Friday, April 12, 2013

Sosma akta kuno, tidak perlu semasa pilihan raya


Sosma akta kuno, tidak perlu semasa pilihan raya

Harakahdaily,12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berpendirian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma bukan sahaja tidak perlu digunakan semasa pilihanraya, bahkan Sosma merupakan akta konservatif yang langsung tidak diperlukan oleh negara.

Penyelarasnya, Syukri Razab berkata, takrifan kesalahan keselamatan di bawah Sosma terlalu luas sehinggakan polis boleh melakukan tangkapan secara wewenangan.

“Bagi urusan pilihanraya, sudah wujud undang-undang yang boleh menangani salah laku berkaitan Pilihanraya seperti Akta Kesalahan pilihanraya,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Suaram berpendirian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma bukan sahaja tidak perlu digunakan semasa Pilihanraya, bahkan Sosma merupakan akta konservetif yang langsung tidak diperlukan oleh negara.

Takrifan kesalahan keselamatan di bawah Sosma terlalu luas sehinggakan polis boleh melakukan tangkapan secara wewenangan.

Bagi urusan pilihanraya, sudah wujud undang-undang yang boleh menangani salah laku berkaitan Pilihanraya seperti Akta Kesalahan pilihanraya.

Polis dilihat cuba mengambil jalan mudah dengan menggunakan Sosma bagi menakut-nakutkan orang ramai memandangkan akta tersebut memberi kuasa besar kepada pihak Polis untuk membuat tangkapan.

Risiko berlakunya tangkapan sewenang-wenangnya semasa pilihanraya

Sosma memberi peruntukan yang sama seperti ISA iaitu pihak Polis boleh menahan sesorang hanya berdasarkan syak wasangka bahawa seseorang itu terlibat dengan kesalahan keselamatan.

Berdasarkan kajian kes yang berlaku, terdapat bukti yang menunjukkan pihak Polis melakukan tangkapan secara arbitrari menggunakan Sosma.

Tangkapan yang dibuat ke atas Yazid Sufaat, Hilmi Hasim dan Halimah Hussein, pada Februari lalu jelas dilakukan tanpa bukti yang mencukupi. Sehingga ke hari ini, pihak Polis masih mencari bukti bagi menyokong tangkapan tersebut.

Sekiranya diteladani daripada kes yang berlaku, maka dikhuatiri Polis akan menggunakan Sosma secara sewenang-wenangnya semasa Pilihanraya.

Mangsa yang ditangkap di bawah Sosma akan berdepan dengan proses undang-undang yang terlalu rumit bermula dengan ditahan selama 28 hari tanpa dibicarakan dan kemudian terpaksa mendekam didalam penjara sepanjang proses perbicaraan sekiranya dituduh di mahkamah.

Hal ini sekiranya berlaku akan mencemarkan proses pilihanraya di samping menafikan hak orang yang ditahan untuk terlibat dengan pilihanraya.

Risiko berlaku tangkapan bermotif politik

Sekiranya Sosma digunakan semasa Pilihanraya, maka dikhuatiri akan berlaku tangkapan bermotif politik demi kepentingan pihak tertentu. Lebih merisaukan ialah pihak Polis boleh menahan sesiapa sahaja menggunakan Sosma walaupun kesalahan belum atau tidak pernah berlaku. Merujuk kembali sejarah ISA, ramai ahli politik pembangkang pernah menjadi mangsa akta zalim berkenaan.

Walaupun Sosma memperuntukkan klausa khas mengenai tidak akan ada penahanan bermotif politik, namun Klausa 12 itu terlalu kecil berbanding kuasa Polis yang boleh membuat tangkapan berdasarkan takrifan kesalahan yang terlalu luas di bawah Sosma.

Sosma bukan sahaja memberi kuasa besar kepada Polis untuk melakukan tangkapan secara sesuka hati, tetapi Sosma juga akan menyebabkan penafian hak asasi kepada mangsa yang ditahan.

Oleh itu pihak polis sewajarnya tidak menggunakan Sosma bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak pencabulan hak asasi. Akta ini harus dimansuhkan dengan segera oleh mana-mana kerajaan yang akan menang dalam Pilihanraya Umum akan datang.

No comments:

Post a Comment