Friday, December 28, 2012

Pas tak hargai perpaduan sesama Islam

Pas tak hargai perpaduan sesama Islam - Che Min

PASIR PUTEH 27 Dis. - Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak tunduk kepada desakan pelbagai pihak menarik balik amanatnya, nyata menunjukkan sikap pemimpin Pas yang tidak menghargai nilai perpaduan sesama umat Islam.

Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) (Bahagian Operasi), Datuk Che Min Che Ahmad berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz itu bermotifkan politik keperibadian dan tidak berlandaskan pendekatan profesional ke arah merungkai perpecahan sesama umat Islam di negara ini kesan daripada amanat tersebut.

Beliau berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz itu juga seolah-olah menyokong Amanat Haji Hadi dan meneguhkan semula pegangan ahli-ahli Pas terhadap amanat tersebut.

"Amalan memulau imam, memutuskan persaudaraan kerana perbezaan anutan politik, sembahyang dua imam dan sebagainya akhirnya melemahkan kekuatan umat Islam di negara ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menggelar kumpulan yang mendesak Abdul Hadi menarik balik amanatnya sebagai puak penakut.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan desakan pelbagai pihak termasuk bekas aktivis tegar Pas dan beberapa tokoh ilmuwan yang meminta Abdul Hadi tidak terus membisu terhadap isu tersebut sebaliknya tampil memberikan penjelasan sesuai dengan prinsip Islam.

Mengulas lanjut, Che Min bersetuju dengan Nik Abdul Aziz bahawa Islam bukan milik Abdul Hadi seorang kerana adalah hak semua umat termasuk penyokong dan pemimpin UMNO yang pernah dikafirkan beliau sebelum ini.

Beliau berkata, desakan orang ramai ketika ini bukan bertujuan menjatuhkan imej pemimpin Pas itu, sebaliknya adalah sebahagian usaha menjernihkan keadaan dan menyatukan kembali umat Islam yang berpecah akibat ketaksuban politik.

"Kalau tidak mahu menarik balik amanat itu, memadailah tampil menyatakan bukti kenapa amanat itu bersifat benar dan wajar dikekalkan," katanya.

Che Min berkata, isu Amanat Haji Hadi itu perlu diselesaikan dalam konteks kepentingan Islam dan tidak wajar dikaitkan dengan politik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121228/po_03/Pas-tak-hargai-perpaduan-sesama-Islam---Che-Min#ixzz2GSueGcgI
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment