Ismail Mina Ahmad

Ismail Mina Ahmad
 
SHAH ALAM – Satu pertemuan bagi membincangkan isu kontroversi, amanat Hadi perlu diadakan dalam masa terdekat untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, pertemuan tersebut perlu disertai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama ulama- ulama di negara ini.

Menurutnya, pertemuan tersebut penting untuk menjelaskan isu tersebut demi kepentingan agama Islam dan umat Islam.

“Pertemuan itu perlu diadakan segera kerana jika perkara tersebut tertangguh ia akan mengelirukan masyarakat. Oleh itu, pertemuan tersebut diharap dapat menjernihkan suasana kerana masyarakat kita selama ini hidup dengan harmoni,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, dua mufti iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menggesa Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Rentetan daripada gesaan mufti itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat berkata, mufti boleh berbincang dengan cara yang elok dan tidak perlu bermain politik.

Ismail berkata, amanat tersebut mewujudkan salah faham dan curiga dalam kalangan masyarakat.

“Insya-ALLAH pertemuan tersebut akan menyelesaikan kekeliruan masyarakat dan memberikan kebaikan kepada semua pihak,” katanya.