah yang telah disebutkan. Kita perlu mengetahui akidah khawarij bagi menghindari terjebak dengan pemikiran mereka. Kerana khawarij hari ini berkupiah dan berjubah serta mendapat gelar mulia atas nama agama.

Jalan pemikiran mereka bermuara kepada “Tauhid Hakimiyah" iaitu Tiada Hukum Melainkan Hukum Allah. Itulah yang dislogankan oleh Abdul Rahman bin Muljam saat memancung kepala Ali r.a. Beliau berkata: “Tiada hukum kecuali hukum Allah, bukan milikmu atau orang-orangmu wahai Ali" lantas dia membaca ayat: “Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya". (al Baqarah/2:207)

Oleh itu, mereka menganggap para pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah atau hudud sebagai kafir, serta wajib untuk ditumbangkan. Justeru mereka menjadi pembangkang dan menentang kerajaan. Mereka menghina pemerintah, membongkarkan keaiban pemerintah, mendoakan kehancuran pemerintah dan menghasut rakyat agar bangkit menentang pemerintah. Inilah akidah mereka.

Hal ini sangat berlawanan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Imam Barbahari berkata: “Tidak boleh seseorang bermalam sementara tidak merasa memiliki pemimpin, baik pemimpin tersebut itu adil ataupun zalim". Dan beliau berkata lagi: “Barang siapa yang keluar dari pemerintah kaum Muslimin, bererti dia termasuk kaum Khawarij dan mematahkan tongkat kepimpinan kaum muslimin serta menentang Ansar. Apabila mati maka dia mati dalam keadaan jahiliyah".

Justeru Pas diingatkan supaya jangan menjadi Neo-Khawarij yang sesat dan menyesatkan. Bertaubatlah selagi belum ajal menjelma, kelak takut diancam menjadi anjing neraka. Syeikh Ahmad Syakir seorang ulama hadis Mesir pernah mengatakan: “Ikhwanul Muslimin adalah Khawarij abad ini" pada tahun 1960-an dulu yang buktinya hari ini Mesir bergolak. Maka tidakkah keterlaluan kita katakan Pas adalah sebuah parti berideologi Khawarij di Malaysia?
PENULIS ialah Ketua Biro Massa Ilmuan
Malaysia (iLMU).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130128/re_07/Pas-parti-berideologi-Khawarij#ixzz2JTLbngiT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pas banyak 'berlakon'


Pas banyak 'berlakon'

KATA si giant killer: "Barangkali dia super gred tetapi padahal 'kosong' di Marang." Itu ungkapan agak pedas daripada Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Terengganu dalam pertemuan pada malam Sabtu lalu.

Dalam pertemuan di Kuala Lumpur itu, Abdul Rahman membawa saya meninjau tindak-tanduk pelik sebilangan pengikut Pas di kawasannya, Marang, sebelum menjengah lebih jauh seluruh Terengganu.
"Bagi saya Pas banyak 'berlakon'. Pernah sebelum Jambatan Sultan Mahmud di Duyung siap, orang Pas kata tak akan guna, membazir wang.

"Tapi bila jambatan siap, dia lalu juga. Dari Batu 6, Gong Badak, Tok Jering, Seberang Takir dan Kuala Nerus, mereka menghala ke Rusila (kawasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya.

Kata Abdul Rahman: "Dia (Pas) kata sekolah kerajaan ini kafir, sekular. Semasa anak mereka (penyokong Pas) tadika, dia hantar ke taska Pasti...dia kata tadika sedia ada tadika kafir. Tapi bila besar, tahu pula hantar anak ke sekolah rendah, menengah kerajaan.

"Malah, ada orang Pas hantar anak belajar ke Eropah dan Amerika lagi...bukankah itu negeri-negeri kafir?"
Abdul Rahman, 60, mendapat jolokan Giant Killer setelah menewaskan Abdul Hadi, 65, pada 1986 dan 2004. Dalam persaingan pilihan raya, beliau dan Presiden Pas itu ketika ini dalam kedudukan seri (Abdul Hadi menang 1990 dan 1995).

Bagi Abdul Rahman, Barisan Nasional masih berupaya mempertahankan Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Malah, boleh tambah kerusi lagi.

Ketika ini daripada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN), BN cuma kalah 8. Daripada 8 kerusi Parlimen pula, 2 terlepas. Di peringkat DUN, kata beliau, Insya-Allah BN akan tambah daripada 24 kepada sekurang-kurangnya 28 kerusi.

Untuk 6 kerusi Parlimen sedia ada, BN bukan sahaja mampu kekalkan, malah percaya kerusi Marang yang dikuasai Abdul Hadi akan kembali ke pangkuan BN.

"Hadi tak bawa apa-apa pembangunan dan kemajuan untuk rakyat Marang. Sama ada jalan raya, masjid, surau, klinik dan sekolah semuanya berbalik kepada Pusat.

"Baik dulu... sebelum, semasa dan sesudah dia jadi MB (Menteri Besar Terengganu 1999-2004), tiada apa-apa yang dia buat untuk rakyat Marang.

"Jadi, rakyat Terengganu, apatah lagi di Marang merasakan mengundi Pas tidak mendatangkan apa-apa hasil dan faedah kepada mereka jika hanya dimomokkan oleh propaganda dan retorik semata-mata," kata beliau.
Apa tidaknya, kata Abdul Rahman lagi: "Pas ni banyak teori...malam dia ceramah, siang tidur. Rakyat meluat dengan perangai sebegini, dan simpati pula kepada BN."

Bukti paling mudah. Daripada 57 buah masjid di Marang, tidak ada satu pun dibina oleh Abdul Hadi. Yang dia bina cuma masjid di Rusila. Sekarang bila BN perintah di bawah teraju Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, setiap satu DUN dibina satu masjid. Satu tahun, satu masjid. Kalau seluruh 32 DUN, cuba kira berapa?

Dan jika dinilai kembali manifesto yang dicanang Abdul Hadi pada pilihan raya umum 1999, sebenarnya banyak hutangnya kepada rakyat Terengganu.

Abdul Hadi, kata Abdul Rahman, mungkin tak akan diingati oleh rakyat Terengganu. Ini memandangkan tidak ada satu pun prasarana atau infrastruktur yang dikongsinya dengan rakyat. Ini baik sewaktu dia menjadi MB mahupun ketika ini menyandang Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang.

Namun, tegas beliau, kelibat Presiden Pas itu pasti tidak akan dilupakan oleh umat Islam negara ini kerana kesan 'sergahan' amanatnya di Banggol Peradong pada 1981.

"Kesannya, amat besar, berterusan dan berpanjangan sampai sekarang. Segala yang buruk-buruklah...pecah belah masyarakat, tak bertegur sapa sesama Islam, haram makan sembelihan orang UMNO, sembahyang berasingan, tanah kubur asing-asing, akad nikah dua kali.

"Tapi, bila kita tanya balik...mak dan ayah orang Pas ini termasuk Hadi sendiri dan nenek moyangnya...siapa yang nikahkan mereka? Kita umat Islam amat sedih perkara ini...orang Melayu pecah belah dan orang lain pula yang menangguk di air keruh," katanya.

Dan yang cukup menyedihkan daripada tindak-tanduk Abdul Hadi ialah apabila satu isu sensitif menyentuh Islam disyorkan oleh sekutu pakatannya untuk dipraktiskan.

Dan tanpa 'ribut taufan', Presiden Pas itu tiba-tiba menyatakan kesanggupan untuk akur. Dan, kita bersyukur kalau tidak kerana 'dipangkah' oleh Majlis Syura partinya, tak tahulah apa akibatnya selepas ini.

Abdul Rahman turut melontarkan persoalan menarik untuk dikongsi bersama rakyat negara ini. Kenapa dalam 12 kali pilihan raya umum, Pas tidak pernah menang besar barang sekali pun?

Pas, kata beliau, sering mengatakan kerajaan ini 'taghut'. Tetapi kenapa bila kerajaan bekalkan segala kemudahan, beri jawatan kepada mereka (pengikut Pas yang berada dalam kerajaan) atau segala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau bantuan RM100 persekolahan, mereka tak tahu bersyukur.

"Bila kita tak bersyukur, azabnya sungguh pedih, tapi bila kita bersyukur, Allah akan tambah lagi (rezeki itu).
"Dan bila kita berterima kasih kepada manusia yang bagi (memberi) kepada kita, ertinya kita bersyukur pada Allah," kata Abdul Rahman. Sebab itu Pas tidak akan menang PRU-13 ini.

Kata Abdul Rahman: 'Pas tidak akan menang sebab dia tak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah di bumi Malaysia bertuah ini.

Ditanya kemungkinan akan berulang sejarah pertembungan beliau dengan Abdul Hadi buat kali kelima nanti, Abdul Rahman berkata: "Ya lah, mereka (pengikut Pas) kata saya ni sudah 'hilang taring', sebabnya kerana nak rendah-rendahkan saya...kalau nak tahu 'hilang taring', cubalah!

"Namun, saya tak pernah mendesak, kalau kepimpinan yakin, saya bersedia, kalau tidak pun tak mengapa."
Beliau turut menitipkan sedikit formula untuk memilih winnable candidate di Marang.

"Kena pilih calon yang betul-betul layak, yang betul-betul ada rekod, yang betul-betul rakyat terima, yang betul-betul boleh menang. Pilihan calon jangan ikut emosi, jangan ikut suka tidak suka, jangan ikut individu, tapi ikut suara rakyat.
"Kena pilih hati-hati. Perlu menanyakan semua orang Marang."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130130/re_01/Pas-banyak-berlakon#ixzz2JTKNCMfi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Solat Jumaat 'berimamkan' radio


ARKIB : 29/01/2013

Solat Jumaat 'berimamkan' radio

PASIR PUTEH 28 Jan. - Seorang bekas penyokong tegar Pas yang terlalu taksub dengan Amanat Haji Hadi, mendedahkan bagaimana dia mendirikan solat Jumaat ‘berimamkan’ siaran langsung solat Jumaat menerusi saluran radio kerana menganggap imam di kampungnya kafir.

Menurut Aziz Jusoh, 53, dari Kampung Gong Guchil dekat sini, selepas menyedari tindakannya itu bertentangan dengan ajaran Islam, dia terus bertaubat dan nekad meninggalkan Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendapati ia merosakkan akidah.

Katanya, sebagai pengikut parti yang ilmu agama cetek, tindakan memulaukan imam atau orang UMNO dan mengkafirkan mereka dianggap halal serta jihad dalam memperjuangkan Islam bersama Pas.

“Setiap kali Jumaat, sebuah radio pasti berada di hadapan saya yang siap sedia untuk menunaikan solat dua rakaat. Saya akan mendengar khutbah dan berimamkan suara yang berkumandang.

‘‘Sampai begitu sekali keterlanjuran saya kerana terlalu taksub kepada perjuangan Pas tanpa berfikir amalan sedemikian adalah bidaah dan tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Guchil dekat sini kelmarin.

Dia mengulas pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N Al-Afghani bahawa puluhan ribu penyokong Pas masih berpegang dengan Amanat Haji Hadi.

Paling taksub, dakwa Aziz, pada masa itu ada penyokong tegar Pas yang menunaikan solat dengan meletakkan gambar atau poster pemimpin parti di bawah sejadah.

Aziz mendakwa, sepanjang menyokong Pas lebih 15 tahun lalu, arahan supaya mengkafirkan orang UMNO masih kuat dalam ingatannya hingga sekarang dengan menyaksikan akad nikah semula rakan-rakannya yang mempercayai pernikahan mereka yang dilakukan oleh imam UMNO tidak sah.

“Bagi mengelak perzinaan berterusan, mereka diakad nikah semula oleh ‘pak lebai’ Pas yang tidak bertauliah. Kami juga diajar supaya terus mengkafirkan orang UMNO secara lantang.

 Kalau tidak berani, cukup sekadar mengkafirkan orang UMNO dengan hati bagi mendapat ganjaran pahala," katanya.

Aziz mendakwa, sehingga sekarang masih ramai penyokong tegar Pas yang lantang mengatakan orang UMNO adalah ahli neraka.

Dia juga mengakui salah seorang ahli Pas yang tidak makan daging sembelihan orang UMNO, memulaukan kenduri-kendara, tahlil dan apa sahaja berkaitan dengan orang yang dilabelkan kafir oleh pemimpin Pas serta dipandang jijik olehnya.

Dakwa Aziz lagi, daging sembelihan orang UMNO dianggap sebagai bangkai dan haram dimakan menjadi pesanan serta pegangan ahli keluarganya ketika itu.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas menyedari kesilapan pegangan itu, dia memaklumkan kepada keluarganya untuk tidak bersama perjuangan Pas memandangkan pada masa sama, arwah ibunya juga penyokong tegar Pas dan pernah menghalaunya dari rumah.

“Ibu saya sendiri menganggap saya sudah kafir (setelah tidak lagi menyokong perjuangan Pas). Itulah penangan Amanat Haji Hadi yang jelas memecah-belahkan perpaduan umat Melayu yang wajib diperbetulkan semula oleh Presiden Pas itu tanpa perlu berdolak-dalik," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130129/po_02/Solat-Jumaat-berimamkan-radio#ixzz2JTJAdeQ7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pas tak serah senarai calon ke SPRM


Pas takut bayang sendiri, tak serah senarai calon ke SPRM

KEMAMAN 29 Jan. - PAS kelihatan takut dengan bayang sendiri bila tidak bersedia menyerahkan senarai nama calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan.
Menyatakan demikian, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti pembangkang itu memang tidak berani menentukan bersih atau tidaknya bakal calon mereka.
"Sudah menjadi sikap Pas dan pakatan pembangkang yang suka menentang prosedur termasuk berkaitan saringan oleh SPRM. Kita (Barisan Nasional) memang akur dengan saringan yang dibuat oleh SPRM kerana mahu pastikan calon kita bersih dan tidak timbul masalah kemudian, berbanding Pas," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
"Pas yang gemar menuduh UMNO/BN terbabit rasuah, penyelewengan dan sebagainya, cepat-cepat desak dan pergi ke SPRM untuk disiasat, tetapi apabila pemimpin mereka sendiri terbabit, mereka tidak lapor pun untuk disiasat," katanya.
Beliau mengulas keputusan Pas tidak akan menyerahkan senarai nama bakal calon mereka kepada SPRM, sebagaimana dilakukan UMNO dan BN, kerana percaya semua calon mereka bersih.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga ini Pas berpuas hati dengan semakan dan siasatan senarai nama calon yang dibuat jawatankausa dalaman parti itu yang telah diteliti Majlis Syura.
Mengenai isu kalimah Allah, Ahmad berkata, ahli PAS yang waras pemikiran akan menolak dan meninggalkan parti itu apabila membenarkan kalimah suci itu digunakan oleh bukan Islam.
"Tapi, bagi yang taksub, buat apa pun dia akan anggap pemimpin mereka betul," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130129/po_16/Pas-takut-bayang-sendiri-tak-serah-senarai-calon-ke-SPRM#ixzz2JTIP2y8n
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 negeri belum sertai PAAB

SEREMBAN: Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata sehingga kini terdapat lima negeri yang masih belum menyertai PAAB. 

Katanya negeri itu ialah Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Kedah. 


"Penerangan dan taklimat mengenai kelebihan menyertai PAAB yang menguruskan pembangunan air bagi kerajaan negeri telah pun dibuat bersama semua negeri berkenaan tapi sehingga kini negeri-negeri itu masih enggan menyertai PAAB. 


"Kita telah lakukan apa yang patut dibuat termasuklah duduk berbincang dan bercakap dengan memberi penerangan kepada kerajaan negeri tersebut, tetapi setakat ini belum ada sebarang keputusan. Maka, terpulanglah kepada negeri berkenaan untuk mengambil langkah seterusnya kerana kita tidak pernah memaksa," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian serah hak aset air oleh kerajaan Negeri Sembilan kepada PAAB di sini, hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman. 

Tajol Rosli berkata PAAB bersedia melaksanakan segala pembangunan air termasuklah kemudahan infrastruktur di sesebuah negeri itu, asalkan ia mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri itu sendiri. 
Katanya kerajaan akan menghentikan bantuan kewangan kepada mana-mana negeri yang masih belum menyertai PAAB. 

"Kita tidak mahu jika ada masalah, baru hendak cari kita (PAAB), tetapi sebelum ini mereka sendiri yang laksanakan segala projek pembangunan air negeri," katanya. - BERNAMA


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/5negeribelumsertaiPAAB/Article/index_html

Umno akan rasa nikmat jadi pembangkang


Umno akan rasa nikmat jadi pembangkang

Harakahdaily,29 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Jangan berasa terlalu kecewa jika kali ini Umno mengambil giliran untuk membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan menajamkan perjuangan mereka.

Demikian tulisan Aspan Alias di dalam blognyahttp://aspanaliasnet.blogspot.com

“Semasa duduk sebagai pembangkang itu Umno akan lebih mudah untuk menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak baik untuk perjuangan parti itu,” tulisnya.

Menurutnya, semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhyiddin dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan pimpinan itu adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.

Di bawah adalah tulisan penuh beliau.

Usaha mengenepikan Najib dan menggantikan pimpinan UMNO dengan Muhyiddin nampakya semakin diketahui umum. Kepulangan Najib dari luar negara dengan sambutan yang agak besar itu adalah usaha pihak penyokong Najib bagi menunjukkan yang beliau (Najib) mempunyai sokongan kuat. Kehadiran ramai itu juga  adalah untuk menunjukkan kepada pihak yang mahu mengalih dan menganjak kepimpinan dalam UMNO itu supaya jangan cuba-cuba untuk melakukan apa-apa terhadap beliau.

Dalam ramai-ramai ahli UMNO yang menunggu itu ada juga beberapa orang yang datang dari kalangan yang melakukan usaha mengenepikan Najib kerana tidak mahu tindakan mereka dihidu oleh pihak yang mempertahankan Najib. Yang jelasnya kumpulan yang datang beramai-ramai menunggu kepulangan Najib itu termasuklah mereka yang telah membaling batu terhadap Najib dan menyorokkan tangan mereka dengan hadir bersama dalam perhimpunan itu.

Itulah yang berlaku di dalam UMNO menjelangnya pilihanraya ini dan persediaan sudah nampak berlaku untuk melakukan apa yang telah dilakukan terhadap Abdullah Badawi dahulu. Jika BN memenangi pilihanraya kali ini dengan majoriti yang lebih kecil dari apa yang di perolehi oleh Abdullah Badawi dalam pilihanraya yang lalu maka Najib akan diminta mengundurkan diri dan memberikan pimpinan itu kepada TS Muhyiddin Yassin. Itulah caranya di dalam UMNO selagi ada seorang yang masih dibiarkan aktif dan menyibuk dalam politik UMNO itu sekarang.

Tetapi kali ini strategi itu akan memudharatkan UMNO itu sendiri. Pilihanraya kali ini akan mengakibatkan bukan sahaja kumpulan Najib terpaksa berundur tetapi yang berkehendakkan Najib berundur itu pun akan diundurkan oleh rakyat. Jika usaha setengah pihak dalam UMNO hendak mengenepikan Najib itu hanyalah untuk mengambilalih peranan sebagai Ketua Pembangkang sahaja kerana keseluruhan UMNO itu nampaknya akan menjadi pihak pembangkang tidak berapa lama lagi.

Sebenarnya jika Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat ia merupakan satu hikmah bagi UMNO kerana semasa menjadi pembangkang itulah UMNO berkesempatan untuk melakukan introspeksi diri dan melihat ke dalam kenapa mereka diketepikan oleh rakyat negara ini. Semasa itu nanti UMNO bolehlah mengambilalih kepimpinan Najib itu dan membetulkan UMNO seperti yang sepatutnya.

Itu sebabnya ulamak yang muktabar sentiasa mengingati kita supaya jangan menerkam yang cantik itu kerana di sebalik kecantikan itu mungkin ada kecelakaannya. Di sebaliknya jika datang musibah dan yang buruk jangan terus ditolak kerana mungkin ada kebaikan di sebaliknya.
Dalam kes UMNO ini mereka (UMNO) mesti jangan gusar menerima kekalahan kerana di sebalik keburukan itu sudah pasti ada hikmah di sebaliknya.Hikmah bukannya dalam bentuk kuasa yang ada di tangan, tetapi hikmah yang sebenarnya ialah berkesempatan bagi memperbaiki diri untuk menjadi parti yang lebih baik dan mempunyai perjuangan yang betul.
Ramai manusia yang takut kepada mati, tetapi apabila mereka mati dalam keimanan mereka akan tahu bahawa hidup di alam yang selepas mati itu adalah kehidupan yang enak dan dan menyejukkan. Itu kata-kata ramai alim ulamak yang mempunyai makam yang tinggi, bukannya kata-kata dari saya.

Jangan berasa terlalu kecewa jika kali ini UMNO mengambil giliran untuk membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan menajamkan perjuangan mereka. Semasa duduk sebagai pembangkang itu UMNO akan lebih mudah untuk menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak baik untuk perjuangan parti itu. Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhyiddin dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan pimpinan itu adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.

Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhkriz untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO untuk membantu Muhyiddin mengambil kembali mandat rakyat dalam pilihanraya yang berikutnya. Itu pun jika rakyat mahu UMNO kembali menjadi parti kerajaan.

Tetapi mungkin semasa itu nanti UMNO akan dapat merasakan nikmatnya sebagai parti pembangkang.

Selangor akan ambil alih urusan air dalam 14 hari


Selangor akan ambil alih urusan air dalam 14 hari

Harakahdaily,30 Jan 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan pihaknya akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu dibuat dengan berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini yang menyatakan kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air.

"Justeru, dalam surat tersebut kita telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata, pihaknya mendapat aduan dari rakyat bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah mengedarkan risalah yang mengkritik kerajaan Selangor dalam isu air.

Hasil dari siasatan awal yang dilakukan ujar Khalid, kenyataan Syabas tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syabas, Ir V Subramaniam.

"Syabas mengeluarkan risalah ini tanpa mendapat persetujuan dan pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah Syabas.

"Sehubungan itu, sebagai pemegang saham dalam Syabas, kerajaan Selangor mendesak supaya diadakan siasatan dalaman terhadap Subramaniam kerana bertindak melebihi kuasa yang dibenarkan," katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan negeri juga akan memantau aduan kekerapan paip bocor yang memberi kesan terhadap pembekalan air kepada rakyat.

PM Najib dalam kesunyian


PM Najib dalam kesunyian

Aspan Alias,30 Jan 2013
Jika benar kumpulan Muhyiddin yang disokong oleh pihak yang berpengaruh dalam UMNO untuk mengenepikan Najib sebelum pilihanraya ia sudah terlambat dan tidak mempunyai masa lagi. Najib pula sepatutnya menumpukan masa dan perhatian beliau terhadap lawan beliau di dalam partinya sendiri. Saya selalu berkata musuh Najib sebenarnya bukannya parti pembangkang tetapi musuh beliau yang lebih besar ialah dari dalam UMNO itu sendiri.


Bagi Najib menyalahkan pembangkang yang menjadikan isu lawatannya ke Gaza sebagai lawatan yang membuang masa dan ‘counter productive’ jika dipandang dari sudut hendak menaikkan imej BN dalam pilihanraya nanti itu adalah tidak tepat. Ianya diperbesarkan oleh mereka dalam UMNO sendiri. Anwar Ibrahim bukan orangnya yang membesarkan isu itu.

Yang menjadikan isu tentang lawatan itu adalah Presiden Palestin sendiri yang menegur Najib yang tidak betul cara melakukan lawatan ke Gaza itu kerana ia dilihat seperti masuk campur di dalam hal ehwal Palestin itu. Mahmud Abbas telah menempelak Najib kerana Najib menampakkan dirinya sebagai memihak kepada satu dari dua pihak Palestin yang berbeza itu.

Mahmud Abbas adalah Presiden yang diletakkan oleh masyarakat antarabangsa sedangkan Hamas merupakan pihak yang memenangi pilihanraya tetapi tidak diiktiraf oleh banyak pihak di dunia ini dan menguasai Gaza dengan Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menterinya. Anwar hanya memberikan pandangan yang Najib tidak membuat ‘homework’ sebelum melakukan lawatan itu. Oleh yang demikian lawatan yang sepatutnya memberikan lonjakan untuk Najib nyata telah menjadi isu besar yang negatif bagi kerajaan dan dirinya sendiri.

Najib terpaksa membela dirinya sendiri dan tidak ada di kalangan mereka dalam kabinet serta partinya yang mempertahankan beliau. Malahan ramai di antara pemimpin UMNO dan kerajaan sendiri memberikan komen yang tidak baik untuk Najib di belakang dan tidak langsung memberikan kenyataan untuk membela Perdana Menteri yang kian hari kian lemah itu. Selalunya UMNO akan mempertahankan pemimpin utamanya dengan kuat walau sebesar mana pun kesalahan pemimpin mereka. Mahathir dahulu telah melakukan banyak kesilapan besar tetapi setiap peringkat UMNO memberikan kenyataan tegas berdiri di belakang beliau dalam apa pun keadaannya.

Puluhan kali saya sebut dalam blog ini bahawa UMNO akan menghadapi perpecahan yang amat serius dan parti itu akan tersungkur dengan sendirinya. Jika parti yang tidak bersatu menghadapi musuh yang sedang kuat ia tidak akan mendapat kejayaan. Itulah sebabnya saya selalu memberikan pandangan banyak tahun dahulu yang UMNO akhirnya akan menjatuhkan diri mereka sendiri tanpa payah ditolak oleh pihak pembangkang. UMNO itu sekarang nampak gah dan besar serta garang, tetapi pada hakikatnya UMNO itu hanyalah sebagai satu ‘paper tiger’ sahaja yang tidak akan membawa apa-apa ‘consequence’ yang positif untuknya.

Tindakan ramai rakyat memilih untuk memberikan dukungan terhadap parti-parti ‘alternative’ adalah satu tindakan yang ‘natural’ dan kemahuan rakyat untuk berubah itu pun memangnya sudah sampai masa dan waktunya untuk dilakukan. Kita mesti ingat UMNO tidak boleh mengharapkan tuah datang selalu. Kadangkala ia terpaksa menghadapi kenyataan yang masa untuk ia diketepikan itu sememangnya sudah sepatutnya sampai, malahan ia sepatutnya berlaku sepuluh tahun dahulu lagi.

Cerita kemahuan sebahagian dari pemimpin UMNO untuk Muhyiddin mengambilalih kepimpinan UMNO sebelum pilihanraya itu sudah nyata benar. Tetapi jika pun Muhyiddin berjaya dengan sokongan Mahathir dan yang lain-lain untuk mengambilalih kepimpinan dari Najib, persoalannya adakah ia memberikan apa-apa perbezaan kepada UMNO.

Bagi pendapat ramai UMNO akan lebih buruk lagi keadaannya kerana bukan semua yang mahukan Najib berhenti, apatah lagi Najib baru sahaja mengambilalih kepimpinan dari Abdullah Badawi yang dibenci Mahathir itu. Jika pun Muhyiddin mengambil alih apa baiknya kerana beliau itu adalah dari acuan yang sama sahaja dan beliau tidak sunyi dari kesalahan yang besar yang belum disebut oleh rakyat lagi. Pendeknya yang diturunkan dan yang dinaikkan sama sahaja.

Bagi rakyat untuk memihak kepada satu dari dua pihak dalam UMNO ini, merupakan risiko yang bukan kecil. Risikonya ialah ketidakstabilan kerajaan itu. Yang menang tidak mendapat semua dan yang kalah tidak akan hilang kesemuanya. Oleh itu adalah tidak bijak bagi rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO kerana kedua-dua pihak itu akan membawa musibah kepada negara dan kerajaan.

Adalah molek bagi rakyat meninggalkan sahaja UMNO itu dengan masalah yang mereka wujudkan sendiri dan kita berikan tumpuan kepada pihak alternatif yang lebih serius untuk mencari dan melakukan perbezaan terhadap rakyat dan negara.

Rakyat mahukan ‘ambience’ politik yang berbeza kerana rakyat rindukan suasana dalam mana mereka tidak payah berdiskusi tentang politik di mana-mana lagi. Rakyat mahukan ketenteraman suasana untuk terus hidup tanpa gangguan fikiran dan permasalahan yang berlaku terlalu banyak di hadapan mata mereka sendiri.

Dalam keadaan sekarang semakin hari semakin meyakinkan yang UMNO sudah mula tidak relevan untuk menjadi parti pemerintah yang baik lagi. UMNO seolah-olah sudah begitu usang untuk mendapatkan keyakinan  rakyat ramai. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16397-pm-najib-dalam-kesunyian-