Empat tahun Perkasa harungi tuduhan ekstrem, rasis
Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
nizam.yatim@utusan.com.my
Takrif berkenaan yang mempunyai konotasi negatif sering diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan NGO itu dan ada di kalangan pemimpin bukan Melayu tempatan yang menyamakannya dengan gerakan Ku Klux Klan di Amerika Syarikat (AS).
Parti DAP dan portal berita propembangkang pula menuduh Perkasa sebagai ultra-Melayu, rasis, cauvinis dan kelahiran semula syaitan yang bertujuan mengapi-apikan semangat perkauman dan mewujudkan huru-hara dalam masyarakat.
Adakah dakwaan itu benarnya? Wajarnya NGO berkenaan dituduh sedemikian termasuk menyamakannya dengan Ku Klux Klan yang menggunakan kaedah kekerasan fizikal bagi memperjuangkan dominasi kaum kulit putih dan menentang golongan imigran?
Jika dilihat keperibadian Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, ternyata tohmahan itu adalah tidak berasaskan sama sekali.
Ibrahim ialah Ahli Parlimen Pasir Mas yang sentiasa turut padang bertemu pengundi pelbagai kaum di kawasannya.
Portal berita, The Malaysian Insider pernah menyiarkan temu ramah dengan penduduk di Kampung Cina, Pasir Mas yang mengesahkan walaupun Ibrahim sering dituduh pemimpin rasis, peribadi beliau yang sebenar ialah seorang yang tidak membezakan orang Melayu dan orang Cina di kawasan yang diwakilinya.
Satu lagi fakta yang tidak diketahui ramai orang ialah pemandu peribadi Ibrahim sejak dahulu lagi ialah seorang India.
Dalam pada itu, Perkasa juga pernah menganjurkan majlis meraikan sambutan Tahun Baru Cina awal tahun ini dan mengedarkan ang pau kepada golongan tidak bernasib baik daripada kalangan kaum itu. Ia juga menganjurkan beberapa siri dialog bagi mendengar pandangan NGO Cina.
Penubuhan Perkasa yang diumumkan secara rasmi pada 22 Mac 2009 dan diikuti dengan Persidangan Agung Tahunan Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Mac 2010 sebenarnya bukan untuk memperjuangkan dominasi orang Melayu.
Sebaliknya, ia bertujuan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang cuba diganggu gugat dan diubah oleh musuh-musuh negara.
Dalam erti kata lain, Perkasa akan sentiasa mempertahankan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan raja-raja Melayu sebagai simbol bahawa kaum Melayu dan bumiputera adalah penduduk asal Tanah Melayu.
Perkasa juga akan sentiasa bangkit untuk mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperkasakan kaum pribumi, serta menyatupadukan kaum Melayu dan pribumi dengan seluruh rakyat Malaysia yang majmuk.
Hakikat itu telah dijelaskan secara panjang lebar oleh Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Kali Kedua Perkasa di Dewan Centrum, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2011.
Menurut beliau, adalah salah untuk menuduh Perkasa sebagai pertubuhan yang terlalu obses atau terlalu menumpukan matlamat dan cita-cita perjuangannya hanya kepada soal kaum Melayu dan bumiputera sahaja.
"Perkasa menyedari akan hakikat bahawa Malaysia menjadi sebuah negara majmuk menerusi jalan Perlembagaan. Oleh itu, matlamat kita adalah untuk menjadi pemangkin perpaduan bangsa Malaysia seluruhnya.
"Hasrat, matlamat dan cita-cita ini juga membuktikan Perkasa bukannya pertubuhan rasis, organisasi Melayu ultra atau persatuan perkauman. Perjuangan Perkasa adalah selaras dengan falsafah Rukun Negara dan menepati konsep 1Malaysia," jelasnya.
Katanya, mana-mana pihak tidak harus merasa terancam dengan kehadiran Perkasa kerana perjuangannya tidaklah menggunakan senjata secara fizikal.
"Perjuangan Perkasa menggunakan saluran kemasyarakatan atau 'societal approach' dengan kerangka minda yang jujur dan luhur, dengan cara yang penuh berhemah dan menerusi kaedah yang cukup berbudi bahasa lagi demokratik," ujarnya.
Tambahnya, walaupun Perkasa terpaksa bergerak dalam keadaan serba kekurangan kerana tidak pernah dibiayai oleh mana-mana dana rasmi, ia tetap tidak akan lemah semangat, malahan akan terus mara dan berjuang secara konsisten.
Dalam pada itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu entri dalam blognya http://mahathir-mohamad.blogspot.com berkata, tiada mana-mana pihak yang boleh menuduh Perkasa rasis semata-mata kerana ia mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perkasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang adil bagi semua kaum kerana ia bukan memberi hak istimewa kepada orang Melayu atau bumiputera semata-mata.
Beliau berkata, apabila keistimewaan diberi kepada orang Melayu dan bumiputera, masyarakat lain juga diberi keistimewaan dan dilindungi melalui perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Tiada perlindungan bagi hak sesuatu kaum yang tidak diimbangi dengan hak kaum lain," kata Dr. Mahathir.
Contohnya, kata beliau, apabila agama Islam dijadikan agama rasmi negara Malaysia, Perlembagaan turut memperuntukkan bahawa agama lain boleh dianuti dan dipraktik oleh penganut-penganut agama berkenaan tanpa gangguan.
Katanya, apabila bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi negara, bahasa-bahasa lain boleh digunakan sebagai bahasa ibunda dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.
Tegas bekas Perdana Menteri itu, jika Perkasa dianggap rasis, beliau juga boleh dianggap rasis kerana bersekongkol dengan Perkasa dalam mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.
"Mereka yang bercadang untuk melucutkan hak orang Melayu tetapi tidak hak istimewa mereka sendiri tentulah bersifat rasis juga.
"Hanya mereka yang bercadang melucutkan hak istimewa semua kaum sahaja yang tidak rasis," katanya.
Oleh itu, kepada ahli-ahli Perkasa yang akan menghadiri Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara di Dataran Astaka, Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu ini, teruskanlah perjuangan murni anda semua bagi memastikan perpaduan dan hak setiap kaum untuk mendapat keadilan di negara ini terus terpelihara.
Kepada para perwakilan yang akan menghadiri Persidangan Tahunan Perkasa Kali Ketiga di Dewan Besar, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada sebelah petangnya pula diucapkan selamat bersidang.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121211/re_06/Empat-tahun-Perkasa-harungi-tuduhan-ekstrem-rasis#ixzz2Er6AJeQG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment