Balak: Pas Kedah sedia bertanggungjawab
JERAI 27 Dis. - Dalam mewajarkan tindakan meluluskan aktiviti penebangan balak bagi tujuan pembangunan tanah di negeri ini yang dipersoalkan banyak pihak, kepimpinan Pas Kedah sanggup bertanggungjawab atas sebarang kesan ekoran kegiatan tersebut.Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan Pas Kedah memahami kesan yang mungkin dihadapi daripada aktiviti pembalakan itu dan mengetahui tanggungjawab mereka mengenainya.
Pesuruhjaya Pas Kedah itu turut mengulangi dakwaan kerajaan negeri melaksanakan aktiviti pembangunan tanah dan pembalakan di Gunung Inas di Baling dan Pedu di Padang Terap mengikut garis peraturan serta panduan yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.
“Tidak mengapalah, memang kerja kami. Kami jaga alam sekitar, kami jaga balak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Sejahtera Rakyat Daerah Yan di Kampung Dulang Besar, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang meminta kerajaan Pas Kedah bertanggungjawab ke atas ancaman bencana alam di negeri ini ekoran kesan pembalakan tidak terkawal terutama di kawasan tadahan air.
Utusan Malaysia menerusi siri laporan khas sebelum ini mendedahkan Kedah kini berdepan ancaman bencana alam khususnya banjir lumpur dalam skala besar ekoran pembalakan berleluasa di kawasan tadahan air.
Dalam pada itu, Azizan menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sengaja menimbulkan isu pembalakan bagi menggambarkan kelemahan pentadbirannya.
“Ini sebenarnya UMNO dan BN sudah tahu mereka dulu tebang balak dapat RM8 juta, sekarang saya tebang kawasan sama dapat RM80 juta. Jadi nak discredit (merosakkan nama) saya kata rakus," ujarnya.
Beliau turut mengaitkan Kerajaan Persekutuan dalam tindakan kerajaan negeri menjalankan aktiviti penerokaan hutan di Gunung Inas untuk memajukan 5,000 hektar tanah bagi pelaksanaan projek Ladang Sejahtera manakala lebih 400 hektar tanah hutan di sekitar Tasik Pedu diteroka bagi tujuan projek agropelancongan.
Katanya, tindakan itu selaras hasrat Kerajaan Pusat mengembangkan sektor pertanian di negara ini.
“Kami sedang melakukan apa yang Kerajaan Persekutuan mahu kita lakukan, menjadikan Kedah sebagai hab pertanian di negara ini," katanya.
Ditanya dakwaan Kerajaan Pas Kedah terlalu bergantung kepada sumber balak, Azizan berkata, mereka menebang balak untuk menambah pendapatan negeri.
“Tebang balak dapat duit, lepas itu tanam pokok buah-buahan, itu tambahlah," katanya.
Sementara itu, dalam isu berasingan, Azizan mengakui, kerajaan Pas Kedah kurang membina rumah kos rendah dengan memberi alasan kononnya berdepan kekangan tertentu selain usia pentadbiran yang baru sepenggal di negeri ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121228/po_05/Balak-Pas-Kedah-sedia-bertanggungjawab#ixzz2GSvLQmtU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment