Fakwa Nik Aziz, amanat Hadi helah politik
KOTA BHARU 27 Dis. - 'Fatwa' yang dikeluarkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Amanat Haji Hadi oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat adalah helah politik semata-mata.Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, fatwa Nik Abdul Aziz yang mendakwa UMNO murtad serta Amanat Haji Hadi mengkafirkan UMNO bukan sahaja mendatangkan kesan buruk malah turut mengelirukan umat Islam di negara ini.
"Fatwa dan amanat yang dikeluarkan kedua-dua pemimpin itu bukannya fatwa Islam sebaliknya hanya fatwa dan helah politik semata-mata.
"Nik Abdul Aziz dan Hadi kena tarik balik. Apa benda ini sekejap UMNO murtad sekejap mungkar. Ia beri kesan buruk kepada Islam," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong di sini, semalam.
Tambah Ahmad, Pas juga tidak mempunyai pendirian tetap mengenai perjuangan sebenar parti itu yang mahu menubuhkan negara Islam.
Katanya lebih teruk, Pas sanggup menggadaikan pendirian mereka semata-mata untuk memenangi pilihan raya umum dan memuaskan hati rakan pakatannya iaitu Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
"Lihat sahaja dari mahu menubuhkan negara Islam, kini telah berubah kepada kebajikan malah lebih teruk peraturan-peraturan Islam yang dilaksanakan khususnya di Kelantan sebelum ini turut telah berubah.
"Sekejap tak benarkan perempuan menggunting rambut lelaki, sekejap benarkan pula, sekejap perempuan tidak boleh memasuki tilawah, sekarang boleh pula. Perubahan 360 darjah itu sering kali Pas lakukan," katanya.
Di NIBONG TEBAL, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman mendesak Abdul Hadi bersuara dan menjelaskan kepada umum pendirian mengenai amanatnya pada 1981.
Beliau berkata, biarpun amanat tersebut dikeluarkan hampir 31 tahun lalu, masih ada sebahagian kecil pengikut Pas berpegang kepada amanat itu.
"Sehingga kini Abdul Hadi masih membisu mengenai perkara itu sehingga menimbulkan keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyrakat yang terlalu fanatik dengan amanat tersebut.
"Abdul Hadi perlu menjelaskan sama ada amanat berkenaan masih terpakai atau tidak kerana ada pemimpin Pas mendakwa ia dibuat mengikut kesesuaian dalam konteks politik pada masa itu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121228/po_04/Fakwa-Nik-Aziz-amanat-Hadi-helah-politik#ixzz2GSut6Ujo
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment