Saya hilang adik beradik, perselisihan mengaibkan - Mohamed
MARANG 7 Jan. - Seorang bekas penyokong tegar Pas, Mohamed Ismail, 65, dari Binjai Rendah dekat sini terpaksa membayar harga yang mahal setelah meninggalkan Pas kerana dia turut dikafirkan dan 'kehilangan' seorang adik serta abang sulungnya yang telah memutuskan ikatan keluarga.Rakan sekolah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menceritakan apa yang dilaluinya itu suatu yang menyedihkan kerana turut melibatkan anak-anaknya dan berpanjangan sehingga kini, biarpun tinggal berdekatan.
"Saya rasa tidak bersalah dan tidak berdosa kerana meninggalkan Pas yang saya perjuangkan sekian lama. Apabila saya timbangkan baik buruknya parti itu, apatah lagi saya bukan ikut-ikutan, saya belajar agama dan tahu menilai.
"Saya rasa perselisihan ini tidak bermakna dan mengaibkan. Apa boleh buat, tetapi saya berharap kami akhirnya akan bersama semula, biarpun kawan-kawan dahulunya terus menjauh," ujarnya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Zainal Abidin, Batu Burok.
Dia mengambil salah satu contoh hubungan keluarganya menjadi begitu tegang kira-kira tiga tahun lalu apabila laluan masuk ke rumahnya disekat dengan dinding batu-bata.
"Hinggakan saya terpaksa merujuk kepada pihak polis dan pejabat daerah tentang hak saya dalam pemilikan tanah keluarga sebelum pagar itu diruntuhkan," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Dia tampil bagi menunjukkan betapa Amanat Haji Hadi memberikan kesan terhadap kehidupan keluarganya dan masih meluas pegangannya dalam kalangan penyokong Pas meskipun kemungkinan kebanyakannya tidak menunjukkan persengketaan secara terbuka.
Menurut Mohamed yang bekerja yang kontraktor, dia merupakan orang yang berusaha menghidupkan Pas di Binjai Rendah dengan memegang jawatan setiausaha dan mendirikan markas operasi parti di depan rumahnya.
Mohamed mengakui dia pada awalnya berpegang kepada Amanat Haji Hadi tetapi tidak sampai ke tahap mengkafir dan memusuhi kalangan penyokong UMNO secara peribadi kerana baginya itu keterlaluan.
"Tetapi saya biasa mendengar para pemimpin Pas mengatakan sebegitu kerana sering bersama mereka, kebanyakannya adalah kawan-kawan saya. Tidak pula saya membantah kerana mereka pastinya tidak suka mendengar," ujarnya.
Ditanya mengapa orang lain yang turut belajar agama terus berpegang terhadap amanat itu, dia berpendapat, mereka mungkin melihat habuan, penghormatan dan kedudukan menanti.
Katanya, detik perubahan dalam sokongan politiknya mulai dirasakan apabila Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat datang berceramah di kampungnya bagi meraikan kemenangan Pas Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1999.
"Saya tidak mendengar apa pun tentang usaha membawa lebih kebaikan kepada rakyat terutama di kampung saya, selain mendengar semakin kuat cercaan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan para pemimpin UMNO yang lain.
"Lalu saya merasa sokongan ini suatu yang silap. Akhirnya saya merobohkan markas Pas yang dibina meskipun ada pemimpin yang menasihatkan jangan berbuat demikian dan tidak meninggalkan parti," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130108/po_02/Saya-hilang-adik-beradik-perselisihan-mengaibkan---Mohamed#ixzz2HUcQg2Sl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment