ARKIB : 28/01/2013
Pas parti berideologi Khawarij?
BARANG siapa yang mempelajari akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang tulen seperti yang terkandung dalam kitab Ushul As Sunnah oleh Imam Ahmad Bin Hanbal atau Syarhus Sunnah oleh Imam Barbahari atau As Syari‘ah oleh Imam Al Ajuri, dan banyak lagi, ternyata mereka akan mengetahui bahawa Pas adalah sebuah jamaah yang menyimpang.Pas memiliki fatwa-fatwa yang sesat dan menyesatkan. Batil lagi membatilkan. Bejat dan membejatkan. Manhaj pemikiran Pas tidak lain adalah pemikiran Abdul Rahman bin Muljam, tokoh kaum Khawarij klasik.
Abdul Rahman bin Muljam Al-Muradi bukanlah orang gelandangan atau seorang yang fasik. Beliau ialah seorang soleh ahli ibadah, warak menunaikan kebaikan dan Qari yang hafaz al-Quran.
Ketika zaman pemerintahan Umar Al Khattab, beliau telah melantik Abdul Rahman bin Muljam menjadi guru al-Quran. Perhatikan bahawa Abdul Rahman bin Muljam dilantik oleh Umar untuk mengajar penduduk Mesir! Malah dia mendapat gelaran al-Muqri‘.
Abdul Rahman bin Muljam dan kaum Khawarij adalah orang yang menjaga pandangannya, menjaga lisannnya, memelihara tangan dan kakinya. Mereka menunaikan solat malam sedang manusia lain dibuai mimpi. Mereka berpuasa di tengah-tengah terik mentari sedang manusia lain meneguk susu dan madu.
Nampak Warak tetapi Khawarij
Sehinggakan Syeikul Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Dahulu, kelompok Khawarij adalah sebaik-baik anggota masyarakat dari sisi pelaksanaan solat, melakukan puasa dan membaca al-Quran". (Minhaj as-Sunnah jilid 4)
Tetapi kewarakkan mereka tidak menghalang daripada terjerumus dalam lembah pemikiran yang batil ,sesat dan jahat. Mereka menyelisihi Muhajirin dan Ansar serta Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malah mereka mengkafirkan para sahabat serta menghalalkan darah mereka. Khawarij menyangka perbuatan mereka adalah ibadah dan menepati maqasid syariah.
Ibn Taimiyah menggambarkan tentang hal ini: “Seseorang (Abdul Rahman bin Muljam) yang membunuh Ali r.a, dia pun menegakkan solat, melakukan puasa, membaca al-Quran. Dia membunuh Ali r.a dengan anggapan bahawa hal itu akan mendapat redha Allah dan Rasul-Nya". (Minhaj as-Sunnah jilid 7).
Ini bertepatan dengan apa yang Rasulullah SAW ingatkan kepada para sahabatnya - Muhajirin dan Anshar - bahawa kaum Khawarij ini merupakan sebuah kaum yang rajin beribadah kepada Allah Ta‘ala. Amal ibadat mereka lebih banyak berbanding amal ibadat para sahabat.
Sekiranya seorang sahabat membandingkan amalnya dengan seorang Khawarij maka pasti sahabat itu akan terasa kerdil dan malu lantaran amalnya kurang berbanding amalnya kaum Khawarij!
Pesan Rasulullah SAW: “Akan datang suatu kaum kepada kalian yang kalian akan merasa rendah bila kalian membandingkan solat dengan mereka, membandingkan puasa dengan mereka, membandingkan amalan ibadat dengan mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka lepas daripada agama ini seperti lepasnya anak panah dari binatang buruan". (HR. Bukhari dan Muslim)
Walaupun begitu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa mereka ini tidak memahami al-Quran walaupun mereka membacanya lebih banyak daripada sahabat baginda. Serta semakin lama mereka menganut faham tersebut maka semakin jauh mereka daripada Islam yang hakiki.
Natijahnya seorang Ahli Sunnah tidak akan mudah tertipu dengan “gambaran luaran" seseorang. Apakah dia digelar Tuan Guru atau Mursyid atau apa sahaja? Apakah dia berjubah dan berserban mahupun berkurta? Apakah dia tinggal di pondok atau kandang dan bukannya di istana? Gambaran luaran boleh menipu seperti mana Dajjal menipu umat manusia dengan membawakan syurga dan neraka serta menghidupkan orang mati.
Namun lebih penting daripada “gambaran luaran" adalah masalah keimanan. Walaupun mendapat gelar Mursidul am, berjubah siang malam, dikeramatkan dan diagungkan, namun apabila akidahnya adalah Khawarij, tetap menjadi masuk neraka sekiranya mati tanpa taubat.
Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa mereka adalah anjing-anjing penduduk neraka." (HR Al-Ajurri dalam As Syari‘ah)
Khawarij adalah anjing ahli neraka
Lebih ringan dituduh menjadi anjing penjilat pemerintah daripada menjadi anjing neraka. Kerana Ahli Sunnah telah beriman untuk bersama-sama dengan pemerintah muslim dalam hal yang makruf (kebaikan), berjihad bersama mereka dan menumpaskan kaum Khawarij di bawah perintah mereka.
Lihatlah bagaimana tokoh Khawarij klasik yang cukup tawaduk itu. Siapakah yang mampu berzikir saat tangan dan kakinya dipotong? Pasti yang mampu melakukan hal ini hanyalah seorang yang “tebal imannya". Tetapi Rasulullah menetapkan bahawa orang ini adalah manusia yang paling hina.
Marilah kita lihat bagaimana watak “tawaduk" Abdul Rahman bin Muljam. Imam Ibnul Jauzi berkata: “Ketika Ali r.a telah wafat, dikeluarkanlah Abdul Rahman bin Muljam dari penjara untuk dibunuh balas. Maka Abdullah bin Ja‘far memotong kedua tangannya dan kakinya, tapi dia tidak berteriak dan tidak berbicara, kemudian matanya dipaku dengan paku panas, dia juga tetap tidak berteriak bahkan dia membaca surat Al ‘Alaq hingga habis dalam keadaan darah mengalir dari kedua-dua matanya.
Ketika lidahnya hendak dipotong barulah beliau berteriak, maka ditanya kepadanya: “Mengapa engkau berteriak?" Beliau berkata : “Aku tidak suka kalau aku mati di dunia dalam keadaan tidak berzikir kepada Allah". Dan beliau adalah orang yang dahinya berwarna kehitaman kerana selalu bersujud. Semoga Allah melaknatnya". (Lihat kitab Talbis Iblis).
Semoga Allah membinasakan manusia yang mengikut jalan pemikirannya. Semoga Allah memberikan hidayah kepada pencari kebenaran agar tersingkap kejahatan Khawarij dibalik ‘kesolehan’ mereka.
Namun begitu, masyarakat hari ini kurang pengetahuan dalam isu akidah. Malah saya percaya banyak daripada kita termasuklah ahli Pas yang tidak pernah belajar kitab akidah yang telah disebutkan. Kita perlu mengetahui akidah khawarij bagi menghindari terjebak dengan pemikiran mereka. Kerana khawarij hari ini berkupiah dan berjubah serta mendapat gelar mulia atas nama agama.
Jalan pemikiran mereka bermuara kepada “Tauhid Hakimiyah" iaitu Tiada Hukum Melainkan Hukum Allah. Itulah yang dislogankan oleh Abdul Rahman bin Muljam saat memancung kepala Ali r.a. Beliau berkata: “Tiada hukum kecuali hukum Allah, bukan milikmu atau orang-orangmu wahai Ali" lantas dia membaca ayat: “Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya". (al Baqarah/2:207)
Oleh itu, mereka menganggap para pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah atau hudud sebagai kafir, serta wajib untuk ditumbangkan. Justeru mereka menjadi pembangkang dan menentang kerajaan. Mereka menghina pemerintah, membongkarkan keaiban pemerintah, mendoakan kehancuran pemerintah dan menghasut rakyat agar bangkit menentang pemerintah. Inilah akidah mereka.
Hal ini sangat berlawanan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Imam Barbahari berkata: “Tidak boleh seseorang bermalam sementara tidak merasa memiliki pemimpin, baik pemimpin tersebut itu adil ataupun zalim". Dan beliau berkata lagi: “Barang siapa yang keluar dari pemerintah kaum Muslimin, bererti dia termasuk kaum Khawarij dan mematahkan tongkat kepimpinan kaum muslimin serta menentang Ansar. Apabila mati maka dia mati dalam keadaan jahiliyah".
Justeru Pas diingatkan supaya jangan menjadi Neo-Khawarij yang sesat dan menyesatkan. Bertaubatlah selagi belum ajal menjelma, kelak takut diancam menjadi anjing neraka. Syeikh Ahmad Syakir seorang ulama hadis Mesir pernah mengatakan: “Ikhwanul Muslimin adalah Khawarij abad ini" pada tahun 1960-an dulu yang buktinya hari ini Mesir bergolak. Maka tidakkah keterlaluan kita katakan Pas adalah sebuah parti berideologi Khawarij di Malaysia?
PENULIS ialah Ketua Biro Massa Ilmuan
Malaysia (iLMU).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130128/re_07/Pas-parti-berideologi-Khawarij#ixzz2JTLbngiT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment