Hadi ditegur perlekeh taraf pendidikan C.N. Al-Afghani
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sewajarnya menilai seseorang melalui taraf pendidikan atau pekerjaannya.Sebaliknya Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, Abdul Hadi sepatutnya menilai seseorang itu melalui inti pati dan isi kandungan yang dizahirkan sama ada melalui ungkapan atau penulisan.
“Jika dirasakan benar apa yang diungkapkan, maka kita harus menerimanya dan jika tidak, kita wajib menolaknya.
“Dalam sejarah Islam, empat imam iaitu Abu Hanifah, Malik bin Anas, Al-Syafi’e dan Ahmad bin Hanbal bukannya lepasan universiti pun, tetapi tahap keilmuan mereka diiktiraf dan diterima pakai seluruh umat Islam sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Abdul Hadi memperlekeh bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N. Al-Afghani dengan menyifatkan penulis buku Kafirkah Aku? itu sebagai hanya seorang guru sekolah rendah, baru-baru ini.
Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas tindakan Zainon yang membangkitkan semula isu Amanat Haji Hadi menerusi buku Kafirkah Aku? itu.
Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, jika mahu dinilai daripada taraf pendidikan seseorang, Abdul Hadi sepatutnya memperlekehkan kebanyakan penceramah Pas yang taraf pendidikan mereka juga tidak tinggi.
“Saya ingin menasihatkan beliau memperbetulkan ungkapannya terhadap Cikgu Non (Zainon).
“Jangan berhujah dengan penilaian taraf rendah," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130101/po_04/Hadi-ditegur-perlekeh-taraf-pendidikan-CN-Al-Afghani#ixzz2GvJLOHrQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment