Keluar Pas kerana tidak sanggup pecah belahkan umat Islam
PADANG TERAP 1 Jan. - Seorang bekas pemimpin Pas di peringkat akar umbi bertindak keluar daripada parti itu selepas tidak sanggup lagi memecah belahkan umat Islam di kampungnya dengan menghasut mereka agar mempercayai Amanat Haji Hadi.Che Kasa Awang, 56, berkata, sebagai Timbalan Majlis Ketua Kampung (MKK) Cawangan Padang Nyiur di sini, dia melaksanakan tugas itu atas arahan parti.
Namun atas kesedaran diri sendiri, dia mengambil tindakan nekad meninggalkan parti dan jawatan tersebut pada Disember 2011 kerana bimbang akan memesongkan akidahnya dan orang lain.
Menurutnya, dia juga terpengaruh dengan perjuangan Pas yang kononnya cuba menegakkan syiar Islam.
"Saya masuk Pas selepas Pilihan Raya Umum 2008 kerana pada sangkaan saya inilah parti yang sesuai dengan jiwa, namun harapan itu meleset sama sekali.
"Ujian untuk saya semakin menjadi-jadi apabila dilantik sebagai Timbalan MKK beberapa bulan selepas itu dan harus memainkan peranan menyebarkan Amanat Haji Hadi kepada orang kampung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Nyiur, di sini hari ini.
Dia berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani mengenai beratus ribu penyokong Pas masih berpegang pada amanat itu.
Menurut Che Kasa, kesan daripada amanat tersebut antaranya membawa perpecahan kepada seluruh penduduk kampung di kawasan itu.
"Oleh kerana tidak tahan lagi apabila terpaksa bersekongkol dengan amanat itu, saya bertindak keluar Pas pada 2009.
"Walaupun tidak ada jawatan dalam parti, saya berasa lebih tenang. Tidak guna ada jawatan tetapi tugasnya menghasut orang ke jalan yang tidak baik termasuk mengatakan orang Islam lain sebagai kafir," katanya.
Tambahnya yang menyertai UMNO pada 2011, dia tidak kesal meninggalkan jawatan dalam MKK yang dianggapnya sangat berbeza dengan jawatan ketua kampung kerana fungsinya adalah untuk memecah belahkan penduduk setempat.
"Arwah bapa saya juga pernah memegang jawatan ketua kampung dan tugasnya adalah memastikan penduduk kampung bersatu tetapi MKK berbeza pula.
"Saya berharap walaupun Presiden Pas tidak berniat untuk menarik amanat yang dikeluarkannya pada 1981, orang ramai boleh berfikir dengan waras dan memilih perkara yang betul dengan menolak amanat itu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130102/po_13/Keluar-Pas-kerana-tidak-sanggup-pecah-belahkan-umat-Islam#ixzz2GvXZb6Xu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment