KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP, Senator Dr Ariffin SM Omar menafikan tuduhan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan beliau mengeluarkan kenyataan monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam punca berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya, apa yang sebenar dikatakan adalah beliau mencadangkan supaya kerajaan menambah bilangan penjawat awam daripada pelbagai kaum. Oleh itu, beliau mendakwa satu laman portal telah memutar-belitkan kenyataannya.

Katanya lagi, sikap kerajaan yang mengawal dan menguasai perkhidmatan awam adalah punca kepada berlakunya banyak rasuah dan penyelewengan dalam sektor perkhidmatan tersebut.

“Yang ditimpa rasuah ialah kerajaan bukan perkhidmatan awam yang terpaksa mengikut arahan kerajaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut senator DAP itu lagi, kenyataan dan tuduhan yang dibuat terhadapnya itu juga berniat untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap parti yang diwakilinya sebagai anti Melayu terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

“Ya, saya tidak tolak ia berniat dan sengaja untuk mencerminkan parti DAP yang saya wakili anti-Melayu.

“Dalam realiti politik sekarang, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan isu tersebut untuk mewujudkan persepsi kepada kami,” katanya.

Hujung minggu lalu, Dr Ariffin bersama pendatang baru Zairil Khir Johari antara 10 orang yang dilantik secara terus ke dalam CEC oleh perwakilan semasa Kongres Kebangsaan DAP Ke-16