Sekumpulan penyokong dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membantah keputusan ketua umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan calon 'payung terjun' untuk bertanding kerusi Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.
NONEKumpulan seramai 100 orang itu mengadakan perhimpunan secara aman di Jalan Baru di Balik Pulau bagi menyatakan sokongan terhadap penyandang Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (kiri) untuk mempertahankan kerusi itu.

Wakil kumpulan itu, Noryusmah Wan Yusuf berkata penyokong PKR Balik Pulau tidak bersetuju dengan calon baharu, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, 48, yang diumumkan oleh Anwar tanpa mengambil kira pandangan mereka.

"Kami mahu pucuk pemimpin PKR mempertimbangkan semula calon baharu itu kerana ia akan mengundang perpecahan dalam parti," katanya kepada pemberita di Balik Pulau.

Pada pilihan raya umum 2008 lepas, Mohd Yusmadi memenangi kerusi Parlimen itu dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Norraesah Mohamed dengan majoriti 708 undi.

- Bernama