Khalid Samad: 'Saya wakil rakyat semua kaum'
13 Disember 2012

Bicara Bersama Ahli Parlimen

Khalid Samad
Ikuti temu bual bersama Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam menerusi segmen Bicara Bersama Ahli Parlimen Penggal Pertama baru-baru ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pernah YB menjangkakan kemenangan pada Pilihan Raya Umum 2008 berpihak kepada Pakatan Rakyat khususnya parti Pas itu sendiri?
KHALID SAMAD: Pada tahun 2008, memang kita telah melihat terdapat ada banyak perubahan dari segi kesedaran rakyat, keinginan untuk melihat akan berlakunya perubahan dan sensitiviti rakyat terhadap beberapa isu yang telah berlaku ketika hampir dengan pilihan raya.
Pada asalnya, Shah Alam adalah kubu Umno-BN, dan tidak dianggap sebagai salah kerusi yang mempunyai potensi yang tinggi untuk dimenangi kerana pernah mencatat majoriti terbesar bagi pihak Umno-BN pada 1990-an dan 2004 pun bila saya bertanding menentang calon yang sama, Datuk Aziz Shamsudin telah kalah dengan majoriti 13,000 undi. Maka bila saya bertanding pada 2008, saya mengharapkan akan berlakunya penurunan dari segi majoriti tetapi tidak menjangka akan menang, bukan sekadar menang tetapi menang dengan majoriti yang hampir 10,000 undi.
Maka rasa itu bukti akan perubahan yang berlaku, tidak dizahirkan oleh rakyat jelata walaupun pada 1999 kita pernah hampir menang tapi pada ketika itu, persempadanan Shah Alam itu pun berbeza, pada 2004 persempadanan yang baru dan pada ketika itu, saya kalah dengan majoriti 13,000 undi, lalu ia kerusi yang dianggap sukar untuk dimenangi.
Shah Alam ternyata bukan kawasan “simpanan tetap” Umno-BN sebelum 2008, tidak boleh dikatakan begitu, oleh kerana pada 1999 itu hampir dimenangi oleh calon Barisan Alternatif yang pada ketika itu diwakili oleh saudara Ezam Md Noor tetapi ia pernah menjadi kubu kuat Umno-BN.
SINAR HARIAN ONLINE: Shah Alam merupakan kawasan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, YB pula kali pertama diangkat sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang agak strategik, nadi kepada pentadbiran negeri, sejauh mana YB dapat menggalas tugas penting ini dapat keadaan yang boleh disifatkan sebagai “mandat mengejut?”
KHALID SAMAD: Memang ia merupakan satu tugas yang amat mencabar, jika kawasan kampung atau luar bandar ada masalahnya tersendiri, kawasan bandar dan pusat pentadbiran seperti Shah Alam mempunyai masalah yang berbeza, hanya yang memudahkan kerja saya sedikit kerana ia merupakan masyarakat bermaklumat, dalam erti kata mempunyai akses kepada internet dan sebagainya.
Ia agak mencabar oleh kerana majoriti orang Melayu dan seperti biasa, masyarakat Melayu, mereka khuatir tentang persoalan kerjanya, masa depannya, perubahan dan di Shah Alam itu dilihat sebagai masyarakat yang agak selesa dan dianggap bahawa jenis pengundi yang tidak mahu membawa perubahan. Lalu untuk kita gerakkan mereka atas kesedaran dan keinginan untuk melihat sesuatu yang lebih baik agak sukar kerana mereka bukan masyarakat yang ketinggalan, ditindas, miskin, kesusahan, punyai kesempitan hidup dan sebagainya.
Kebanyakan mereka agak selesa yang mana ramai masyarakat Melayu di situ merupakan peniaga-peniaga yang berjaya, kakitangan kerajaan dan sebagainya, maka kita anggap mereka ini sukar untuk nak bawa perubahan, tetapi hakikatnya sebaliknya. Saya rasa pendedahan mereka kepada dunia perniagaan, pendedahan mereka kepada budaya perkhidmatan awam, corak kepimpinan yang dizahirkan oleh Umno-BN telah banyak membantu saya untuk mendapatkan sokongan daripada warga Shah Alam.
Hanya dari segi kesediaan mereka menjadi penyokong yang terus terang itu satu perkara yang mungkin tidak selari dengan budaya masyarakat di Shah Alam, kita dapat lihat tak ramai secara umum dan terbuka menzahirkan pendirian politik mereka, dan ia cukup berbeza dengan suasana di kampung kerana di kampung nak cakap terus terang, tapi di Shah Alam ini orang diam dan sukar untuk kita nak baca pendirian mereka yang sebenar tetapi yang penting bagi kita, kita menyampaikan mesej yang nak kita sampaikan dan kita mengharapkan mereka memahaminya.
Suasana yang selesa orang Melayu di Shah Alam membuatkan mereka tidak mahu wujudkan satu ketegangan dalam masyarakat, di mana sekiranya corak parti politik yang partisan yang terlalu meruncing itu, memang bukan pilihan bagi kebanyakan daripada mereka.
Namun demikian, mereka akan memilih siapa yang mereka anggap lebih baik dari segi perkhidmatan, hubungan dengan masyarakat, pergaulan, keprihatinan dan kesungguhan memperjuangkan nasib mereka ataupun menentukan suasana kehidupan mereka lebih baik, ia bukan masyarakat yang partisan, tetap merupakan masyarakat yang memilih dan akan memilih berdasarkan kepada perkhidmatan yang disediakan.
Suasana ketegangan politik di Shah Alam kurang menonjol kerana ia bukan sesuatu yang ingin kita wujudkan, kita pun ingin masyarakat memilih kita atas dasar maklumat, atas dasar perkhidmatan yang diberikan, bukan atas dasar sentimen dan emosi semata-mata, dan masyarakat di Shah Alam adalah masyarakat yang bermaklumat dan berilmu. Sekarang pun, kalau kita lihat ramai yang begitu aktif di masjid dan surau, yang semuanya untuk mendapatkan ilmu dan kesedaran untuk membawa perubahan yang lebih positif... itulah cara dan suasana yang kita inginkan, kita pun naik jelak dengan masalah ketegangan seperti mana yang wujud di sesetangah tempat.
SINAR HARIAN ONLINE: Pernah YB menjangkakan Pas ini diterima secara menyeluruh di kawasan kubu kuat Umno-BN ini?
KHALID SAMAD: Ia satu perkara memeranjatkan juga, tetapi ia merupakan satu perkara yang tidak mustahil. Walaupun kita tidak jangka berlaku dengan begitu mendadak pada 2008, tetapi ia merupakan satu perkara yang kita merasakan akhirnya akan tercapai juga, mungkin akan memakan masa yang lebih sikit, perkara ini hasil daripada dasar-dasar yang dilaksakan di bawah Umno-BN dulu, di mana ditutup ruang untuk bergerak seperti di masjid dan surau, dikawal dengan rapi supaya ustaz-ustaz yang mengajar tak boleh membawa kefahaman selain persoalan fardhu ain dan kifayah, dari dulu buka kitab baca tahrah, kemudian cara bersuci dan selapas itu sembahyang, puasa dan sebagainya, bila dah habis fardhu ain, balik semula kepada kitab taharah, itulah aktiviti yang dibiasakan sebelum ini, tetapi perkara itu kita pun telah membawa perubahan dan apabila adanya kefahaman yang lebih menyeluruh, dinamik terhadap Islam, maka kita dapati bahawa suasana di Shah Alam itu telah banyak berubah.
SINAR HARIAN ONLINE: Mungkinkah kerana Shah Alam ini bebas daripada pengaruh pusat-pusat hiburan seperti kawasan lain, mempunyai ciri-ciri Islamik.. adakah faktor itu membantu Pas untuk meraih undi khususnya masyarakat Melayu?
KHALID SAMAD: Kemungkinan itu pun ada... peranannya bahawa orang pergi ke Shah Alam ini mereka mahukan suasana yang tertentu, mereka mahu masyarakat yang baik, berakhlak, lebih beretika dan sebagainya, itu harapan mereka dan pada masa yang sama, keprihatinan mereka terhadap persoalan-persoalan itu yang telah menyebabkan mereka menolak budaya politik yang kotor, rasuah dan menyeleweng.
Saya rasa banyak dibantu oleh tindakan pemimpin-pemimpin Umno-BN sendiri, saya rasa pada 2008 itu, orang memilih kita bukan sangat atas dasar dia tahu dan faham wawasan yang kita bawa, tetapi lebih kepada sebab menolak wawasan dan kaedah politik yang dibawa oleh Umno-BN itu sendiri.
Yang pasti mereka nak tolak Umno-BN pada waktu itu, mungkin sebahagian besar mereka yang mengundi saya pada waktu itulah dia punya keinginan untuk menolak Umno-BN dan membawa perubahan kepada BN itu sendiri dengan memberikan kekalahan kepada BN supaya BN khususnya Umno supaya sedar, bukan penolakan yang “total” tetapi dengan peluang yang diberikan itu, kita dapat memperkenalkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dengan lebih baik bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi melalui pelaksanaan dasar-dasar yang dilakukan oleh Kerajaan PR di peringkat negeri Selangor.
Dengan itu penolakan terhadap BN sekarang ini diperkukuhkan dengan keinginan melihat PR terus memerintah, maka sokongan ini insya-ALLAH semakin mantap dan padu, ia bukan sekadar atas dasar penolakan terhadap BN, tetapi ia juga atas sebab penerimaan terhadap PR yang terhasil oleh kerana peluang yang diberikan kepada PR untuk memerintah, ini termasuklah juga terhadap Pas itu sendiri, di mana dilihat dan disedari bahawa kita ini tidaklah ekstrem sepertimana yang digambarkan sebelum ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Apabila Pakatan Rakyat menang di Selangor pada 2008, ramai beranggapan ia merupakan sesuatu yang mengejutkan sama ada di pihak parti mahupun calon. Bagaimana YB mengaturkan gerak kerja sebaik sahaja mengetahui PR layak menubuhkan Kerajaan Negeri di Selangor?
KHALID SAMAD: Apabila kita menang, memang kita agak terkejut dengan kemenangan yang tercapai, dalam Pas kita telah susunkan penerangan dan penjelasan daripada pihak ahli-ahli Parlimen sebelum kita, yang pernah menjadi ahli Parlimen yang menjelaskan, sedikit sebanyak apa yang perlu kita lakukan, pada masa yang sama kita juga dikejutkan bukan sekadar kemenangan tetapi pembentukan Kerajaan Negeri, dan ini mendedahkan kita kepada perkara-perkara baru dan bidang-bidang yang tidak ramai dalam Pas pernah alami sebelum ini kerana kita membentuk kerajaan, bukan kerajaan Pas tetapi kerajaan campuran bersama PR, terdedah kepada kedudukan Kerajaan Negeri, peranan pemerintahan pihak berkuasa tempatan (PBT), Kerajaan Tempatan, soal ketua kampung, soal jabatan agama, masjid dan surau yang tiba-tiba semuanya itu terbuka kepada kita untuk kita terlibat dan menyusun.
Memang tidak dinafikan bahawa pada tahun pertama dan kedua, diri saya sendiri memang boleh dianggap sebagai cuba nak belajar dan memahami struktur-struktur kerajaan negeri dan tempatan, jabatan dan institusi yang lain. Ia mengambil masa juga untuk difahami dan diikuti tetapi alhamdulillah selepas masuk tahun kedua, tahun ketiga dan seterusnya saya merasakan bahawa dapat dihayati dan dilaksanakan dengan tersusun dan lebih baik.
Pada masa yang sama, pada tahun pertama dan kedua, kita tumpu kepada masalah-masalah yang khusus yang telah menjadi antara isu yang telah menyebabkan membawa kemenangan kepada kita khususnya di Shah Alam itu, persoalan Rimba Jaya, kuil di Seksyen 19, surau Seksyen 8 yang telah dirantai dan dikunci termasuklah permohonan penduduk warga Shah Alam supaya kedai-kedai seperti 7-Eleven tidak menjual minuman arak di kawasan perumahan majoriti orang Melayu, dan isu-isu seperti ini yang telah kita tangani segera dan alhamdulillah hampir kesemuanya telah dapat diselesaikan dengan baik.
Kalau hendak fikir belum selesai atau muktamad lagi ialah projek Hospital Shah Alam. Itu pun di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimennya, ia di bawah Kerajaan Persekutuan, kemudian sekolah di kawasan U10 yang masih tidak disediakan, yang memaksa penduduk di U10 keluar dari kawasan mereka pergi ke Bukit Jelutong ataupun TTDI Jaya dan sebagainya untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku di persimpangan tiga menghala ke Puncak Alam dan Puncak Perdana.
Masalah banjir juga berlaku di beberapa tempat yang alhamdulillah telah dapat diatasi kecuali di beberapa tempat yang menunggu satu projek yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menaik taraf paras Sungai Rasah di sempadan Bandar Diraja Klang, kalau dilebarkan sungai dan ada sistem kunci air dan sistem pengepam yang berkesan kita yakin boleh selesaikan masalah ini.
Masalah banjir di Shah Alam sebenarnya agak kritikal dah banyak tempat yang sering mengalami banjir, baru-baru ini kita telah memberi sumbangan kepada penduduk di kawasan Padang Jawa, Klang; Kampung Manimaran yang telah mengalami banjir dan kita telah memberikan sumbangan sebanyak RM500 setiap sebuah rumah untuk mengurangkan beban kesan daripada banjir dalam kawasan mereka, masalahnya di kawasan terbabit kalau hujan dan air pasang ia akan bermasalah, sebab itu kita terpaksa menunggu projek besar untuk menyelesaikan masalah ini yang mana kerajaan negeri telah mengetepikan beberapa juta saya anggarkan kira-kira RM20 juta untuk menaik taraf sistem pengairan di kawasan tersebut termasuk memasang kunci ari dan rumah pam.
SINAR HARIAN ONLINE: Setakat ini bagaimana penerimaan rakyat terhadap kepimpinan YB selaku wakil rakyat dari parti Islam sepanjang lebih 4 tahun dan sejauhmana perkhidmatan YB mencapai matlamat dan senada mengikut dasar Pakatan Rakyat di Selangor?
KHALID SAMAD: Untuk menilai itu, rakyat yang lebih layak membuat penilaian, tapi setakat mana yang saya mampu, saya telah berusah untuk memainkan peranan yang sebaik mungkin sebagai ahli parlimen, di mana peranannya saya pernah sebut mempunyai empat peringkat yang pertama di Parlimen itu sendiri, kedua di peringkat Kerajaan Negeri, ketiga di peringkat Kerajaan Tempatan dan keempat di peringkat masyarakat umum. Saya juga telah berusaha untuk memenuhi dan memain peranan sebaik mungkin di semua peringkat, di Parlimen saya sering bersuara, soal Kerajaan Negeri melalui perbincangan dengan Exco, Menteri Besar, Adun, Ahli Parlimen Selangor dalam majlis yang pada awalnya hanya dilakukan sekali sebulan dan sekarang menjadi semakin kerap dan ini juga hasil kerjasama yang lebih mantap, di peringkat PBT di mana ahli-ahli majlis yang dilantik dan saya telah bergerak serta sering berhubung dengan mereka untuk menyampaikan hasrat rakyat dan terakhir di peringkat masyarakat melalui persatuan-persatuan penduduk, masjid dan surau, kuil dan tokong serta rumah ibadat yang lain, persatuan-persatuan keagamaan yang ada di seluruh Shah Alam.
Sama ada ia memuaskan atau tidak, rakyat akan menilai sendiri tetapi menjadi Ahli Parlimen tanpa adanya akses kepada media perdana memang satu perkara yang sukar kerana kerana kita sering dituduh dan difitnah, bermacam-macam tuduhan lebih-lebih lagi apabila kita tangani isu-isu yang sensitif dan sensasi seperti persoalan kuil di Seksyen 19, persoalan gereja di Glenmarie, persoalan gereja di DUMC dan sebagainya yang mana, pandangan kita yang sebenarnya dan penjelasan daripada kita tak dapat kita sampaikan kepada masyarakat, kecuali kelompok-kelompok tertentu, tapi kalau kita akses kepada TV, radio dan sebagainya sudah pasti ia menjadi satu perkara yang jauh lebih mudah.
SINAR HARIAN ONLINE: Di Shah Alam majoriti pengundinya adalah orang Melayu, sejauh mana kesulitan dalam berhubung secara terus mereka ini?
KHALID SAMAD: Pengundi Melayu di Shah Alam berjumlah kira-kira 70 peratus, hubungan saya dengan pengundi bermasalah timbul apabila saya ditohmah dengan pelbagai tohmahan yang memberikan gambara seolah-olah saya ini lebih rapat dengan DAP dan PKR daripada Pas itu sendiri, lebih rapat dengan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam daripada masyarakat Islam itu sendiri, hakikatnya jauh berbeza kerana saya sering berinteraksi dengan masyarakat Islam di masjid dan surau, ketika program-program kemasyarakatan dan sebagainya.
Kalau nak lihat dari segi peratusan masa dan tumpuan saya kepada masyarakat Melayu berbanding bukan Melayu dan bukan Islam, saya rasa lebih daripada 70 peratus, berpatutan dengan jumlah penduduk, tetapi apa yang kita perlu faham ialah kadang-kadang masalah bukan Melayu ini mereka menghadapi masalah tertentu yang sering disensasikan seperti kuil mereka yang tidak terletak di tapak yang rasmi, ini merupakan masalah yang dihadapi oleh masyarakat India dan mereka sering minta bantuan daripada saya dalam persoalan ini.
Masyarakat Melayu Islam memang tidak menghadapi masalah ini, oleh kerana tapak surau dan masjid sudah dikenal pasti dan telah menjadi tapak yang rasmi diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Begitu juga dengan masyarakat Kristian, Sikh dan sebagainya, mereka banyak mempunyai masalah. Oleh kerana itu, mereka sering datang berjumpa dengan saya untuk meminta bantuan, masyarakat Islam mereka tak perlu bantuan dari sudut ini kecuali sumbangan untuk menaik taraf ataupun menambah baik masjid dan surau.
SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana Pas sendiri dilihat sebagai parti yang relevan di Shah Alam yang majoriti ahlinya adalah Melayu Islam... adakah Pas membuka keahlian kepada kaum dan agama lain untuk menyertainya?
KHALID SAMAD: Sekarang ini memang orang bukan Islam dibenarkan untuk menjadi ahli melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas yang telah menjadi satu dewan yang rasmi, yang akan hadir dan menghantar perwakilan ke muktamar Pas dan mungkin akan diberikan ruang untuk bersuara, pada masa yang sama sokongan daripada masyarakat Melayu Islam tetap diusahakan dan dan ini, dapat kita capai melalui pembebasan masjid dan surau daripada kongkongan BN selama ini yang menghalang rakyat daripada memahami Islam dari sudut yang lebih menyeluruh, maka saya merasakan sememangnya Pas cukup relevan kepada masyarakat Malaysia oleh kerana inilah satu-satunya parti politik yang membawa pendekatan Islam dalaM arena politik, bagi saya inilah pendekatan yang mampu menyatupadukan orang Melayu Islam dan meninggikan martabat mereka dari segi kaca mata masyarakat.
SINAR HARIAN ONLINE: Jika PR memenangi Putrajaya, sejauh mana YB melihat Pas sendiri boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia sebagai parti yang memerintah bagi BN?
KHALID SAMAD: Saya rasa itu tidak menjadi masalah dan kita dalam Pas mempunyai ramai individu yang berkaliber dan berkemampuan untuk menjawat jawatan tertinggi dalam Kerajaan Pusat dan akhirnya semua bergantung pada prestasi yang kita tunjukkan dan kemampuan kita untuk menjalankan tugas kita sebagai menteri atau timbalan menteri dalam pentadbiran negara di peringkat pusat.
Dari segi peringkat negeri, memang dasar PR ialah kita nak memberikan kekuasaan dan kebebasan yang lebih kepada Kerajaan Negeri dan mungkin di situ Pas dapat menzahirkan dasar-dasarnya yang berbeza di negeri-negeri yang kita mempunyai kuasa yang lebih seperti di Kelantan, ataupun kalau kita memerintah di Terengganu, Kedah dan sebagainya.
Dengan adanya Kerajaan Pusat, PR yang tidak memusuhi dan berusaha untuk menyulitkan pelaksanaan tanggungjawab oleh Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri di bawah PR, sebaliknya memberikan bantuan dan sokongan, maka kita yakin kita dapat zahirkan budaya dan pendekatan politik yang baru terhadap permasalahan masyarakat di peringkat negeri.
Di peringkat pusat apa yang penting ialah kita perlukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang menyokong dan mengiktiraf serta menghormati hak setiap negeri dengan memberikan sokongan dan sumbangan kepada kerajaan negeri-kerajaan negeri supaya segala perancangan mereka akan terlaksana dan satu Kerajaan Pusat yang lebih amanah yang melaksanakan dasar-dasar mengikut pertimbangan kepentingan dan keuntungan bagi rakyat.
SINAR HARIAN ONLINE: Sebagaimana yang kita maklum peruntukan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat disekat Kerajaan Persekutuan, malah lebih malang lagi Umno-BN menyalurkan dana awam tersebut kepada penyelaras parti di setiap kawasan pembangkang dan bagaimana YB mengatasi kekangan ini? Sejauhmana YB melihat dasar sekatan peruntukan Ahli Parlimen seolah-olah tidak mengiktiraf kemenangan pembangkang dan mandat yang diberikan rakyat kepada PR? Adakah ini adalah caranya BN menghukum rakyat kerana mengangkat wakil rakyat mereka daripada kalangan pembangkang?
KHALID SAMAD: Alhamdulillah, saya mendapat sokongan dan sumbangan daripada penyokong kita, Kerajaan Negeri Selangor, yang membantu kita melalui Adun-Adun mereka dan sebagainya, dari segi kewangan itu tidaklah menjadi satu masalah besar bagi kami di Selangor sebagai ahli parlimen berbanding dengan negeri-negeri lain yang tidak mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk membantu Ahli Parlimen, namun ia tidak merupakan masalah yang terbesar bagi kita kerana yang terpenting ialah persoalan sikap kita dan persoalan perhubungan kita dengan masyarakat itu yang terpenting, walaupun ada duit atau tiada, kalau itu tak dapat ditangani dengan baik maka kita takkan dapat melaksanakan tugas-tugas kita sebagai Ahli Parlimen.
Tindakan sekatan peruntukan itu tidak menguntungkan rakyat dan BN itu sendiri, saya rasa semua rakyat sudah faham dan tahu bahawa Ahli Parlimen daripada PR tidak mendapat peruntukan sepertimana yang sepatutnya dan ini, rakyat melihat sebagai satu penolakan ke atas kedaulatan mereka sendiri, ataupun pilihan yang telah mereka buat iaitu Kerajaan Pusat tidak menghormati pilihan dan kehendak rakyat, maka ia akan mampu menjadi isu yang boleh menemplak BN itu sendiri.
Inilah yang saya lihat bahawa sokongan terhadap BN, walaupun mereka melakukan bermacam perkara, tidak dapat ditambah ataupun dikukuhkan. Ini kerana rakyat melihat mereka ini masih di takuk yang lama... BN tidak berubah. Walaupun mungkin asalnya dulu mereka mengundi PR dengan harapan nak ajar BN supaya berubah, tapi malangnya BN tetap tidak berubah. Masih dengan cara lama dan ini merugikan BN itu sendiri.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah YB akan bertanding semula pada pilihan raya akan datang? Adakah YB menyerahkan segala keputusan kepada parti untuk menentukannya? Sekiranya YB diberi peluang untuk sepenggal lagi sebagai Ahli Parlimen, apakah tawaran dan persediaan YB sekiranya perkara itu berlaku?
KHALID SAMAD: Semuanya dalam Pas. Ia merupakan satu perkara yang kita serah kepada parti, parti akan tetapkan. Apa jua keputusan parti saya terimanya dengan baik.
Dari segi perkhidmatan diri saya sendiri, saya akan berusaha meneruskan dan mempertingkatkan dalam keempat-empat peringkat iaitu Parlimen, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan masyarakat untuk bersama mendapatkan pandangan rakyat dan menyampaikannya kepada ketiga-tiga peringkat kerajaan. Saya akan terus mempunyai dasar yang terbuka di mana rakyat boleh berhubung dengan saya, melalui hadir di pusat khidmat ataupun menghantar e-mel ataupun telefon ataupun (menggunakan) Twitter, Facebook dan sebagainya yang selama ini saya lakukan mungkin dapat dipertingkatkan.
Pada masa akan datang, mungkin saya boleh menambah jumlah kakitangan di pejabat khidmat saya yang khusus menjaga persoalan, rintihan rakyat dan aduan daripada masyarakat yang mana sekarang ini saya mempunyai dua orang kakitangan. Mungkin saya boleh tambah menjadi tiga atau empat, lebih-lebih lagi sekiranya kita mendapat Kerajaan Pusat di mana peruntukan Ahli Parlimen itu dapat diperoleh dan dengan itu, saluran untuk rakyat menyampaikan pandangan dan berinteraksi dengan masyarakat melalui sama ada saya sendiri atau wakil-wakil saya akan dapat diperhebatkan dan dipertingkatkan.
SINAR HARIAN ONLINE: Setakat ini sejauh mana janji pilihan raya lepas telah ditunaikan dengan baik dan bagaimana pula yang masih belum terlaksana?
KHALID SAMAD: Saya rasa manifesto pilihan raya 2008 khusus bagi kawasan Shah Alam, masalah-masalah yang dihadapi sebelum pilihan raya itu hampir semuanya selesai, yang belum selesai seperti pembinaan hospital, masalah banjir itu pun di luar bidang saya sebagai Ahli Parlimen, semua masalah ini telah saya bawa dan kemukakan di Parlimen, masalah sekolah di U10, selain daripada itu, semua masalah yang dihadapi, masalah projek terbengkalai seperti Sri Putri, Rimba Jaya, masalah kuil Seksyen 19, masalah sekolah agama dan sebagainya alhamdulillah, dapat kita selesaikan dengan baik, sekarang ini mungkin hanya nak mempertingkatkan dari sudut perkhidmatan penjagaan kebersihan, pengurusan sampah, jalan raya dan sebagainya yang boleh diperbaiki hasil daripada dasar-dasar baru yang telah dibawa oleh Kerajaan Negeri.
Macam masalah sampah itu tidak lagi di bawah Alam Flora, dibuat oleh PBT dan keberkesanan ahli majlis, mungkin kita kena memperkasakan jawatan ahli majlis, ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya akhirnya masyarakat akan mendapat perkhidmatan yang terbaik.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah usaha YB selaku Ahli Parlimen Shah Alam untuk mengekalkan kawasan ini sebagai kerusi Pas dan Pakatan Rakyat?
KHALID SAMAD: Parlimen Shah Alam ini peringkat Parlimen dipegang oleh Pas, peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dipegang oleh PKR, DAP ada hanya di Setia Alam dan mungkin beberapa kelompok di kawasan-kawasan yang tertentu.
Dewan Himpunan Pas pun ramai dan semakin kuat, saya rasa apa yang perlu saya lakukan ialah untuk perbanyakkan cawangan dan ahli-ahli Pas, untuk memantapkan lagi sokongan, ini boleh dilakukan melalui jentera parti, jentera masyarakat dan kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), JKKK, ahli majlis, ketua kampung dan semua ini akan kita pertingkatkan lagi dari segi penyelarasan, dari segi hubungan dengan masyarakat, tapi sebenarnya sekarang nampak dah cukup baik.
Antara perkara terpenting sekarang ini ialah menyelesaikan masalah banjir dan menaik taraf sungai, menentukan projek hospital Shah Alam dapat disiapkan secepat mungkin, kalau kita dapat menguasai Kerajaan Pusat, hal ini dapat dijalankan dengan baik dan lebih berkesan, sekolah di U10 itu, masalah perumahan kos rendah dan mampu milik bagi rakyat dalam kawasan Shah Alam perlu dipertingkatkan, ia juga sudah masuk dalam perancangan Kerajaan Negeri, hanya bagi saya untuk menentukannya dilaksanakan dengan secepat mungkin, menyelamatkan beberapa projek terbengkalai tapi di Shah Alam itu sendiri saya rasa tak begitu kritikal, ada banyak di luar kawasan Shah Alam, tapi itu antara faktor untuk membantu ekonomi rakyat, mereka terpaksa bayar pinjaman bank, tapi rumah tak ada malah terpaksa sewa rumah lagi, menjadi satu beban yang kita cuba selesaikan pada kadar segera.
No comments:
Post a Comment