Monday, August 22, 2011

Puak-puak anti-Lynas terus 'berdrama'



'DRAMA' oleh puak-puak penentang projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas Corporation di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang kelihatan semakin menjengkelkan.

Yang terbaharu ialah pada taklimat dalam bahasa Mandarin mengenai radiasi dan tanah jarang (rare earth) oleh tiga profesor dari Republik Rakyat China kepada ahli-ahli persatuan-persatuan Hainan, Hakka, dan Bola Keranjang Kuantan awal bulan ini.

Sudahlah kehadiran puak-puak ini pada sesi taklimat tiga hari itu (3, 4 dan 5 Ogos) adalah secara 'rempuh-pagar' (gate-crashing), namun setelah dibenarkan hadir pun mereka 'buat hal' dengan pelbagai kerenah termasuk mempersoalkan kelayakan akademik profesor-profesor berkenaan.

Hal ini sama sepertimana mereka mempersoalkan komposisi 10 pakar antarabangsa di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang datang menyiasat seterusnya memutuskan pada 30 Jun lepas bahawa projek Lynas ini adalah selamat dengan mengemukakan 11 cadangan bagi menjamin lagi keselamatannya.

Berasa amat terhina dengan persoalan tersebut serta tidak mahu meletakkan diri mereka pada tahap yang sebegitu rendah, sudah tentulah profesor-profesor berkenaan enggan menjawabnya.

Dan ini segera dimanipulasikan oleh puak-puak tersebut dengan menggambarkan betapa tidak layaknya profesor-profesor berkenaan untuk bercakap mengenai subjek radiasi dan tanah jarang ini.

Sedangkan professor-profesor ini ialah pakar dalam bidang masing-masing. Prof. Xia Yihua misalnya, ialah pakar dalam keselamatan radiasi yang memegang jawatan sebagai Saintis Kanan di Institut Tenaga Atom, Republik Rakyat China (CIAE).

Prof. Yihua juga ialah ahli Jawatankuasa Pakar, Keselamatan Nuklear dan Alam Sekitar di Agensi Perlindungan Alam Sekitar Kebangsaan Republik Rakyat China sejak 1994 hingga kini ; serta pernah menjadi ahli Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Radiologi (antara 1997 - 2005).

Prof. Zhao Yamin pula ialah pakar dalam keselamatan alam sekitar yang menjadi ahli dalam Suruhanjaya Pakar mengenai Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Alam Sekitar di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Republik Rakyat China.

Beliau pernah berkhidmat selama dua tahun (1987-1988) secara sandaran dengan Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Amerika Syarikat, terlibat dalam kajian berkaitan perlindungan alam sekitar radiasi dan piawaian-piawaian pengurusan.

Prof. Li Deqian pula ialah pakar dalam logam tanah jarang yang berkhidmat dengan Institut Changshun (Kimia Gunaan) di Akademi Sains Republik Rakyat China sejak 1959 hingga kini.

Terlibat kira-kira 50 tahun dalam kajian berhubung dengan pemisahan kimia (separation chemistry) serta kejuruteraan 'hydrometallurgical (memisahkan logam daripada bijih menggunakan air) yang bersih dalam pengendalian tanah jarang;

Kejayaan tersohor Prof. Li ialah proses pemisahan dengan teknik yang diperkenalkannya dalam memisahkan bahan thorium daripada tanah jarang telah diguna pakai oleh industri hydrometallurgical termasuk tanah jarang seluruh dunia!

Selain mempertikaikan kelayakan profesor-profesor ini, puak-puak penentang ini turut mempertikaikan pendirian kepemimpinan persatuan-persatuan Hainan, Hakka dan Bola Keranjang tersebut.

Kononnya kepada puak-puak penentang ini, dengan penganjuran serta kehadiran ahli-ahli persatuan berkenaan ke sesi taklimat itu maka mereka sudah menyebelahi projek Lynas bernilai pelaburan RM200 juta itu.

"Saya bukan menyebelahi mana-mana - menyokong atau menolak. Saya anjurkan taklimat ini supaya ahli-ahli persatuan dapat penjelasan tentang radiasi dan hal-hal tentang tanah jarang.

"Terpulang kepada ahli-ahli untuk membuat keputusan. Bagi saya sendiri, dengan menganjur dan mengikuti taklimat ini, semakin jelas bahawa projek Lynas ini tidaklah berbahaya jika diuruskan dengan berkesan," menurut seorang daripada penganjur taklimat itu.

Selain beliau, pengerusi bagi ketiga-tiga persatuan itu juga dipertikaikan 'kesetiaan' mereka hingga dicabar meletakkan jawatan hanya kerana mereka tidak lagi kelihatan sehaluan dengan puak-puak penentang ini.
Dan inilah tipikalnya puak-puak penentang ini. Mereka merasakan mereka sudah terlalu betul sehingga cuba memaksakan pendapat dan nilai-nilai mereka ke atas orang lain yang jika tidak dituruti, terus dicap sebagai musuh.

Sebelum ini pun, itulah yang mereka lakukan misalnya semasa mengutip tanda tangan daripada orang ramai supaya menyokong gerakan penentangan mereka.

Inilah 'drama' mereka yang jika diukur pada sesi taklimat kepada ahli-ahli ketiga-tiga persatuan berkenaan, semakin disedari 'drama' serta gelagat buruk mereka oleh sebahagian besar ahli-ahli persatuan berkenaan.
'Ironis'nya, pada setiap acara puak penentang Lynas ini anjurkan yang dihadiri oleh muka-muka yang sama sahaja dalam bilangan kira-kira 600 orang; tiada satu pun yang menerima gangguan seperti mana mereka mengganggu sesi taklimat kepada ahli-ahli persatuan-persatuan berkenaan.

'Drama' yang dimainkan puak ini sangat mudah dikesan. Asasnya pun ialah politik, seperti mana juga dengan perjuangan menentang projek Lynas ini oleh seorang Ahli Parlimen dari daerah ini.

Kepada puak-puak penentang ini, 'Hentikanlah drama Tuan-tuan dan Puan-puan'. Sebaliknya, hadapilah hakikat dan kebenaran mengenai projek Lynas ini secara lebih rasional serta berbudiman.

No comments:

Post a Comment