Wednesday, February 29, 2012

Jualan Untung Rugi Syarikat di Malaysia

Proton rugi RM84j dalam suku ketiga 2011

Sumber : Malaysiakini
daripada : bernama

Kerugian pracukai syarikat pembuat kereta negara, Proton Holdings Bhd telah meningkat kepada RM84.054 juta untuk suku ketiga berakhir 31 Dis, 2011 berbanding kerugian pracukai RM51.535 juta dalam tempoh yang sama 2010.
  
Dalam satu kenyataan, syarikat berkata prestasi yang lemah itu adalah disebabkan penurunan dalam jualan akhir tahun yang menyaksikan pelarasan jumlah pengeluaran dalam usaha untuk menguruskan kos dengan lebih baik.

Pendapatan merosot kepada RM1.432 bilion daripada RM1.833 bilion sebelumnya.
  
Sementara itu, pendapatan untuk sembilan bulan pertama turut susut kepada  RM5.92 bilion daripada RM6.36 bilion sementara kerugian sebelum cukai ialah RM36.530 juta berbanding keuntungan pracukai RM134.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.
  
Pengerusi kumpulan Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata keuntungan yang rendah itu dikaitkan sebahagian besarnya kepada pendapatan yang lemah yang dicatatkan daripada jualan domestik.
  
Bagaimananpun, kesan kurang memberangsangkan daripada pendapatan yang rendah itu telah ditampung oleh penurunan dalam overhed pembuatan dan perbelanjaan pentadbiran yang rendah yang ditanggung dalam tempoh kewangan yang sama, kata beliau.
  
"Selain daripada itu, keputusan itu turut terjejas oleh jumlah jualan yang rendah kereta-kereta Lotus di Eropah pada suku yang lepas," tambah beliau.
  
Mohd Nadzmi juga berkata yang penangguhan pelancaran model terbaru Proton turut menjejaskan unjuran jualan.
  
"Bagaimanapun, penangguhan itu perlu bagi memastikan semua isu dapat ditangani dan pengguna akan mendapat yang terbaik daripada model itu," katamya.
  
Menurut Persatuan Automotif Malaysia, jumlah jualan kenderaan susut 25 peratus kepada 40,948 unit pada bulan Januari daripada 54,781 unit dalam tempoh yang sama 2010 ekoran syarat kelulusan pinjaman sewa beli yang ketat, bulan kerja yang lebih singkat dan kesan daripada bencana banjir di Thailand.  
  
Mohd Nadzmi berkata berikutan prestasi lembap industri berkenaan, Proton menjangkakan tempoh yang mencabar ke hadapan dengan jumlah jualan yang rendah selepas Bank Negara baru-baru ini mengekalkan yang ia tidak akan menyemak kembali atau menyelaraskan garis panduan pinjaman baru.
  
Mengenai strategi peluasannya di persada global, beliau berkata kumpulan itu pada masa ini sedang memuktamadkan rancangan untuk mengeksport unit CBU pemanduan sebelah kiri model-model yang dipasang di China ke pasaran sasaran terpilih.
  
Selain itu, PROTON Iran, yang merupakan anak syarikat 100 peratus kumpulan, baru-baru ini telah dilancarkan dengan objektif memenuhi permintaan selepas jualan pengguna-pengguna sedia ada, kataya.
  
"Langkah seterusnya ialah untuk memulakan jualan kereta di Iran sekali lagi menggunakan CBU pemanduan kiri.
  
Selepas kejayaan membuka bilik pameran pertama Proton Platinum di Medan, Sumatera, jenama kereta negara itu akan membuka satu lagi bilik pameran Platinum di Jakarta Barat untuk menyokong permintaan yang kian meningkat di pasaran Indonesia.
  
Bergerak ke hadapan, kumpulan itu akan terus meninjau lebih banyak peluang untuk meningkatkan dan menjana pendapatan daripada perniagaan lain, terutamanya menerusi perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti.

Setakat 31 Disember 2011, imbangan bank tunai Proton ialah pada RM1.18 billion.

- Bernama
_______________________________________________________________




MAS alami kerugian bersih RM2.52 bilion
Sumber : Malaysiakini bernama



Malaysian Airline System Bhd (MAS) mencatat kerugian bersih RM2.52 bilion hasil daripada RM13.9 bilion perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.
  
Bagi tempoh suku keempat, syarikat penerbangan negara itu merekodkan RM1.28 bilion kerugian bersih, hasil pusing ganti sebanyak RM3.68 bilion, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Jauhari Yahya.

Beliau berkata kerugian kumpulan bagi tahun 2011 menunjukkan pentingnya syarikat penerbangan itu segera melaksanakan usaha untuk mengekang "kerugian" itu.
  
"Ini termasuk penempatan semula petugas, meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kawalan kos dan membuat kajian selanjutnya.
  
"Kami juga melaksanakan strategi pemasaran dan jualan agresif," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.
  
Ahmad Jauhari berkata prestasi setahun penuh kumpulan itu terjejas teruk akibat peningkatan 21 peratus perbelanjaan berjumlah RM16.2 bilion, berbanding  RM13.41 bilion pada 2010.

Beliau berkata perbelanjaan tinggi itu disebabkan oleh peningkatan 33 peratus kos bahan api sebanyak RM5.85 bilion dan peningkatan 15 peratus perbelanjaan bukan minyak sebanyak RM10.43 bilion.

Peningkatan perbelanjaan bukan bahan api itu sebahagian besarnya disebabkan peruntukan berjumlah RM1.09 bilion yang dibuat pada suku keempat untuk pelupusan saham, penyerahan semula pesawat dan kekurangan pesawat kargo.
  
Ahmad Jauhari berkata akaun bagi tahun dalam kajian memperakui peruntukan dan kos operasi yang semakin meningkat, yang walaupun sukar, memberikan pendekatan hoslitik organisasi dan pengetahuan penuh kedudukan sebenar syarikat.
  
Bagi setahun penuh, Malaysia Airlines menyaksikan peningkatan kapasiti (tempat duduk setiap kilometer) sebanyak tujuh peratus, trafik penumpang meningkat lima peratus, namun faktor kerusi yang rendah berkurangan kepada 75 peratus.
  
Beliau berkata perolehan dan purata tambang bagi semua kelas menunjukkan peningkatan sepanjang tahun, terutama kabin depan.
  
Bagaimanapun terdapat penurunan keseluruhan faktor kerusi memandangkan syarikat penerbangan itu berusaha untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik.
  
Mengikut asas prestasi serantau, perkhidmatan domestik dan jarak pendek, perkhidmatan sesama Asean menjadi pasaran utama syarikat itu, dengan segmen berkenaan melaporkan pertumbuhan positif mengikut sukuan selain mengikut asas setahun setakat ini, katanya.
  
Sementara itu, bahagian kargo mengalami penurunan, selari dengan penurunan industri berkenaan di dunia.
  
Perolehan susut 14 peratus, kapasiti susut sembilan peratus manakala hasil pulangan dua peratus.
  
Ahmad Jauhari juga berkata MASkargo mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM19 juta pada 2011 berbanding keuntungan RM141 juta pada tahun sebelumnya ekoran kos bahan api yang tinggi dan kekurangan barisan pesawat A330.

- Bernama


__________________________________________________________



Untung pracukai Utusan meningkat kepada RM17.33j
Sumber : Malaysiakini ,bernama
Untung pracukai Utusan Melayu (M) Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, meningkat kepada RM17.33 juta daripada RM4.77 juta dalam tempoh yang sama 2010.
  
Pendapatan menambah kepada RM366.16 juta daripada RM341.39 juta sebelumnya, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
  
Utusan berkata keputusan yang menggalakkan itu dirangsang oleh pendapatan pengiklanan yang tinggi, perolehan daripada pelupusan anak syarikat dan sumbangan oleh syarikat sekutu.
  
Untuk suku keempat berakhir 31 Disember 2011, untung pracukainya, bagaimanapun, jatuh kepada RM12.37 juta daripada RM15.46 juta dalam suku yang sama 2010.
  
Pendapatan mengukuh kepada RM99.41 juta daripada RM94.78 juta sebelumnya.

Bergerak ke hadapan, Utusan berkata 2012 akan terus mencatatkan cabaran ekoran saingan sengit untuk penguasaan pasaran perbelanjaan iklan di kalangan semua media.
  
Bagaimanapun, Utusan menjangkakan pertumbuhan yang positif dalam keluaran dalam negara kasar dan perbelanjaan pengiklanan keseluruhan akan menyediakan peluang untuk kumpulan untuk pendapatan pengiklanan.

"Akhbar kompak kami, Kosmo dijangka berkembang positif dari segi pengedaran dan pendapatan iklan. Pengedarannya meningkat 15 peratus tahun lepas.
  
"Harga Kosmo telah naik sebanyak 20 sen dan untuk edisi Ahad sebanyak 30 sen sejak Januari tahun ini, sebahagiannya untuk menampung kesan kos operasi yang tinggi pada 2012," katanya.

- Bernama
_____________________________________________________________







Petronas untung RM55.6b



SHAMSUL Azhar Abbas (tengah) bersama Timbalan Presiden Eksekutif Kewangan Petronas , Datuk George Ratilal (kiri), Timbalan Presiden Gas dan Bisnes Petronas , Datuk Anuar Ahmad (dua dari kiri) , Timbalan Presiden Eksekutif (Downstream) Bisnes , Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kanan) dan Timbalan Presiden Eksekutif Eksplorasi dan Pengeluaran Bisnes Petronas , Datuk Wee Yiaw Hin melihat buku laporan kewangan Kumpulan Petronas selepas sidang media di Menara Berkembar Petronas, semalam.



KUALA LUMPUR 5 Mac - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM55.6 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2011, menjangkakan pengeluaran minyaknya pada tahun ini menyusut sebanyak empat peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata, penyusutan itu disebabkan pengurangan medan-medan natural (natural fields) dan cabaran keselamatan di perairan Sudan.

Menurut beliau, Petronas yang mengeluarkan minyak di bahagian utara Sudan kini tidak dapat mengeluarkan 135,000 tong minyak sehari akibat konflik yang berlaku di negara tersebut.

Lokasi itu menyumbangkan 80 peratus pengeluaran kepada Petronas berbanding 20 peratus di bahagian selatan Sudan.

"Bayangkanlah sekiranya harga minyak sebanyak AS$118 (RM354) hingga AS$119 (RM357) setong, berapa banyak yang kami rugi.

"Sehingga kini, kami tidak mengetahui bila keadaan kembali pulih.

"Mengambil kira situasi semasa, kami menjangkakan prestasi tahun lalu sukar diulangi pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi sembilan bulan Petronas di sini, hari ini.

Bagi tahun kewangan itu, Petronas merekodkan pendapatan sebanyak RM222.8 bilion, naik 26.9 peratus dan keuntungan sebelum cukai ialah RM82.7 bilion.

Kenaikan pendapatan kumpulan itu, dipacu oleh kenaikan harga minyak dan peningkatan jualan gas asli cecair (LNG), bagaimanapun ia terjejas sedikit akibat kejatuhan jualan minyak mentah dan penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

Mengulas mengenai cabaran Petronas pada 2012, Shamsul berkata, tahun ini adalah tahun yang membimbangkan kerana ekonomi global tidak menentu dan ia memberi kesan kepada harga minyak.

Malah katanya, pemulihan ekonomi yang sukar menyebabkan permintaan minyak terganggu, turut menjadi faktor menakutkan.

''Dari segi aspek antarabangsa, Eropah dijangka mengalami kemelesetan ekonomi dan China pula mengurangkan permintaan bagi komoditi ini.

''Bagi faktor domestik pula, kita berhadapan dengan penyusutan dalam pengeluaran,'' tambahnya.
Ditanya mengenai semakan harga gas, Shamsul berkata, Petronas sudah menemui tiga menteri bagi membincangkan cadangan formula tersebut.

Beliau mengakui, sebarang kenaikan begitu sensitif, bagaimanapun menaruh harapan kepada kerajaan untuk membuat semakan semula.

Jelasnya, setiap nilai RM3.00, Petronas terpaksa menanggung kerugian RM1.7 bilion hingga RM1.8 bilion.
Mengulas mengenai unjuran harga minyak pada tahun ini, beliau berkata, komoditi itu dijangka berlegar antara AS$85 hingga AS$90 setong (RM255 hingga RM270).



________________________________________________________________________