ARKIB : 16/12/2012
Kerjasama tidak berasas hudud?
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121216/po_09/Kerjasama-tidak-berasas-hudud#ixzz2FKhKcvAf
© Utusan Melayu (M) Bhd
DUNGUN 15 Dis. - Pas hari ini mengakui tidak kisah jika DAP menganggap kerjasama yang terjalin antara mereka berdasarkan atas prinsip pluralisme dan bukan kerana berasaskan negara Islam atau pelaksanaan hukum hudud.
Perkara itu diakui Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) yang mendakwa, pluralisme merupakan satu bentuk fahaman dan tidak boleh dipaksa untuk diterima atau tidak.
Katanya, apa yang penting orang Islam itu sendiri perlu tegas dengan pendirian terhadap agama Islam.
"Pluralisme itu merupakan perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia dan tidak boleh dipaksa, tetapi kita tegas dengan agama kita sendiri kerana Allah membawa dua pendekatan, yang pertama, tiada agama yang Allah terima melainkan Islam dan kedua tiada paksaan dalam agama.
"Jadi, sebab itu dalam negara Islam diizinkan orang bukan Islam menjadi rakyatnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti UMNO (PGU) 6.0 di Paka, di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa parti itu mendekati dan bekerjasama dengan Pas dalam pakatan pembangkang bukan kerana negara Islam, tetapi atas prinsip galakan demokrasi, pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia dan wanita serta pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan, kerjasama Pas dan DAP berlaku atas titik persamaan tertentu dengan membiarkan hak masing-masing dalam perkara berbeza termasuklah soal hudud.
"Kita bersama-sama DAP dalam menentang kezaliman, menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), penyelewengan, ekonomi serta rasuah dan ini merupakan agenda yang sama, namun dalam isu hudud dan kisas itu tidak sama.
"Namun, kita kemukakan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu yang mana kita buat kelonggaran yang diizinkan Islam iaitu orang bukan Islam boleh pilih mana undang-undang yang dia mahu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121216/po_09/Kerjasama-tidak-berasas-hudud#ixzz2FKhDx7TZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment