PRU13: Saingan sengit, lupakan majoriti dua pertiga
26 Disember 2012

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
Bercakap dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian Online di pejabatnya baru-baru ini, Mustafa berkata, jika pun Umno-Barisan Nasional dapat mempertahankan Putrajaya, parti itu hanya akan menang dengan majoriti mudah.
"Kalau Pakatan Rakyat menang pun, kita tidak akan dapat majoriti dua pertiga. Tak akan ada mana-mana pihak yang akan mendapat kemenangan majoriti dua pertiga," ujar Mustafa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti itu menyatakan keyakinan BN akan meraih kemenangan dengan majoriti dua pertiga jika ahlinya sendiri tidak khianat terhadap parti.
"Saya percaya bahawa musuh tidak kuat, saya percaya bahawa orang ramai akan memihak kepada Umno dan Barisan Nasional, yang saya khuatir, sikit... apa itu? .... yang saya khuatir, soal kita, kita sesama kita (dalam parti)," ujar Najib dalam ucapan penggulungannya awal bulan ini.
BN mengalami prestasi buruk pada PRU 2008 apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, selain kuasa lima kerajaan negeri.
Kini, BN memiliki 137 kerusi di Dewan Rakyat yang memperuntukkan 222 kerusi.
Ada yang meramalkan BN akan menang hanya dengan 120 kerusi, majoriti yang dilihat kian mengecil.
Ketika diaju persoalan ramalan kerusi yang akan diperoleh kedua-dua parti, Mustafa berkata, "cukup dengan saya menyebut majoriti mudah."
Malah apabila ditanya apakah Pas mungkin berpaling tadah dengan menyertai Umno-Barisan Nasional jika impian ke Putraja berkecai bersama-sama Pakatan Rakyat, Mustafa menolak sama sekali perkara seumpama itu akan berlaku.
"Tak berbangkit isu itu, tidak berbangkit," dan tambahnya, "kita benar dan kita akan terus sebagai satu dalam Pakatan Rakyat," ujar beliau.
Bulan lalu, menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, BN setakat ini hanya selamat di 96 kerusi manakala PR pula selesa dengan 68 kerusi sementara selebihnya akan menjadi perebutan di antara kerajaan pemerintah dan pembangkang dalam PRU13.
Jangkaan itu bermakna kedua-dua BN dan PR berhadapan dengan kemerosotan berbanding kerusi dimenangi empat tahun lalu.Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, juga dari UKM sebelum itu menjangkakan BN akan memperoleh lingkungan 120 kerusi jika PRU13 diadakan sekarang.
Walaupun BN akan menang namun kata Shamsul ia dalam keadaan majoriti yang semakin mengecil.
Semalam, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, BN mampu merampas 20 kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang, sekali gus meraih kemenangan majoriti dua pertiga pada PRU13 kelak.
Ahmad berkata beliau yakin BN dapat mempertahankan 140 kerusi Parlimen yang dimenangi sekarang serta merampas lima daripada 23 kerusi Pas, lima daripada 29 kerusi DAP dan 10 daripada 31 kerusi PKR.
Beliau berkata, keyakinan tersebut berdasarkan pelbagai faktor termasuk masalah yang dihadapi pembangkang di beberapa kawasan yang dimenangi mereka sebelum ini.
"Semua perkara ini logik kerana sebagai contoh, tujuh kerusi PKR sudah bermasalah di mana enam daripadanya telah cabut masuk bebas sementara satu lagi kalah di Hulu Selangor," beliau dipetik sebagai berkata
No comments:
Post a Comment