Politik samseng: Pakatan tolak syor MoU
8 Disember 2012

Tajuk muka depan edisi Sinar Harian hari ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPR sebagai agensi yang mengendalikan pilihan raya di negara ini tidak sepatutnya dibebankan dengan tanggungjawab bukan di bawah bidang kuasa agensi terbabit.
"Itu bukan dalam bidang tugas SPR pun. Apabila ia melibatkan keganasan dan kejadian samseng, itu sudah membabitkan soal keselamatan, soal jenayah, itu di bawah bidang kuasa pihak polis.
"Mengapa pula soal mengatasi budaya samseng nak diserahkan kepercayaan kepada SPR?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Kelmarin, dalam Wacana Sinar Siri ke-16 bertajuk "Politik Samseng Di Mana Maruah Kita", Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan mencadangkan agar MoU dibentuk supaya calon-calon yang bertanding dan penyokong mereka boleh mengikut tatacara dan undang-undang semasa PRU13.
“Sebagai pemimpin, tidak salah jika kita beri kerjasama. Ikut sajalah tatacara undang-undang yang sedia ada di dalam negara ini.
“Jika ada calon bersalah dan terlibat dalam politik samseng, kita sentiasa terbuka jika polis mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah,” kata pemimpin muda dari MIC itu.
Namun tegas Saifuddin, budaya politik samseng ini hanya dapat dibendung sekiranya parti pemerintah pada hari ini memainkan peranan yang sepatutnya.
"Menjadi tanggungjawab pihak pemerintah untuk mewujudkan iklim yang kondusif dan seimbang di antara kesemua pihak berkepentingan dalam pilihan raya.
"Ertinya tidak boleh ada penyebaran media yang berat sebelah dan tidak seimbang.
"SPR juga kena menjalankan tugas dengan penuh wibawa memastikan bahawa daftar pemilih adalah yang paling bersih dan tiada ada unsur penipuan dan manipulasi," tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang berlaku pada hari ini ialah elemen keganasan seolah-olah dibenarkan dalam politik Malaysia.
"Contohnya wujud NGO-NGO yang mendalangi elemen-elemen yang bersikap perkauman. Contohnya kalau kita lihat tindakan Perkasa bila mereka heret kepala lembu di Selangor, bas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling (cat), jadi kita lihat kelemahannya, mengapa tidak ada tindakan?" soal Tuan Ibrahim.
Bercakap kepada Sinar Harian Online, Tuan Ibrahim menambah, cadangan MoU yang disarankan oleh Kamalanathan tidak perlu memandangkan Malaysia sudah punya undang-undang bagi mengawal budaya seumpama itu cuma penguatkuasaannya sahaja berada di tahap yang lemah.
".... minta maaf kalau saya sebut, bila kumpulan parti yang mewakili parti pemerintah (buat kacau), pihak polis terlalu lambat bertindak menyebabkan timbul provokasi," ujar beliau.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang turut mencadangkan SPR menambahkan bilangan pasukan pemantau dengan meletakkan satu pasukan di setiap Dewan undangan Negeri (Dun) supaya perjalanan pilihan raya terkawal.
"Kalau kita lihat dalam kawasan Parlimen, mereka mengambil masa di antara empat hingga lima jam, ada masanya sampai enam jam, jikalau aduan dibuat oleh satu-satu pihak, pasukan pemantau itu berada jauh, jadi hendak sampai ke kawasan itu mengambil masa yang lama.
"Bila dia sampai, masalah mungkin sudah selesai ataupun juga keadaan sudah menjadi begitu teruk," ujar beliau.
Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran pula berkata, ahli politik tidak punya kemampuan untuk menghalang penyokong parti masing-masing daripada bertindak samseng atau terlibat dengan gengsterisme melainkan penguatkuasaan oleh pihak polis.
"Hanya pihak polis (boleh kawal), dan saya rasa kurang penglibatan yang serius dari pihak mereka yang menyebabkan merebaknya lagi masalah ini," kata beliau.
Malah katanya, cadangan daripada Kamalanathan yang mengatakan bahawa calon-calon pilihan raya harus sedia dikenakan tindakan sekiranya terlibat budaya samseng membuktikan pembabitan parti pemerintah dengan amalan sedemikian.
"Apa-apa memorandum pun jika dipersetujui, ada kelemahan-kelemahan yang tidak boleh dijawab. Mengapa pula pihak ahli politik pula yang kena katakan bahawa tidak akan berlaku gejala gengsterism?" katanya.
No comments:
Post a Comment