Sultan minta semua bersatu
26 Disember 2012

Dr Tengku Muhammad Fa- Iz Petra berkenan mengurniakan Anugerah Khas kepada Datuk Mohamad Shukri Mohamad sempena Majlis Perasmian 100 Tahun Maik di sini, semalam.
Baginda bertitah, dalam menonjolkan kebaikan dan keindahan Islam, jangan sampai agama itu ditempelak oleh perbuatan yang boleh mencemarkan imej Islam.
“Umat Islam masih dibelenggu sengketa dan perbalahan yang seolah-olah tiada penghujung.
“Beta berharap semua pihak menyedari betapa tingginya kerinduan umat Islam kepada kedamaian dan kerukunan dan betapa kecewanya bila merasa tenaga dan kekuatan umat habis tercurah dalam sengketa, peperangan sesama sendiri,” titah baginda pada Majlis Perasmian 100 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di sini, semalam.
Teks ucapan baginda dibacakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang juga Yang Dipertua Maik.
Titahnya, walaupun akur dengan kebebasan bertindak berdasarkan amalan demokrasi, namun umat Islam dan bangsa Melayu perlu menjaga disiplin, tata cara hidup, tata susila dan adat istiadat Melayu, terutama dalam kehidupan beragama.
“Dengan disiplin dan tata cara hidup beragamalah pada suatu masa dahulu bangsa kita pernah menjadi bangsa besar di rantau ini dan agama Islam menjadi asas yang kukuh kepada pembinaan tamadunnya,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda berjanji akan memberi perhatian sewajarnya kepada kemajuan dan perkembangan Maik sesuai dengan kedudukannya sebagai institusi yang memikul amanah menjaga kepentingan Islam dan adat istiadat Melayu di Kelantan.
Baginda turut memuji usaha Maik dalam memartabatkan penggunaan tulisan jawi, dan menyarankan agar ia dapat dikekalkan penggunaannya.
Sementara itu, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan melancarkan buku bertajuk ‘Puri Kencana’ yang menyingkap kecemerlangan satu abad Maik sebagai majlis agama Islam tertua di negara ini.
Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra turut berkenan melancarkan gimik pelancaran kapsul masa Maik mengandungi sepucuk surat yang akan dibaca 100 tahun lagi.
No comments:
Post a Comment