Agenda bawa perubahan di Kota Bharu
Oleh YULPISMAN ASLI
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
Bagi warga luar, Kota Bharu merupakan bandar raya yang diharap mampu memberikan mereka sebuah kehidupan lebih baik berbanding di kampung halaman.
Lantaran itu, berbekalkan impian tersebut maka dapat dilihat ramai anak muda dari luar yang tidak mahu berhijrah ke kota-kota besar khususnya di Lembah Klang, menjadikan Kota Bharu 'lubuk' rezeki mereka.
Namun, tidak semua impian menjadi suatu realiti yang indah. Lebih-lebih lagi apabila Kota Bharu itu sendiri tidak banyak menjanjikan sebuah kehidupan kepada golongan pendatang.
Bagi 'pendatang' yang baharu menjejakkan kaki di Kota Bharu, antara masalah mereka adalah untuk mendapatkan tempat tinggal yang sesuai di bandar ini yang telah diangkat sebagai sebuah bandar raya Islam.
Bukan sahaja para pendatang, malahan warga Kota Bharu sendiri khususnya golongan muda, semakin berdepan masalah untuk mendapatkan rumah kediaman mampu milik dan selesa bagi membina sebuah keluarga.
Sudah tentu mereka yang mempunyai visi dalam hidup, tidak mahu terus bergantung kepada keluarga, menetap bersama ibu dan ayah di rumah pusaka yang turut menempatkan adik-beradik lain.
Kewujudan begitu banyak projek perumahan mewah termasuk yang dibina oleh anak syarikat milik kerajaan negeri seperti di Sri Cemerlang dan pusat bandar berharga ratusan ribu ringgit seunit, bukan penyelesaian buat mereka yang baharu bertatih untuk membina sebuah keluarga. Apa yang mereka mahukan ialah sebuah rumah mampu milik tetapi selesa untuk sebuah kehidupan.
Menyedari keperluan rumah mampu milik dalam kalangan warga Kota Bharu semakin mendesak, maka, usaha untuk menyediakan lebih banyak rumah seumpama itu bakal menjadi fokus utama UMNO Bahagian Kota Bharu yang diterajui Ketuanya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh (gambar).
"Antara perjuangan saya adalah untuk membina, mewujudkan perumahan rakyat, itulah menjadi keutamaan saya. Kenapa?
Sebabnya, segala-galanya bermula di rumah. Kalau anda ada rumah yang selesa, anda boleh menghalangkan segala masalah gejala sosial daripada berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Congakan Mohamad Fatmi mudah, sekiranya ibu bapa itu mampu menyediakan rumah yang baik dan selesa, ia sudah pasti menghalang budaya lepak dan 'kutu rayau' dalam kalangan anak-anak mereka.
Kebimbangan beliau itu amat berasas kerana budaya tersebut sama ada disedari atau tidak, semakin meluas dalam kalangan generasi muda di Kelantan, antara lain dikatakan akibat keadaan rumah yang sempit serta tidak selesa kerana bilangan ahli keluarga yang ramai.
Keadaan itu juga dikhuatiri boleh menyumbang kepada peningkatan kes-kes jenayah seperti curi, ragut, peras ugut, penyalahgunaan dadah dan sumbang mahram dalam masyarakat tempatan.
Selain memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik, Mohamad Fatmi turut berkongsi visi beliau untuk membawa pembangunan lebih seimbang dan secara terancang di ibu negeri Cik Siti Wan Kembang ini, sekali gus mengatasi masalah kesesakan 'bermusim' yang kerap berlaku, antara lain disebabkan bandar Kota Bharu 'tidak berkembang.'
Beliau turut menyatakan rancangan mewujudkan sebuah kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bandar ini yang dilihat mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Bukan itu sahaja, beliau turut berhasrat menyediakan lebih banyak pusat perniagaan termasuk bazar bagi peniaga kecil.
"Kita tahu orang di Kota Bharu ramai yang berniaga secara kecil-kecilan, kita boleh wujudkan satu tapak perniagaan mencukupi untuk peniaga-peniaga Kota Bharu.
"Dalam bandar itu sendiri misalnya di Parit Dalam sekarang ini berkecamuk, mungkin kita boleh buat 'mall' atau 'up town' di situ untuk mengindahkan bandar dan juga memberi peluang kepada peniaga berniaga sekali gus menjadi tarikan pelancong," kata Mohamad Fatmi.
Menurut beliau lagi, apa yang mendukacitakan ialah Pas meskipun telah 22 tahun diberi mandat oleh rakyat mentadbir kerajaan negeri, namun parti itu ternyata gagal memenuhi semua tuntutan dan keperluan rakyat, khususnya perumahan mampu milik dalam kalangan generasi muda.
Ini termasuk kegagalan Pas membangunkan Kota Bharu yang diberi jolokan bandar raya Islam dan Kelantan pula, Serambi Mekah, sebagai pusat pengajian Islam tersohor.
"Dari dahulu lagi Masjid Muhammadi itu adalah tempat melahirkan cendekiawan-cendekiawan Islam. Sepatutnya hari ini, 22 tahun di bawah kerajaan yang mendakwa Islam, perkara ini sudah direalisasikan.
"Tempoh 22 tahun adalah suatu jangka masa yang cukup panjang. Kalau Barisan Nasional (BN) diberi peluang selama 22 tahun, saya yakin apa yang kita impi, idam dan sasarkan akan dapat dicapai melalui pengurusan dan perancangan yang rapi," kata beliau penuh yakin.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Kelantan khususnya warga Kota Bharu yang semakin menunjukkan penerimaan kepada UMNO dan BN, memberi peluang kepada parti tersebut pada PRU-13.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121219/re_06/Agenda-bawa-perubahan-di-Kota-Bharu#ixzz2Fc2BQlF2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment