Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz
KOTA BHARU - Percanggahan pendapat mengenai kalimah ALLAH tidak sesekali menggugat hubungan Pas dalam pakatan biarpun terdapat desakan supaya parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), kata Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat itu berkata, beliau yakin perkara tersebut tidak mungkin akan menjejaskan hubungan yang sedia terjalin selama ini walaupun Majlis Syura Pas, 13 Januari lalu menetapkan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam bible versi bahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau mengecam mana-mana desakan yang dilakukan terhadap Pas berikutan timbulnya tidak sehaluan pendapat mengenai isu dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Krismas tahun lalu.

“Keputusan Majlis Syura itu untuk ahli Pas dan mereka wajib mengikutinya. Keputusan itu (Majlis Syura) adalah untuk menyatukan umat Islam.
“Jadi yang mana tidak mahu dengar (ikut) tidak kira belah mana (mana-mana parti atau individu) pun itu adalah hak dia, kita nak buat macam mana. Sampai nak jejaskan PR itu tidak mungkin berlaku,” katanya ketika ditemui selepas kuliah mingguan semalam.

Dalam pada itu, Nik Abduh berkata, PR perlu mendengar suara ulama dan sememangnya ia sudah berlaku sedemikian dalam pakatan, lagipun bagi beliau DAP dan PKR menghormati Pas sebagaimana hormat kepada sistem dilaksanakan oleh parti itu.

Sambil menyifatkan perbezaan pendapat dalam isu kalimah ALLAH adalah perkara biasa, Nik Abduh mengakui sebelum ini terdapat banyak perkara yang berbeza antara parti tetapi tidak menjejaskan hubungan dalam pakatan.
Kelmarin, lebih 50 penduduk sekitar Kota Bharu termasuk penyokong Pas mengadakan bantahan aman, mendesak supaya parti itu keluar dari PR atas sikap sesetengah pihak dalam DAP dan PKR tidak menghormati keputusan Majlis Syura.

Bagi meredakan isu terbabit daripada terus dipertikaikan, beliau berharapPresiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersuara untuk menjelaskannya perkara itu supaya semua pihak patuh keputusan ditetapkan Majlis Syura.

Berikutan senario isu kalimah ALLAH masih dianggap belum selesai sesetengah pihak biarpun pucuk kepimpinan parti menyifatkan ia sudah tamat, Nik Abduh mencadangkan penerangan menerusi wacana diberikan kepada kumpulan yang berada di luar parti.

“Kita cadang bukan hanya diskusi dengan orang Islam, kalau boleh dengan bukan Islam. Terutama sekali bukan Islam yang nampak bahasa kalimah ALLAH mereka juga berhak pakai. Jadi kalau mereka tidak faham, mereka kena fahami kenapa ahli Majlis Syura dan umat Islam kata tidak setuju kalimah ALLAH diterjemah daripada perkataan God atau Lord,” katanya.